Monday, January 13, 2020

Gaji Bulan ke-13

Baru-baru ini, seorang jurutera telah menulis mengenai gaji bulan ke-13, sambil meletakkan tanda pagar #13monthbonus dan #bonus. Mungkin ada yang merasakan apa yang dibawa oleh jurutera itu sekadar mainan matematik sahaja. Tetapi hakikatnya, apa yang beliau tulis adalah betul. Untuk memahami kenapa apa yang beliau tulis adalah betul, kita perlu menelusuri sejarah negara kita.

Apabila kegiatan ekonomi seperti aktiviti pelabuhan berkembang pesat di negara kita, golongan majikan mendapati bahawa mereka memerlukan golongan pekerja yang boleh dikerah. Bagi mengatasi masalah ketiadaan tenaga pekerja, upah hanya dibayar setiap 2 minggu. Oleh sebab upah dibayar setiap 2 minggu, maka dalam setahun, seorang pekerja akan dibayar sebanyak 26 kali kerana dalam setahun, terdapat 52 minggu. 

Semua ini berubah dengan pengenalan Akta Pekerjaan 1955. Dua seksyen dalam akta tersebut telah menjadikan pembayaran upah setiap 2 minggu menjadi suatu beban tambahan kepada para majikan.

Seksyen 19 mewajibkan pembayaran gaji dan upah dibuat 7 hari selepas tamat tempoh upah. Manakala Seksyen 25 pula mewajibkan pembayaran gaji melalui bank. Pekerja boleh memohon pelepasan untuk menerima bayaran dalam bentuk wang atau cek, tetapi ini akan membuka ruang untuk salah guna sama ada oleh majikan atau pekerja itu sendiri. Sebagai contoh, gaji sudah dibayar tetapi pekerja menafikan telah menerima bayaran. Atau, majikan tidak membayar gaji, tetapi mengaku sudah membuat bayaran.

Pembayaran gaji dan upah melalui bank pula menjadi satu kos tambahan kepada majikan sama ada dalam bentuk caj bank atau duti setem hasil (semua bil perdagangan termasuk cek dikenakan duti setem hasil). 

Memandangkan majikan diberi kuasa untuk menentukan tempoh upah, maka ramai majikan memilih untuk membuat bayaran gaji dalam tempoh bulanan. 

Secara amnya, 1 bulan ditakrifkan sebagai 4 minggu. Jadi, dalam pengiraan matematik mudah akan menganggap bahawa dengan menggabungkan gaji dan upah 2 kali pembayaran akan bersamaan dengan 1 bulan. 

Tetapi dalam sebulan, terdapat antara 28 hari sehingga 31 hari. Hanya bulan Februari sahaja yang betul-betul menepati 4 minggu. 

Hanya selepas itu, barulah muncul isu bulan ke-13. Berhadapan dengan dilema ini, sesetengah majikan mula membayar gaji bulan ke-13, biasanya pada hujung tahun perniagaan.

Bagi perniagaan yang tidak membayar gaji bulan ke-13 pula, tidak bermakna mereka telah 'menipu' golongan pekerja. Terdapat juga majikan yang bertindak mengira jumlah pendapatan keseluruhan dalam tempoh 13 bulan dan membuat bayaran berdasarkan 12 bulan. Yakni, bonus 1 bulan itu telah diserap ke dalam gaji bulanan pekerja tersebut. 

Apakah cara yang paling adil? Secara jujur, tiada cara yang terbaik mengira. Disebabkan ramai orang yang tidak mengetahui mengenai 13-bulan ini, ramai pekerja sebenarnya mendapati mereka tidak mendapat gaji setimpalnya apabila bertukar kerja dari syarikat yang mempunyai bonus kontrak ke syarikat yang tidak membayar bonus kontrak. Ini adalah kerana kebanyakan unit sumber manusia majikan hanya meminta slip gaji 3 bulan untuk menentukan gaji baru untuk ditawarkan kepada bakal pekerja baru. Walaupun majikan baru boleh memohon alternatif untuk mendapatkan Borang EA (bagi pekerja swasta) atau Borang EC (bagi pekerja kerajaan) untuk tujuan yang sama, tetapi secara keseluruhannya bukan lagi satu kelaziman di Malaysia.

Adakah isu ini boleh diatasi? Boleh kot kalau Kerajaan jadikan sebagai undang-undang. Tetapi implikasinya perlu dikaji terlebih dahulu sebelum apa-apa langkah diambil.

1 comment:

  1. Sesiapa yg perlukan khidmat kiraan gaji dan payslip, whatsap saya +60196768941 atau email slipgajimalaysia@gmail.com
    Untuk yg bekerja saja.

    ReplyDelete