Sunday, February 9, 2020

Ops Daulat - Mereka Yang Terlibat - Bahagian Kedua


Kita telah lihat sejarah bagaimana tragedi ini terbina, bukannya semalaman tetapi hasil daripada kesilapan bertahun-tahun yang cuma kita rasai hari ini. Seterusnya, kita akan melihat bagaimana kisah ini terus terungkai. Kali ini dari perspektif mereka yang terlibat, dan peristiwa sekurang-kurangnya 1 tahun sebelum tragedi berdarah tersebut. Nama-nama sesetengah individu diubah bagi melindungi identiti mereka. Berikut adalah kisah-kisah mereka, digarap sama ada daripada temubual ataupun sumber sekunder lain.


Inspektor (dinaikkan pangkat ke ASP) Zulkifli Mamat

Berasal dari Besut, Terengganu, minat beliau dalam bidang kepolisan terserlah semasa pengajian beliau di peringkat sarjana muda di Universiti Utara Malaysia apabila beliau menyertai pasukan Kor Sukarelawan Siswa/Siswi Polis, atau lebih dikenali sebagai Kor SUKSIS. Setelah beliau menamatkan pengajian di situ, beliau menyertai Polis DiRaja Malaysia sebagai seorang pegawai. Beliau kemudiannya menyertai pasukan VAT69 dan merupakan antara generasi baru pegawai dalam pasukan tersebut.

Berkahwin dengan Puan Nor Aziah Noor yang berasal dari Perlis, pasangan tersebut mempunyai dua orang anak lelaki pada bulan Februari 2013, Mohamad Akmaludin dan Mohamad Akil.  Ketika dihantar ke medan operasi di pertengahan Februari, beliau belum lagi mengetahui bahawa isterinya telahpun mengandungkan zuriat ketiga. 



Korporal (dinaikkan pangkat ke Sarjan) Sabarudin Daud
Antara veteran dalam pasukan VAT69 dengan pengalaman berpuluh tahun, beliau merupakan antara sahabat rapat kepada ASP Zulkifli Mamat. Usia dan pangkat tidak memisahkan mereka.

Beliau yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor berkahwin dengan Puan Nurul Nisah Abu. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Haziq Wahiduzzaman, Hazriq Zarif dan seorang anak perempuan, Haziqah Zuhairah.









Superintenden (dinaikkan pangkat ke Asisten Komisioner Polis) Ibrahim Lebar
Berasal dari Melaka, beliau menyertai PDRM setelah tamat zaman persekolahan di Tingkatan 6.  Hasil perkahwinan beliau dengan Puan Rosiah Dahlan, seorang juruaudit dalaman sebuah bank swasta pada tarikh 2 Mac 1991 telah menganugerahkan mereka seorang anak lelaki (Amirul Shafiq) dan dua anak perempuan (Amira Shahira dan Amira Shahida). Walaupun beliau sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pegawai polis Cawangan Khas Bukit Aman, itu tidak menghalang beliau daripada menghubungi isterinya setiap hari. 

Anak-anaknya juga berpelajaran tinggi. Salah seorang daripada anak perempuannya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir bermula tahun 2011. 

Semuanya berkat usaha seorang patriot dengan seorang isteri yang penyayang.

Saya cuma berkesempatan menemui beliau sekali sahaja sekitar 2012. Ketika itu, kami sama-sama menghadiri perkahwinan anak seorang kenalan.

ASP (dinaikkan pangkat ke DSP) Michael Padel
Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Anak Bidayuh dari Serian, Sarawak ini membesar melihat ayahnya, mendiang Padel Sano menyarung pakaian seragam hijau tentera.  Ayah beliau merupakan seorang anggota Rejimen Renjer. Malahan, pak ciknya Bincent Najuh Rimo juga seorang veteran Tentera Darat.

Kelibat ayah dan pak ciknya dalam pakaian seragam hijau tentera menjadi inspirasi beliau untuk turut menjawab panggilan pertiwi dalam Polis DiRaja Malaysia. Malahan, beliau yang sedang mengikuti kursus inspektor kesihatan sanggup menarik diri dari kursus tersebut demi mencapai cita-citanya menyertai pasukan keselamatan.

Berkahwin dengan isterinya, Jabah Mingku Voon, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Macluie Michael pada tahun 2000.



Lans Korporal (dinaikkan pangkat ke Korporal) Azrul Tukiran 

Semporna - Setahun Sebelum Peristiwa
Sepasang adik-beradik kacukan Cina dan Melayu tiba di Semporna bagi mengejar minat mereka dalam sukan menyelam. Salah seorang daripada mereka kemudiannya tinggal di rumah salah seorang jurulatih penyelamnya. Ada seketika, salah seorang daripada mereka ternampak gambar jurulatih mereka itu berpakaian serba hijau dan memegang senjata api dalam telefon pintarnya. Gambar tersebut menghairankan mereka, tetapi apabila jurulatih mereka menyedari mereka ternampak gambar tersebut, hubungannya yang asalnya mesra mula menjadi penuh kebencian. 

Merasa takut, si kakak cuba meninggalkan rumah tersebut bersama adiknya. Tetapi percubaan mereka gagal apabila dihalang jurulatih dan keluarganya. Lebih menghairankan, adiknya seolah-olah tidak hendak meninggalkan keluarga tersebut. 

Mahu tidak mahu, si kakak terpaksa meminta bantuan daripada pak ciknya yang merupakan seorang anggota polis. Kebetulan, pak ciknya itu ditempatkan di Semporna bersama 14 Pasukan Gerakan Am. Namun, pak ciknya ketika itu sedang berada dalam operasi, memaksa gadis tersebut meminta bantuan daripada rakan-rakannya untuk membawa kedua anak gadis tersebut keluar. Salah seorang daripada anggota yang dihubungi untuk bantuan segera memanggil beberapa rakan lain untuk bergerak ke kampung tersebut untuk menyelamatkan kedua-dua gadis tersebut. Di kala mereka meninggalkan rumah tersebut, salah seorang penduduk kampung tersebut mengugut lans korporal muda itu bahawa dia akan memancung lans korporal itu. Selepas membawa mereka keluar, lans korporal muda itu, Lans Korporal Azrul Tukiran menceritakan kepada kedua-dua anak gadis yang berasal dari Pulau Pinang itu akan ketakutan yang dialaminya ketika itu ketika mereka ke Lapangan Terbang Tawau untuk meninggalkan Sabah.

Kisah di Sebalik Wajah Muda
Dari usia yang kecil, Azrul yang merupakan anak bongsu kepada Wak Tukiran, bekas Renjer yang suatu ketika dahulu pernah mengangkat senjata mempertahankan negara daripada anasir komunis, khususnya di Bahagian Pertama Sarawak. Melihatkan ayahnya yang segak dalam pakaian seragam hijau tentera, impian beliau adalah untuk menyertai tentera dan meneruskan legasi ayahnya.

Azrul membesar sebagai seorang yang bersikap memberontak. Apabila dia berumur 16 tahun dan mendapat lesen motornya, sikap memberontak itu mula terserlah. Jalan lurus di depan rumahnya menjadi medan perlumbaannya. 

Tetapi siapa sangka, anak muda yang suka merempit itu akhirnya memilih untuk menyarungkan pakaian seragam biru tua Polis DiRaja Malaysia. 

Seorang yang cukup minat dengan cabaran, beliau telah mencuba dalam pemilihan Unit Tindakan Khas UTK. Namun, rezekinya tidak kesampaian. Apapun, dia sudah bergelar seorang anggota polis.

Sarjan (dinaikkan pangkat ke Sarjan Mejar) Abdul Azis Sarikon
Seorang anak tempatan di Semporna, beliau amat memahami betapa penting tugasnya sebagai seorang anggota polis.

Ditempatkan dalam Pasukan Gerakan Am di Tawau, tugasan beliau bukanlah tugas senang. Namun, beliau tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah. Keempat-empat anaknya cukup cemerlang dalam pelajaran.

Isteri beliau, Siti Bandora merupakan tulang belakang kepada beliau dalam menjaga anak-anaknya, Mohd Faridzel Helmi, Liyana Abd Aziz, Nurul Sazwani Aziz, dan Mohd Aiman Hakimi.

Namun, panggilan pertiwi adakalanya perlu mengatasi segala tuntutan keluarga. 


Korporal (dinaikkan pangkat ke Sarjan Detektif) Baharin Hamit
Seorang bekas anggota Pasukan F di bawah Datuk Seri Leong Chee Woh, tugasannya di Cawangan Khas IPK Sabah boleh dikatakan tidaklah seteruk tugasnya yang terdahulu.

Hasil perkahwinan beliau dengan Puan Suriati Shahirah, beliau mempunyai dua cahaya mata, Mohd Izzat Syafiq Baharin dan Nur Izzaty Syafiqah Baharin.











Korporal (dinaikkan pangkat ke Sarjan) Salam Togiran
Ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, beliau merupakan seorang anggota tugas am. Tugas sebagai seorang anggota polis sudah cukup mencabar. Namun, beliau tidak gentar dengan bahaya yang dihadapi.














Pbt (dinaikkan pangkat ke Korporal) Ahmad Hurairah Ismail
Seorang anak Kelantan, beliau baru sahaja menguruskan hal ehwal pertunangannya. Namun, tugasnya sebagai seorang anggota tentera dalam 3 Rejimen Askar Melayu Diraja tetap diutamakan. Adalah pilihannya menyertai tentera, dan adalah tanggungjawabnya kepada negara.












Pbt (dinaikkan pangkat ke Korporal) Ahmad Farhan Ruslan
Seorang lagi anak Kelantan, Ahmad Farhan amat meminati bidang ketenteraan. Sama seperti Michael Padel dan Azrul, beliau mewarisi semangat tersebut daripada ayahnya, Ruslan Hassan yang merupakan pesara tentera. 

November 2012
Bermula daripada Oktober 2012, sedikit demi sedikit kumpulan militan yang bergelar Royal Sulu Force mula menyelinap masuk ke Sabah. Ada antara mereka telah biasa ke Sabah, dan di antara mereka terdapat juga anggota beberapa kumpulan militan lain. 








Hassan Basri
Kefasihannya berbahasa Sulu menjadikannya pilihan yang baik sebagai anggota Cawangan Khas bagi memerhatikan penduduk-penduduk berketurunan Sulu di sekitar pekan Semporna, khususnya di sekitar kampung-kampung air. Terdapat spekulasi bahawa dia sendiri berkemungkinan antara mereka yang telah mendapat kerakyatan melalui kaedah Projek IC. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada spekulasi ini ada asas atau tidak.


Dia menjadi rapat dengan sesetengah penduduk Sulu yang merupakan pelarian dari Selatan Filipina. Malahan menjadi amat rapat dengan segelintir pemimpin dari Selatan Filipina. 

Titik Pertemuan
Kesebelas individu-individu ini dari latar belakang berbeza, dari pelbagai unit berbeza. Namun, takdir akan menemukan mereka dalam peristiwa yang tercatat dalam lipatan sejarah negara.

Akan sambung ke Ops Daulat - Suatu Hari di Kampung Tanduo - Bahagian Ketiga (belum terbit)

Siri rencana ini ditulis sebagai tribute kepada pegawai-pegawai dan anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban dalam Op Daulat dalam mempertahankan negara daripada ancaman penceroboh dari Filipina, khususnya kepada arwah ACP Ibrahim Lebar dan keluarga, yang mana saya mengenali isteri arwah semasa di tempat kerja lama.  Tak lupa juga kepada arwah Korporal Azrul Tukiran dan keluarga yang kini rapat seperti keluarga sendiri.  Semoga Tuhan merahmati keluarga mereka. 


Nota: 

Gambar-gambar dari sumber internet.

No comments:

Post a Comment