Saturday, March 17, 2018

Perwira-Perwira Negara yang Dilupakan

Panglima Tentera Darat AS Jeneral George Washington yang juga merupakan Presiden pertama Amerika Syarikat dipercayai pernah mengungkapkan kata-kata hikmah "sebuah negara dihakimi betapa ianya melayani warga veterannya".  Beliau sebagai seorang Panglima Tentera Darat dan memimpin Tentera Continental AS dalan perjuangan kemerdekaan negara tersebut, tidak hairanlah bagaimana kata-kata hikmah tersebut dikaitkan dengan beliau.

Walaupun kata-kata hikmah tersebut mungkin bukan diutarakan oleh beliau, namun hakikatnya adalah kebenaran yang dibawa kata-kata hikmah tersebut.  Sekiranya sebuah negara gagal menunaikan tanggungjawabnya kepada putera-puterinya yang telah mengabadikan perkhidmatan mereka kepada negara mereka ketika tenaga mereka diperlukan, dengan melayani mereka dengan seberapa upaya, ke manakah letaknya maruah negara tersebut?

Walaupun kata-kata hikmah tersebut adalah kata-kata daripada seorang Presiden AS dalam hal-ehwal kebajikan veteran, kata-kata hikmah ini adalah amat tepat dalam membayangkan permasalahan yang sama pada negara kita.


Rundingan atau Pertumpahan Darah?
Sering kali diperkatakan bahawa kita memperoleh kemerdekaan kita melalui rundingan.  Yang kita telah mewarisi sebuah negara yang aman dan kaya sumbernya.  Anda akan jumpa pembayang ini dalam buku teks sekolah kita dan dijadikan mukadimah sejarah negara kita oleh mereka yang berkuasa.

Sejarah Penuh Berdarah
Hakikatnya adalah jauh panggang daripada api.  Apabila negara kita mencapai merdeka pada 1957, negara kita sebuah negara yang sedang bangkit daripada bayang-bayang perang saudara.  Hakikatnya, Darurat yang diisytiharkan pada 16 Jun 1948 merupakan perang saudara sebenar-benarnya.  Di satu pihak, kerajaan Malaya berhaluan tengah yang berbaik dengan British, dan di satu belah, kumpulan gerila komunis berhaluan kiri tegar dalam peperangan bersenjata.

Walaupun kerajaan-kerajaan ketika itu yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu) dan David Marshall (Singapura) sudi menerima pelawaan Chin Peng untuk rundingan damai di Baling, Kedah, tuntutan Komunis untuk menyimpan senjata mereka sambil ditentusahkan sebagai parti politik yang sah, dengan tuntutan-tuntutan mereka yang lain, membayangkan tujuan sebenar mereka untuk menubuhkan sebuah negara komunis, sama ada melalui kaedah yang sah, mahupun secara paksaan bersenjata.  Malahan, mereka memilih untuk tidak mengiktiraf kemerdekaan yang diperoleh melalui kaedah rundingan daripada British.

Rombongan untuk Rundingan Baling.  Sumber - Arkib Negara.

Hakikatnya, Shamsiah Fakeh, salah seorang pemimpin AWAS dan antara individu Melayu berhaluan kiri yang telah melarikan diri ke China telah mengakui bahawa dalam sebuah persidangan yang diadakan sekitar tahun 1970-an di Vietnam, parti komunis tersebut telah merencanakan kemusnahan Malaysia sebagai salah satu teras tunjangnya.

Selepas Persekutuan Malaysia ditubuhkan dengan menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak, muncul pula ancaman baru.  Di Sarawak, PARAKU (Partai Rakyat Kalimantan Utara) dan PGRS (Parti Gerakan Rakyat Sarawak) telah cuba merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Ketua Menteri Stephen Kalong Ningkan.  Dengan bantuan daripada KKO Indonesia, mereka pernah berjaya menubuhkan sebuah pasukan elit.  Di Singapura, KKO Indonesia turut mensasarkan orang awam.  Sebutir bom meletup di sebuah restoran menyebabkan kematian orang awam.  Si pelaku berjaya ditangkap dan kemudiannya dihukum gantung sampai mati.

Di Labis, Johor, anggota para tentera Indonesia telah terjun masuk.  Sebelum mereka berjaya ditangkap, mereka telah berjaya membunuh sebilangan sasaran.  Antara yang paling dikenali adalah serangan hendap ke atas Rejimen Infantri Singapura Pertama, di mana 7 anggota telah terkorban sebelum mereka sempat bertindak.

Ini hanya adalah sebahagian daripada sejarah yang dirakamkan dalam nota kaki sejarah negara kita.  Walaupun menyedari bahaya yang bakal ditempuh, putera-puteri patriotik tetap menyahut panggilan Pertiwi untuk berkhidmat dan mempertahankan negara, sama ada melalui Angkatan Tentera Malaysia Seri Paduka Baginda mahupun Polis DiRaja Malaysia Seri Paduka Baginda.

Adakah Kita Cukup Berterima Kasih?
Tetapi adakah kita betul-betul berterima kasih kepada putera dan puteri negara yang berjuang mempertahankan negara jauh nun di dalam hutan belantara, meredah lautan luas, di dalam kegelapan malam?  Ada antara mereka ini dianugerahkan darjah keberanian tertinggi Negara, iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) , Panglima Gagah Berani (PGB), Jasa Perkasa Persekutuan (JPP), Pingat Tentera Udara (PTU) dan Kepujian Peruntukan Keberanian (KPK).  Kedua-dua pingat diberikan kepada mereka yang telah menunjukkan inisiatif dan keberanian di medan tempur ataupun dalam menghadapi ancaman, serta menghadapi bahaya yang amat tinggi.


Ramai daripada penerima anugerah-anugerah ini tidak berpeluang untuk menerima pingat ini secara peribadi kerana mereka telah terkorban semasa tugasan.  Tidak ramai yang mendapat pingat-pingat ini semasa mereka semasa masih hidup.  Tetapi, negara ini seperti tidak menghargai pengorbanan mereka.

Kita lihat beberapa kes.

Pesara Sarjan Mejar Ngalinuh Bala
Pesara Sarjan Mejar Ngalinuh Bala merupakan bekas anggota polis dalam Pasukan Polis Hutan sehingga beliau dikurniakan dengan anugerah SP untuk kecemerlangan beliau dalam serangan hendap oleh musuh di Jalan Oya, Sarawak. Unit beliau seramai 5 orang ketika itu telah diserang hendap oleh musuh semasa mereka sedang menjalankan tugas mengiringi bekalan bahan letupan.  Beliau berjaya menangkap seorang musuh hidup-hidup walaupun ketika itu beliau telah mengalami kecederaan tikaman yang boleh membawa maut di dada beliau dalam pertempuran tanpa senjata.  Pengganas-pengganas lain pula berjaya melarikan diri.

Pada tahun 2007, The Star telah mendapat tahu bahawa beliau hidup dalam kedaifan di Kuching.  Di sebalik harapan untuk hidup selesa di rumah sendiri, beliau terpaksa hidup di sebuah rumah setinggan yang dibina di atas tanah kerajaan.  Terbaru, beliau telah digambarkan terpaksa beratur dengan rakyat biasa, dengan staf poliklinik serta orang awam di sekelilingnya tidak tahu langsung statusnya.



Melihat status beliau inilah, yang membuat saya untuk melihat dengan lebih terperinci kesulitan hidup yang dihadapi oleh ramai veteran.

ASP (B) Wilfred Gomez Malong
Seorang daripada Unit Penyusupan Cawangan Khas, mendiang mengetuai seksyennya seramai 2 orang anggota polis lain ketika mereka terserempak dengan sekumpulan musuh di Kanowit, Sarawak.

Tanpa mengetahui kekuatan pasukan musuh, mereka telah merangkak selama 5 jam untuk sampai ke kedudukan musuh.  Salah seorang daripada mereka terpijak ranting kering dan ini telah mengejutkan musuh.  Dalam masa 10 minit, mereka telah berjaya membunuh 4 musuh, manakala yang lain telah melarikan diri.  Hanya selepas pertempuran tamat bahawa mereka sedar mereka telah menyerang pasukan musuh yang berkekuatan 6 kali bilangan mereka kerana terdapat sekurang-kurangnya 18 orang musuh.

Tindakan cemerlang beliau membawa kepada pengurniaan anugerah Panglima Gagah Berani.

Awal tahun 1980-an membawa kepada mendiang dan sebilangan pegawai polis Sarawak meletak jawatan untuk meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang.  Mendiang kemudiannya memasuki politik sebagai seorang ahli parti pembangkang.  Kesannya sebagai ahli politik tidak banyak, tetapi telah membawa kepada keburukan kepada mendiang.  Permintaan mendiang untuk dikebumikan di Perkuburan Pahlawan Sarawak di Kuching telah ditolak.  Mendiang meninggal dunia akibat kanser usus dan telah dikebumikan di perkuburan Kampung Entingan pada Februari 2013.

Aduan-Aduan Lain
Berikut adalah sebahagian daripada aduan lain yang dikongsikan oleh veteran polis dan tentera kita.  Apa yang saya dapat kongsikan adalah lebih menjurus kepada apa yang dihadapi oleh sebilangan pemegang anugerah SP dan PGB.  Bagaimana pula dengan veteran-veteran biasa yang tidak menerima sebarang anugerah?

Emolumen
Bagi penerima SP dan PGB, mereka sekurang-kurangnya menerima wang sebanyak RM2,000 dan RM1,500 di atas pencen (bagi pesara) atau gaji sedia ada.  Itupun kalau mereka masih hidup semasa menerima anugerah.  Bagi mereka yang terkorban dalam pertempuran, waris mereka cuma menerima RM20,000 (SP) atau RM15,000 (PGB) sahaja.  Elaun ini akan ditamatkan pada bulan pemegang anugerah meninggal dunia.

Dari satu segi, penerima SP dan PGB tidaklah mendapat pulangan yang banyak, terutamanya sekira mereka terbunuh.  Waris yang layak bukan sahaja kehilangan orang tersayang, malahan juga tidak layak menerima elaun tersebut.  Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pernah cuba melobi untuk mendapatkan elaun ini dibayar kepada waris yang layak, malangnya tiada khabar berita sehingga ke hari ini.

Kelihatan pingat PGB yang dikurniakan kepada L/Kpl Azrul Tukiran.  Arwah terbunuh dalam serangan hendap di Kampung Simunuljaya.

Juga pada masa sama, tidak dilihat sama ada terdapat usaha untuk meminda Akta Kenangan Seri Pahlawan Gagah Perkasa 1990 dan Akta Kenangan Panglima Gagah Berani 1990 untuk membetulkan klausa nilai pembayaran elaun bulanan yang masing-masing masih menunjukkan nilai RM400 dan RM300.*

Sekurang-kurangnya bagi para veteran yang lain, pencen sudah dinaikkan ke sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan semenjak 2009.  Berbanding suatu ketika dahulu, ada antara penerima pencen hanya menerima pencen kedekut sekitar RM500 hingga RM600 sahaja.  Tetapi dengan hampir 10 tahun sudah selepas pencen dinaikkan, nilai pencen sepatutnya dikaji semula.  Mungkin, lebih afdal jika dilakukan setiap 5 tahun.  Tahun 2015, elaun bagi ahli Parlimen memperlihatkan bayaran mereka meningkat daripada RM11,000 ke RM16,000.  Kenaikan elaun untuk setiap ahli Parlimen, cukup untuk memberi 10 veteran kenaikan pencen sebanyak RM500.  Sekiranya kita boleh memberi kenaikan elaun kepada ahli Parlimen pada tahun 2015, kenapa tidak boleh buat perkara sama untuk para veteran kita?

Faedah Perubatan
Para veteran juga menerima faedah perubatan yang sama seperti rakyat biasa yang lain.  Namun begitu, ini memaksa mereka untuk berbaris lama untuk menunggu giliran mereka bersama rakyat biasa yang lain.  Walaupun adalah difahami bahawa sistem kesihatan hospital kerajaan memberi perkhidmatan kesihatan berdasarkan sistem triage, adalah amat sedih melihat para veteran yang sudahpun berkorban begitu banyak demi Negara tidak diberi keutamaan.

Dalam hal ini, saya perlu memuji DS Hishammuddin Hussein atas usaha beliau dalam membantu veteran Angkatan Tentera dengan meluluskan rancangan untuk penubuhan sebuah Hospital Angkatan Tentera di Perak untuk menjaga kebajikan para veteran.  Tetapi veteran bukan sahaja ditemui di Kuala Lumpur atau Perak.  Apapun, ini langkah awal yang baik.  Mungkin Angkatan Tentera boleh mempertimbangkan untuk membenarkan hospital-hospital ini untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada para veteran daripada agensi-agensi keselamatan lain sebagai sebahagian daripada inisiatif NBOS?

Seperkara lagi, Kerajaan patut mempertimbangkan untuk memberi bantuan dari segi pengangkutan kepada para veteran yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan di hospital.  Bukan semua veteran cukup berada dan ada juga yang memerlukan bantuan pengangkutan dari masa ke semasa.  Mungkin juga boleh disediakan pegawai pengiring yang boleh membawa warga veteran mendapatkan rawatan.

Tidak Dihormati dan Dihargai
Acap kali kalau anda berbual dengan veteran, sama ada mereka yang pernah dikurniakan dengan anugerah keberanian ataupun veteran biasa, ada kalanya anda akan dapat menangkap perasaan kekecewaan.  Kecewa kerana pengorbanan mereka dan rakan-rakan mereka yang telah tumbang seperti tidak dihargai.  Sama ada secara sengaja ataupun disebabkan kurangnya pemahaman, kurangnya hormat diberikan kepada golongan veteran.

Ambil contoh upacara rasmi.  Walaupun SP adalah anugerah Persekutuan paling kanan dan PGB adalah ke-19 paling kanan, susunatur kerusi mereka di majlis rasmi adakalanya tidak mengikuti susunatur kekananan sepatutnya.  Begitu juga dengan JPP, PTU dan KPK yang mempunyai tarf kekananan mereka sendiri.  Seperti jemputan untuk mereka sekadar memenuhi tugas yang diberikan.  Terdapat juga majlis rasmi kebangsaan, seperti Hari Kebangsaan di mana tiada jemputan diberikan kepada golongan veteran.  Ini adalah amat ketara bagi veteran polis, terutamanya mereka yang tinggal di luar Lembah Klang, sekiranya upacara rasmi dijalankan di Lembah Klang.  Sepatutnya, dengan bilangan sekerat sahaja penerima SP dan PGB yang masih hidup, sepatutnya tidak susah atau tidak terlalu mahal untuk menjemput mereka. 

Kurangnya penghargaan terhadap pengorbanan mereka juga menyebabkan golongan muda hari ini tidak peka akan pengorbanan para veteran.  Mereka lebih mudah mengingati nama-nama bintang K-pop berbanding nama-nama para veteran. 

'Sejarah Alternatif' yang Menyakitkan 
Yang paling menyakitkan hati para veteran adalah tindakan segelintir individu dalam negara ini yang cuba mengusulkan pengiktirafan 'sejarah alternatif'.  Golongan ini sekian lama cuba membawa penafsiran sejarah haluan kiri yang cuba mengaku bahawa mereka adalah golongan patriot sebenar walaupun hakikatnya mereka tetap terus mengangkat senjata menentang negara selepas Rundingan Baling pada tahun 1955 dan selepas Merdeka dicapai.

Sebilangan individu ini cuba menunjukkan bagaimana 'golongan patriot sebenar' ini telah berjuang dengan bersungguh-sungguh, terpaksa hidup dalam buangan di negara asing.  Tetapi mengelakkan menyebut atau melupakan penglibatan 'patriot sebenar' ini dalam usaha untuk memusnahkan Malaysia hanya kerana kita tidak memegang ideologi politik yang sama.  Pada masa yang sama, para veteran kita, golongan patriot sejati, terus kekal diabaikan.

Ada antara individu yang mempromosikan 'patriot sebenar' ini adalah ahli politik yang membawa agenda ini untuk maklamat politik peribadi.  Terdapat ahli politik tertentu yang telah mencadangkan bahawa para perwira polis yang terkorban dalam tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong untuk tidak diiktirafkan sebagai pejuang negara kerana mereka berkhidmat dengan polis British.  Hakikatnya, mereka bukan polis British.  Bermula 1 Februari 1948, iaitu lebih kurang 4 bulan sebelum Darurat diisytiharkan, Persekutuan Tanah Melayu sudahpun ditubuhkan, sebagai sebuah negara yang bernaung di bawah perlindungan kerajaan British dan Pasukan Polis Malaya sudahpun menjadi agensi kepolisan untuk Persekutuan Tanah Melayu.  Dan kita bukannya sebuah jajahan Crown Colony.  

Terdapat juga seorang ahli agama selebriti yang cuba membawa agenda bahawa Lt Muda Adnan Saidi, Rejimen Askar Melayu, tidak mati sebagai wira negara semasa Perang Dunia Kedua kerana beliau berkhidmat sebagai pegawai British.  Hakikatnya, beliau mati sebagai wira negara.  Tauliah Lt Muda Adnan Saidi dikurniakan di bawah Duli Majlis Raja-Raja Melayu, bukannya tauliah Raja British.  Malah zaman itu, ada anggota lain-lain pangkat British yang enggan menabik hormat pegawai-pegawai Rejimen Askar Melayu dan Askar India kerana tauliah mereka bukannya tauliah Raja British.  Penubuhan Rejimen Askar Melayu pula adalah melalui sokongan yang diberikan oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan ditubuhkan menggunakan rang undang-undang di Tanah Melayu.

Perubahan
Mungkin untuk permulaan, perubahan perlu datang daripada Kerajaan.  Adakan lebih banyak majlis untuk meraikan pengorbanan para perwira ini.  Gunakanlah jentera Kerajaan yang terbentang luas seluruh negara untuk menyebarkan pengorbanan para perwira ini.  Ingatkan rakyat dan negara ini bahawa negara ini amat berterima kasih atas pengorbanan para perwira ini.  

Perlu diingatkan, jika anda cuba membawa dan mengaitkan para perwira ini dengan ideologi politik, bersedialah untuk diserang dengan keras.  Seperti dilihat semasa pilihan raya Sarawak yang diadakan tidak lama dahulu, percubaan untuk menggunakan imej bekas Pegawai Waran (I) Kanang anak Langkau, SP, PGB untuk menyokong seorang calon dari Barisan Nasional telah diserang dengan teruk.



Hari Perwira yang sedia ada juga perlu dinaikkan tarafnya.  Diadakan setiap 31 Julai, majlis ini langsung seperti tidak wujud dalam kehidupan ramai rakyat Malaysia.  Adalah baik sekiranya Kerajaan boleh menjemput seberapa ramai yang boleh para veteran, terutamanya pemegang anugerah SP dan PGB untuk ke majlis ini.  Dengan liputan media yang meluas, Kerajaan boleh menggunakan uparaca ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia akan pengorbanan para perwira ini.

Mungkin juga ada baiknya sekiranya para penyedia kandungan media Malaysia mengambil peluang ini untuk menyediakan lebih banyak bahan untuk Hari Perwira.  Izinkan saya untuk menarik perhatian anda kepada rakan seperjuangan berpena, Cik Aenid Abdullah.  Seorang guru, beliau telah menghabiskan banyak masa peribadinya berjumpa dengan para veteran untuk merakamkan kisah mereka.  Sehingga ke hari ini, beliau telah berjumpa dengan sebilangan veteran untuk merakamkan kisah mereka. 

Kelihatan Cik Aenid Abdullah dalam semasa berjumpa dengan veteran VAT69, arwah Ismail Rantai tidak lama sebelum arwah meninggal dunia.

Seorang lagi yang perlu diambil perhatian adalah pengarah filem Malaysia Adrian Teh.  Baru-baru ini, beliau telah memulakan penggambaran untuk filem terbaru beliau, Paskal.



Tetapi bagi saya, individu yang paling perlu disebut adalah Lt Kol (B) Dr Syed Othman Syed Omar.  Seorang bekas pegawai infantri dengan Rejimen Askar Melayu Diraja, beliau kehilangan penglihatan beliau selepas mengalami kecederaan dalam satu operasi.  Walaupun kehilangan penglihatannya, beliau terus kekal dalam perkhidmatan tentera dan telah berhasil menulis beberapa buah buku yang meliputi sejarah Angkatan Tentera Malaysia.  Inspirasi daripada buku-buku beliau inilah saya mengenali ramai perwira Angkatan Tentera Malaysia yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum, agama, dan keturunan.

Lt Kol (B) Dr Syed Othman Syed Omar ketika dalam perkhidmatan.

Karya-karya ini akan menjadi hadiah kepada generasi masa depan untuk memahami pengorbanan yang perlu dilalui Negara kita.  Dan akan menjadi sumber kebanggaan kepada keturunan mereka.  Kandungan-kandungan yang dihasilkan ini juga akan menjadikan para putera-puteri negara ini sebagai contoh kepada generasi masa depan.

Setiap individu pastinya ingin melihat hasil pengorbanan mereka.  Dalam kes para veteran, keamanan yang kita kecapi hari ini adaah hasil pengorbanan mereka, penat lelah mereka, hasil tumpah darah mereka, dan dalam sebilangan kes, dibayar dengan nyawa mereka atau rakan mereka, sama ada polis atau tentera.  Jadi rasanya adalah tidak keterlaluan untuk memohon daripada kerajaan untuk diberikan keistimewaan untuk mengembara dalam negara secara percuma, menaiki bas ataupun keretapi.  Bagi pemegang anugerah SP/PGB/JPP/PTU/KPK, adalah amat baik sekiranya mereka juga diberikan keistimewaan untuk terbang secara percuma dalam negara.  

Sebahagian daripada program pertukaran ketenteraan negara, adalah ada baiknya sekiranya para veteran kita, terutamanya mereka yang memegang anugerah SP/PGB/JPP/PTU/KPK untuk dilibatkan bersama.  Sebagai sebahagian daripada delegasi, terutamanya untuk bertukar pendapat dengan para perwira negara lain.  Ini memberi peluang kepada mereka berkongsikan sejarah negara kita dengan negara lain, dan juga memberikan suatu muka yang negara-negara sahabat boleh kenali.  Program pertukaran ini juga boleh dilakukan antara negara-negara Komanwel.

Satu galeri juga patut dibina untuk merekodkan nama-nama para putera-puteri yang menjadi perwira negara yang telah berkorban begitu banyak untuk negara ini.  Galeri ini akan menjadi bukti pengorbanan yang dilakukan demi negara dan menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda dengan contoh yang lebih baik.

Nama-nama para perwira ini juga perlu diberi keutamaan dalam menamakan jalan-jalan baru ataupun bangunan baru kerajaan dalam negara.  Lebih baik, sekiranya batu penanda diletakkan di lokasi jalan-jalan ini dengan sejarah di sebalik nama-nama ini.  Dengan langkah ini, akan dapat mengelakkan berulangnya peristiwa percubaan untuk menamakan semula sebatang jalan yang dinamakan sempena Tan Sri Khoo Chong Kong, Ketua Polis Negeri Perak yang menjadi korban skuad pembunuh komunis di sekitar tahun 70'an 

Satu-Satunya Perkara Betul Yang Perlu Dilakukan
Hanya ini satu-satunya perkara betul yang kita perlu lakukan.  Untuk kita rakyat Negara ini untuk menjaga perwira kita, askar kita.  Mereka suatu ketika dahulu berjuang untuk kita.  Sekarang tibalah masa kita berjuang untuk mereka.

Sekiranya tidak, memetik kata-kata 
seorang perwira yang tidak didendang ini, tidak akan ada lagi perwira baru yang sanggup berjuang untuk rakyat yang tidak bersyukur Negara ini.

Bacaan tambahan:
EPISODE 031: ANUGERAH KEPAHLAWANAN NEGARA
* sila periksa dengan sumber rasmi.  Salinan akta yang saya jumpai masih lagi meletakkan nilai lama.

No comments:

Post a Comment