Wednesday, February 12, 2020

Ops Daulat - Pertempuran Kampung Siminul dan Kampung Srijaya serta Pertempuran Sungai Nyamuk - Bahagian Keempat (Terakhir)


Sambutan Hari Tentera Darat diteruskan pada hari Sabtu, 2 Mac 2013 di Port Dickson. Namun, suasana suram dapat dirasai di kalangan hadirin di situ. Lagu-lagu yang dimainkan di corong pembesar suara syahdu, di muka-muka perajurit yang berbaris di situ mempamerkan wajah cekal. Saya tidak ingat lagi ucapan yang disampaikan panglima, tetapi sejurus selepas tamat majlis sambutan, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli mengarahkan meriam 105mm yang digunakan khusus untuk upacara rasmi yang diberi gelaran Laras Berdaulat dihantar segera ke Lahad Datu.


Pertempuran Kampung Siminul dan Sri jaya 
Manakala pada masa yang sama di Semporna, PDRM Bukit Aman telah selesai memproses maklumat daripada pintasan hubungan telefon dengan Agbimuddin Kiram.  Mereka mengesahkan kehadiran 3 suspek dipercayai bersembunyi di Kampung Siminul dan Kampung Sri Jaya. Bantuan dikerah dari Tawau, termasuk Superintenden Ibrahim Lebar. Sebelum memulakan operasi, beliau mengarahkan kesemua anggota untuk menyerahkan telefon masing-masing untuk simpanan di balai.  Hanya beberapa orang pegawai yang akan membawa telefon bimbit manakala yang lain hanya dihubungi dengan walkie talkie.

Sebelum mereka menyerahkan telefon bimbit masing-masing, Korporal Salam membuat panggilan telefon kepada isterinya Marlina Utan untuk memintanya berdoa akan keselamatannya sekitar jam 3pm.

Krisis yang dicetuskan oleh pencerobohan tersebut menyaksikan kedua-dua ATM dan PDRM tidak mempunyai persediaan secukupnya di Sabah. Bilangan senjata api moden didapati tidak mencukupi.  Akibatnya, stok senjata perang di Sabah terpaksa dibuka. Rifle SLR atau L1A1, versi FN FAL British dikeluarkan dari stor senjata. Namun, bagi operasi serbuan ini, tidak semua pegawai dan anggota dilengkapkan dengan senjata api. Superintenden Ibrahim Lebar tidak bersenjata manakala Kpl Salam dilengkapkan dengan sepucuk revolver. 

Di Semporna, kehadiran mereka diperhatikan oleh Detektif Korporal Hasan Basri. Memerhatikan bahawa pasukan polis tersebut digerakkan, dia segera menelefon kumpulan militan yang sedang bersembunyi di dalam kampung tersebut.

Tanpa dia sedar, panggilan telefon itu telah dipintas Cawangan Khas Bukit Aman. Namun, dengan bilangan pintasan rakaman meningkat mendadak akibat krisis yang mula meningkat itu, maklumat penting yang diperoleh dalam pintasan tersebut tidak sempat diproses untuk disampaikan kepada pasukan yang bersedia untuk menyerbu lokasi tersebut.

Sekitar jam 7.30pm dengan keadaan di Kampung Siminuljaya sudah gelap, ASP Michael Padel dan Korporal Baharin telah menahan 2 individu yang disyaki. ASP Michael menghubungi seorang pegawai lain memohon anggota tambahan bagi mengawal tahanan. Belum sempat anggota tambahan tiba, tembakan senjata automatik dilepaskan ke arah mereka. ASP Michael dan Korporal Detektif Baharin tumbang akibat tembakan. 

Keadaan menjadi kelam kabut. Dengan kampung tersebut dibina hanya dengan papan kayu dan atap zink, pasukan keselamatan menghadapi masalah untuk membalas tembakan kerana risiko tembakan tersebut menembusi dinding dan mengenai sasaran awam. Dengan kata lain, sekiranya kedua-dua Superintenden Ibrahim dan Kpl Togiran dilengkapkan dengan SLR, mereka tetap sukar bertindak kerana SLR menggunakan peluru 7.62mm NATO yang mempunyai daya penembusan yang jauh lebih tinggi dan malahan lebih tinggi daripada rifle M16A1 yang digunakan oleh beberapa orang anggota lain dalam operasi tersebut. 

Tidak lama selepas itu, Sarjan Azis Sarikon turut tumbang terkena tembakan manakala SP Ibrahim Lebar ditetak dari belakang sebelum ditembak di perut.  Superintenden Ibrahim berjaya menyelamatkan diri dan bergerak ke salah sebuah rumah di mana anggota-anggota polis lain mengambil perlindungan. Namun, beliau menghembuskan nafas terakhir bersama-sama anggota yang terperangkap. 

Lans Korporal Azrul terperangkap dengan serangan dari dua arah. Walaupun beliau cuba memberi tentangan, tetapi musuh lebih ramai dan berpengalaman.  Saya tak sanggup menceritakan lebih apakah yang dilakukan oleh musuh ke atasnya, kerana janji dengan ibu arwah.  Cukuplah sekadar mengiyakan bahawa beliau telah dipenggal musuh yang tidak berhati perut. 

Sikap buruk militan dari Selatan Filipina adalah tidak menghormati mayat musuh yang terkorban di tangan mereka. Tanpa segan silu, mereka mula merosakkan mayat-mayat pegawai dan anggota polis yang terbunuh. Tahap kerosakan pada mayat-mayat korban PDRM amatlah menghina. Korporal Salam terlihat seorang militan mengangkat barongnya untuk memenggal kepala salah seorang anggota polis yang parah, dipercayai Lans Korporal Azrul. Walaupun hanya bersenjatakan sepucuk revolver, Korporal Salam bangkit dari tempat perlindungannya dan melepaskan tembakan revolver sambil menjerit "Allahuakbar!" Beliau tumbang ketika cuba menyelamatkan rakannya daripada diperlakukan lebih teruk oleh musuh, syahid yang dicarinya tercapai. Dan bagi Lans Korporal Azrul, ugutan yang diterimanya setahun lalu menjadi kenyataan. 

Musuh yang Lari
Dalam kecelaruan pertempuran, seorang militan kecut perut dan cuba melarikan diri daripada kampung tersebut. Menahan beberapa orang tebusan, dia memaksa mereka menjadi perisai manusia. Apabila mereka sudah berada di luar kampung, matanya yang meliar dalam panik. Tebusan-tebusannya risau kerana di tangannya sepucuk senjata automatik. Salah seorang tebusan, seorang pelarian perang dari Filipina tercetus idea untuk menawarkan rokok kepada militan tersebut. Mungkin kerana dia menganggap tebusan itu tidak berbahaya kerana juga adalah seorang Filipina seperti dirinya, dia meletakkan senjatanya ke tepi. Peluang tersebut diambil para tebusannya untuk membelasahnya sehingga mati sebelum mereka lari ke kedudukan polis untuk melaporkan apa yang telah berlaku.

Radio Karat yang Membawa Panik
Kehadiran media sosial dalam konflik ini menyukarkan usaha pasukan keselamatan. Ramai individu tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu mengenai pertempuran itu. Malahan, terdapat individu yang sengaja memetik rakaman video pembunuhan perisik polis di Mexico oleh kartel dan mengatakan bahawa video itu adalah video pembunuhan Kpl Salam.  

Bantuan 
Apabila anggota-anggota polis di bahagian pengepungan mendapat tahu bahawa rakan-rakan mereka terperangkap dalam pertempuran dan ada yang sudah terkorban, ada anggota cuba meluru masuk untuk memberi bantuan tetapi dihalang anggota pasukan khas yang telah tiba. Anggota pasukan khas dipercayai VAT69 itu menghalang tindakan tersebut kerana khuatir bahawa militan tersebut memasang perangkap. Tindakan itu bukannya tiada asas. Salah satu taktik peperangan gerila adalah dengan menarik musuh masuk ke kawasan bunuh dengan mengumpan musuh dengan tembak lari.  Militan selatan Filipina sering menggunakan taktik tersebut ke atas tentera Filipina dengan berkesan. 

Akhirnya pada Isnin, 4 Mac, 6 musuh berjaya dibunuh manakala 6 musuh  lagi berjaya ditawan. 

Tragedi
Pada malam 2 Mac, Puan Rosiah Dahlan, terus menunggu panggilan telefon daripada suaminya SP Ibrahim Lebar. Beliau mengirimkan satu sms kepada suaminya mengucapkan selamat ulang tahun perkahwinan mereka. Keesokan hari, anak mereka yang sedang menuntut di Mesir pula menaikkan status mengucapkan salam ulang tahun perkahwinan kepada kedua orang tuanya. Saya masih ingat lagi ucapan itu. Ucapan itulah yang saya jumpa apabila saya melayari Facebook isteri arwah apabila mendapat mesej pesanan ringkas dari kenalan lain mengenai kematian arwah. Dan pengebumian arwah merupakan pengebumian seorang wira negara yang pertama saya hadiri sendiri. 

Jabah Mingku Voon mendapat berita kematian suaminya ketika beliau berada bersama-sama isteri para anggota polis lain. Anak mereka, Macluie pernah dirakamkan bahawa akan menyertai Polis bagi meneruskan generasi keluarga mereka dalam pasukan keselamatan. Mendiang ASP Michael Padel dikebumikan di Makam Perwira di Kuching, Sarawak, bersebelahan dengan kubur PWI Kanang anak Langkau.


Nur Izzaty tidak menyangka janji ayahnya Korporal Baharin tidak kesampaian. Setahun selepas kematian ayahnya, ibunya menceritakan rindu anaknya itu cukup mendalam, adakalanya hanya dapat tidur dengan memeluk baju arwah ayahnya.

Kematian Sarjan Azis Sarikon menyebabkan anak-anaknya hilang tumpuan dalam pelajaran. Dalam masa setahun, keputusan mereka merosot sehingga merisaukan ibu mereka, Siti Bandora.

Bagi keluarga arwah Azrul pula, cukup sedih dengan cara pemergiannya itu. Kesedihan itu cuma terubat sebab kuburnya di kampungnya terletak betul-betul di bawah lampu yang dipasangkan di kawasan kubur itu dan amat mudah dilawati keluarganya.

Bagi Korporal Salam pula, walaupun hasratnya untuk syahid tercapai, anaknya Sazreen berada di asrama semasa pengebumiannya. 

Hasan Basri tidak berjaya melarikan diri. Dia ditangkap dan didakwa di mahkamah. Pada 7 Ogos 2013, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 7 tahun di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan. Dia dijangka akan dibebaskan pada tahun ini, mungkin juga telah dibebaskan berdasarkan kemungkinan telah menerima parol. Sama adil atau tidak dia terlepas hukuman mati, itu amat sukar diterima, khususnya bagi kami yang rapat dengan keluarga-keluarga mereka yang terkorban.  Biarlah muka pengkhianat ini terpampang besar-besar agar kita ingat wajah yang menjual nyawa-nyawa pejuang negara. 

Selepas Pertempuran Kampung Siminuljaya 

Pelancaran Ops Daulat
Kematian 6 orang pegawai dan anggota polis di Kampung Siminuljaya memaksa kerajaan mengumumkan bermulanya Ops Daulat, singkatan bagi Darat, Udara, Laut.  Pada pagi 4 Mac, tepat jam 8 pagi, serangan bermula ke atas kedudukan militan RSF.  Kali ini, pintu rundingan telah ditutup.

Operasi besar-besaran dilancarkan dari sekecil-kecil senjata sniper Barrett .50 dan 40mm sehinggalah sebesar tembakan artileri 105mm serta serangan udara.

Bantahan Antarabangsa 
Tindakan Malaysia memerangi sekumpulan kecil militan RSF itu mendapat bantahan sebilangan media Filipina sebagai tindakan berlebihan dan melampau, tetapi ibarat meludah ke udara jatuh ke muka sendiri, apabila Armed Forces of Philippines melaksanakan operasi di Zamboanga dan kemudiannya di Marawi dengan templat hampir sama, menggunakan overwhelming force tanpa memberi muka langsung.

Percubaan campur tangan Filipina bukan setakat kutukan di media sahaja. Seorang senator Filipina, Senator Miriam Defensor Santiago turut mencadangkan AFP digerakkan bagi menyokong tindakan Jamallul Kiram III melalui RSF, namun cadangan itu tidak disokong oleh Presiden Filipina ketika itu, Benigno Aquino III.

Di kalangan rakyat Filipina, mereka turut memprotes tindakan Malaysia. Protes oleh rakyat Filipina yang paling mendapat liputan di Malaysia adalah pembakaran Jalur Gemilang oleh seorang bekas polis Filipina, Abner Afuang. Walaupun tindakannya itu tidak memberi kesan ke atas tindakan Malaysia, malangnya rupa parasnya yang mirip Cina sambil memakai baju berwarna kuning sering disalahertikan di luar konteks sebagai seorang warganegara Malaysia berketurunan Cina yang terlibat dalam aktiviti Bersih.

12 Mac - Pertempuran Sungai Nyamuk 
Selepas pertempuran di Kampung Siminuljaya, satu demi satu militan Filipina tumbang di tangan pasukan keselamatan. Tetapi tidak bermakna mereka tidak lagi membawa bahaya kepada pasukan keselamatan.

Di awal pagi 12 Mac di sekitar jam 10.15 pagi, Kompeni A dari 7 Rejimen Askar Melayu Diraja telah diarahkan untuk membuat sekatan dan penggeledahan di Sungai Nyamuk. Mejar Mohd Shukri Ismail selaras ketua Kompeni A baru sahaja mengarahkan pasukannya untuk bergerak apabila satu tembakan yang diikuti tembakan bertubi-tubi oleh musuh. Pada masa sama, satu suara menjerit, "Hurairah kena tembak!" sebanyak tiga kali. Prebet Ahmad Hurairah menjadi korban kesembilan di tangan musuh, dengan tembakan tepat ke kepalanya.

Maka bermulalah pertempuran yang berlangsung selama sejam. Setelah tamat pertempuran, seorang lagi askar, Korporal Khairul Anuar Md Isa didapati turut cedera terkena tembakan di muka. Manakala antara dua hingga tiga orang musuh terbunuh di situ.

Hari ini, nama beliau terpampang sebagai nama tambahan di arca yang melambangkan perwira-perwira RAMD yang terkorban dalam tugasan di depan padang kawad di Port Dickson. Hanya sms terakhir daripada beliau sebagai pengubat rindu kepadanya.

Wira Logistik
Sering kali dalam mana-mana peperangan, peranan unit logistik tenggelam apabila menceritakan kisah-kisah peperangan. Malah, peranan yang dilakukan oleh unit logistik Tentera AS semasa Perang Dunia Kedua dalam menyokong pasukan-pasukan tempur juga berhadapan masalah sama.

Jadi, apabila dilaporkan bahawa Pbt Ahmad Farhan terkorban akibat kemalangan jalan raya semasa membawa lori, ramai yang menyangka bahawa pengorbanan beliau akan menemui nasib yang sama. Dalam hal ini, Angkatan Tentera khususnya Tentera Darat Malaysia terkehadapan dalam memperingati pengorbanannya dengan turut mengiktiraf pengorbanannya setaraf dengan pengorbanan Pbt Ahmad Hurairah.

Pengajaran 
Hari ini sudah 7 tahun selepas tamatnya Ops Daulat. Jasa-jasa mereka yang terkorban tidak dilupakan di kalangan kami yang mengikuti dunia pertahanan.

Bagi perwira-perwira PDRM, mereka masing-masing telah dinaikkan pangkat ke pangkat seterusnya serta dicalonkan pingat Panglima Gagah Berani. Manakala bagi perwira-perwira TD, mereka dinaikkan 2 pangkat.

Namun, melihatkan tahap kesihatan Angkatan Tentera Malaysia secara keseluruhan hari ini, seolah-olah pengajaran yang diperoleh ketika itu tidak dipelajari sepenuhnya. Aset-aset masih lagi di takuk lama, dan ada pula yang terpaksa ditamatkan penggunaan tanpa ganti. Manakala kisah-kisah pengorbanan mereka pula mula pudar daripada ikutan semasa.

Dan dalam isu ini, musuh dalam konteks ini adalah sekumpulan gerila yang berperang dengan cara asimetrik. Kita telah lihat bagaimana mereka-mereka ini boleh menghancurkan bandar-bandar sepertimana di Zamboanga dan Marawi. Adakah kita bersedia untuk menghadapi mereka sekali lagi?

Ops Daulat dan Diri Sendiri
Bermula dari peristiwa berdarah Ops Daulat ini, barulah saya mula menulis secara serius isu-isu pertahanan. Melihat sendiri kesedihan keluarga-keluarga mereka yang terkorban, saya cuma dapat sekadar memastikan kisah-kisah mereka tidak akan dilupakan masyarakat dan pengorbanan mereka tidak akan dilupakan.  Janganlah sampai perjuangan mereka disia-siakan oleh kita dan janganlah sampai berulang lagi.



Siri rencana ini ditulis sebagai tribute kepada pegawai-pegawai dan anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban dalam Op Daulat dalam mempertahankan negara daripada ancaman penceroboh dari Filipina, khususnya kepada arwah ACP Ibrahim Lebar dan keluarga, yang mana saya mengenali isteri arwah semasa di tempat kerja lama.  Tak lupa juga kepada arwah Korporal Azrul Tukiran dan keluarga yang kini rapat seperti keluarga sendiri.  Semoga Tuhan merahmati keluarga mereka. 


1 comment:

  1. Jangan jadikan KESELAMATAN NEGARA sbg bahan jualan. Tahniah PDRM dan ATM

    ReplyDelete