Tuesday, December 26, 2017

Kem Tentera dan Pilihan Raya - Benar atau Dakyah?

Baru-baru ini, pasukan Recon DAP telah menuduh percubaan Menteri Pertahanan, DS Hishammuddin Hussein untuk membuka sebuah kem tentera baru di kawasan Parlimennya, iaitu Sembrong, di Johor, sebagai langkah untuk mengukuhkan kedudukannya di kawasan tersebut dan untuk memastikan kemenangan untuk diri beliau sendiri semasa pilihan raya umum akan datang.


Apa yang diwar-warkan sebagai pendedahan ini hadir tidak lama selepas mereka telah mendedahkan bahawa terdapat anggota tentera berdaftar sebagai pengundi di lokasi sebuah kem tentera yang sedang dibina di Segamat, juga di Johor.

DAP (dan Pakatan Harapan secara umumnya) sering menuduh bahawa pegawai dan anggota tentera dipaksa mengundi gabungan parti memerintah semenjak sekian lama.  Walau bagaimanapun, dengan tuduhan sedemikian semenjak dahulu, tidak ada satu pun tuduhan ini dapat dibuktikan sehingga ke hari ini.

Kenapa Kem Baru Diperlukan?
Kem baru dibina atas pelbagai sebab. Kita lihat antara sebab kepada keperluan kem baru ini.

Dengan negara kita membangun moden, kebanyakan daripada kem tentera ini memerlukan pemuliharaan dan pembaikan.  Banyak antara kem ini dahulunya dibina dengan bangunan kayu, dan banyak antara kem ini juga sudah usang.

Bila untuk Membaiki dan Bila untuk Tutup
Berikut adalah antara faktor yang dikenalpasti dalam membuat keputusan sama ada untuk membaiki atau menutup sesebuah kem lama.

Nilai Strategik Kem
Jika sesebuah kem memiliki nilai strategik yang belum luntur, besar kemungkinan adalah kem tersebut akan dibaiki dan dinaiktarafkan. Bangunan kayu akan diruntuhkan dan digantikan dengan bangunan konkrit.  Ketika ini, kem akan dikosongkan dengan anggota dipindahkan ke kem lain untuk sementara.

Oleh itu, kem seperti Kem Wardieburn yang strategik masih dikekalkan, manakala kawasan yang dahulunya strategik, seperti Pengkalan Udara Sungai Besi yang telah dikelilingi pembangunan, telah ditutup dan tanahnya dipulangkan kepada kerajaan.

Kos Operasi
Satu faktor utama adalah keupayaan untuk mengoperasikan dua atau lebih kem dalam kawasan yang sama.  Sekiranya satu kem di dalam kawasan tersebut berupaya memberi sokongan kepada operasi keselamatan di kawasan tersebut, maka untuk memiliki satu lagi kem yang sama di kawasan operasi tersebut sudah tidak menjadi sesuai.

Ini adalah antara sebab utama kenapa Pengkalan Udara Sungai Besi yang terletak dalam kawasan operasi sama dengan Pengkalan Udara Subang, telah dipilih untuk ditutup.  Apatah lagi, Pengkalan Udara Subang juga berfungsi sebagai pusat simpanan bekalan bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi rantau Asia Tenggara.

Pencerobohan Pembangunan
Disebabkan keadaan selamat yang wujud di sekitar kem tenteta di masa lampau, tanah di sekeliling kem telah banyak diurbanisasikan.  Ironinya, pembangunan dan urbanisasi ini yang sudah masuk ke kawasan penampan di sekitar kem, seterusnya mengganggu-gugat kewujudan kem itu sendiri.

Zon-zon penampan ini sepatutnya menjadi kawasan yang tidak boleh ceroboh untuk keselamatan kem, telah diambilalih untuk pembangunan, sama ada secara sah ataupun haram oleh penduduk sekitar.  Zon-zon penampan ini sepatutnya digunakan sebagai kawasan bunuh sekiranya berlaku serangan.  Pada masa sama, zon ini menyukarkan pengintipan daripada luar.

Pencerobohan pembangunan seperti ini adalah antara sebab bagaimana sepasukan skuad membunuh pengganas komunis berjaya merapati Pengkalan Udara Sungai Besi untuk melancarkan serangan mortar yang merosakkan beberapa buah pesawat pengangkut Caribou.

Kem Majidee juga menjadi mangsa, perlu berpindah kerana kawasan perumahan sekitar memberi terlalu banyak lokasi untuk pengintipan.

Kem Majidee - tinggal kenangan.
Sumber gambar - Sinar Harian.

Oleh itu, kem-kem baru biasanya dibina di kawasan luar bandar yang jauh daripada kawasan perbandaran.

Kem Bermakna Menang Mudah untuk Parti Pemerintah
Sekarang kita memahami kenapa kem lama perlu ditutup dan digantikan dengan kem baru, mari kita lihat tuduhan sama ada terdapat kebenaran mengenai pembinaan kem baru di Sembrong adalah untuk mengukuhkan kedudukan DS Hishammuddin.

Sekiranya sesuatu kawasan parlimen itu memiliki kem tentera atau polis bermakna kemenangan mutlak parti pemerintah, sudah tentu menjadi logik jika semua kawasan parlimen ini sudah dimenangi Barisan Nasional semasa PRU13.

Mari kita lihat 9 kem utama seluruh negara.  Kem-kem ini dipilih kerana merupakan kem besar dengan bilangan anggota serta keluarga mereka, menjanakan sejumlah tinggi individu berpotensi menjadi pengundi di kawasan tersebut.

Satu lagi sebab adalah kedudukan kerusi parlimen lokasi-lokasi ini mudah ditentukan.


Daripada 9 kem yang dipilih, 7 dimenangi oleh pembangkang. Hanya 2 sahaja dimenangi BN.

Apa Makna Ini?
Dua perkara.  Pertama adalah kehadiran kem ini tidak menjamin kemenangan parti pemerintah di kawasan tersebut.

Kedua, pegawai dan anggota tentera diberi kebebasan untuk memilih siapa yang mendapat undi mereka.  Sekiranya ini tidak benar, kenapa ramai bekas tentera yang memilih untuk menyokong pembangkang selepas persaraan mereka?

Berdasarkan di atas, kita boleh mengatakan bahawa sememangnya sekadar dakyah politik untuk menuduh pembinaan kem tentera baru di Sembrong itu sebagai usaha untuk DS Hishammuddin untuk mengukuhkan kedudukannya.

Tiada Kem Baru di Kawasan BN Mahupun di Kawasan PH
Seperti disebut tadi, DAP telah menuduh pembinaan kem baru ini percubaan memindah pengundi.

Sekiranya membina kem tentera baru di kawasan parlimen yang dikuasai pembangkang tidak dibenarkan, dan juga tidak dibenarkan di kawasan parlimen yang dikuasai parti pemerintah, di mana lagi kem tentera baru boleh dibina?

Apakah mereka ingin melihat bendera lain berkibar?

Atau mereka lebih suka melihat bendera lain selain Jalur Gemilang dikibarkan di atas tiang bendera?

No comments:

Post a Comment