Saturday, September 14, 2019

Kemaskini Tawaran MiG35

Selepas Forum Ekonomi Timur, Menteri Luar Saifuddin Abdullah telah mengumumkan bahawa Rusia telah memberitahu keinginan mereka bukan sahaja untuk mendapatkan kembali 10 unit pesawat MiG29 yang telah usang (akhirnya mereka mengaku bahawa hanya terdapat 10 unit pesawat yang boleh diselenggarakan daripada baki 16 unit MiG29), malahan hendak mendapat 18 unit SU30MKM yang sudah 'usang'.  Eh eh eh?



MiG29 - usang
Saya boleh terima sekiranya MiG29 dikatakan sebagai usang, tetapi bagi SU30MKM dikatakan usang, itu dah seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah sudah tu, kerana SU30MKM pertama tiba di Malaysia pada 2007 dan unit terakhir tiba pada Ogos 2009.  Oleh itu, untuk mengatakan bahawa platform itu adalah usang adalah agak keterlaluan.  Memang benar bahawa SU30 kita memang ada menghadapi isu pengoperasian, tetapi tidaklah usang seperti diwar-warkan.

SU30MKM - usang?

Tetapi, tawaran ini pada hemat saya amatlah tidak berbaloi untuk Malaysia.  Saya akan ulaskan sebentar.  Lebih teruk, maklumat yang saya perolehi setakat ini amat tidak menyebelahi MiG35.

1 - MiG35 adalah Platform Belum Teruji
Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelum ini, saya cuma jumpa data yang mengesahkan bahawa hanya 8 unit MiG35 yang telah dibina setakat ini, dan 6 unit dibina sebagai unit pembuktian konsep.  Tiada guna sekiranya data statistik keupayaan pesawat MiG35 adalah memberahikan.  Semua ini tiada makna sekiranya tidak cukup MiG35 pernah terbang.  Bilangan unit dalam operasi yang amat rendah ini akan menyembunyikan kelemahan rekaan pesawat yang kita belum jumpa lagi.

MiG35 - Platform belum teruji

2 - Kos Penyelenggaraan untuk MiG35 boleh membunuh TUDM
Memandangkan bilangan MiG35 yang sudah beroperasi hari ini amat rendah di seluruh dunia, ini bermakna kos alat ganti akan meningkat secara melampau.  Tiada lagi skala ekonomi untuk mengeluarkan alat ganti MiG35 berkos murah.  Jika kita mengandaikan bahawa TUDM memilih menyertai program Fulcrum F dan semua kontrak berjaya ditunaikan, hanya 90 unit MiG35 akan beroperasi di seluruh dunia (6 Tentera Udara Rusia + 48 Tentera Udara Mesir + 36 TUDM).  Ini akan memaksa kos mengeluarkan setiap alat ganti terlalu tinggi kerana perlu diperoleh secara terus dari Rusia.  Dan ya, Tentera Udara Rusia hanya memperoleh 6 unit MiG35 yang dijangkakan diterima sepenuhnya pada tahun 2023.

Jika dibandingkan dengan SU30MKM, kita boleh memperoleh alat ganti sama ada dari Rusia, China atau India, dengan China dan India mengeluarkan alat ganti setanding pada harga lebih murah dan membantu mengurangkan kos secara keseluruhan.

3 - Menggantikan SU30MKM dengan MiG35 tidak masuk akal
Dalam rencana saya yang lepas, saya pernah mencadangkan TUDM untuk merasionalisasikan aset tempur TUDM.  Salah satu buah fikiran yang saya pernah utarakan adalah untuk TUDM untuk hanya menggunakan satu jenis pesawat tempur sahaja.  Dalam konsep ini, saya cadangkan (saya tidak ingat di mana saya kongsikan idea ini, sama ada dalam blog saya, laman FaceBook, ulasan, WhatsApp atau perbincangan lisan), adalah untuuk memperoleh MRCA Eurofighter Typhoon tranche III sebagai pesawat tempur barisan pertama dan disokong oleh pesawat Eurofighter Typhoon tranche I atau II sebagai aset sokongan.  Sekiranya ini tidak sesuai, pilihan seterusnya adalah untuk menggunakan SU30MKM sebagai aset tempur barisan hadapat disokong dengan FA18C/D (dengan andaian kita mendapat pesawat dari Tentera Udara Kuwait).

Gambar Cope Taufan ehsan TUDM/USAF.  Perhatikan MiG29 kelihatan jauh lebih kecil berbanding SU30MKM walaupun lebih dekat.  MiG29 cuma berbeza sedikit berbanding MiG35, sekaligus memberi gambaran bahawa menggantikan SU30MKM dengan MiG35 bukanlah idea baik.

Tetapi, menggantikan SU30MKM dengan MiG35 bukanlah suatu idea pelestarian aset yang baik.

SU30MKM vs MiG35
Data dari pelbagai sumber
Nota: data mengenai jarak operasi tempur MiG35 mungkin tidak tepat

MiG35, seperti MiG29 boleh dianggap sebagai pesawat tempur kelas ringan, berbanding dengan SU30MKM yang merupakan kelas pertengahan.  SU30 membawa jauh lebih banyak ordnan tempur berbanding dengan MiG35 dan ini merupakan faktor yang amat penting.  Dan perbezaan ini hanya lebih ketara sekiranya kamu meletakkan kedua-dua pesawat ini bersebelahan satu sama lain.

4 - Pemerolehan Tentera Udara Rusia
Seperti disebut awal tadi, Tentera Udara Rusia setakat ini hanya memesan 6 unit MiG35.  Berbanding dengan pesawat SU57, Tentera Udara Rusia telahpun memesan sebanyak 76 unit pesawat SU57 dan bagi pesawat SU35, sebanyak 98 unit dipesan dengan lebih 80 unit telah dihantar dan telah mencapai keupayaan beroperasi penuh.  Sekiranya MiG35 betul-betul berupaya seperti diwar-warkan, sudah tentu Tentera Udara Rusia telah memperoleh lebih daripada 6 unit sahaja.  Jika ini diambil kira, tawaran ini sekarang dilihat lebih kepada satu usaha untuk mendapatkan tentera udara negara lain untuk menguji keupayaan MiG35 bagi pihak mereka.  Perlu ditambah, kehadiran JF17 buatan Pakistan dan pesawat J11 buatan China mula menjadi ancaman kepada pasaran yang dahulunya dikuasai pesawat keluarga Mikoyan-Gurevich.

5 - Keupayaan SU30MKM
Terdapat khabar angin pesawat SU30MKM TUDM telah dinaiktaraf keupayaan tertentu yang telah menjadikan pesawat itu jauh lebih berkeupayaan berbanding dengan keupayaan asal ketika pesawat tersebut disiapkan di bumi Rusia pada tahun 2007.  TUDM dikatakan telah membuat pengubahsuaian ini yang menarik minat mendalam Rusia.  Sekiranya SU30MKM ditukarkan untuk MiG35, langkah ini dijangkakan akan menyebabkan TUDM dan ATM dikenakan sekatan pembelian di masa hadapan daripada sekurang-kurangnya 2 buah negara.

6 - CAP55 TUDM
TUDM telah mengumumkan perancangan CAP55 mereka tahun lepas.  CAP55 ini adalah pelan jangka panjang TUDM sama seperti perancangan 15-to-5 TLDM.  Dan berdasarkan beberapa sumber, mereka telah memberitahu kerajaan keperluan mereka dan tidak mahu permintaan mereka ini diganggu.

Rancangan CAP55 TUDM


Terlalu Awal
Ini kemaskini ke atas tawaran terbaru dari Rusia.  Nampaknya terlalu awal tawaran ini dipanggil sebagai program penggantian MiG29, jika kita lihat kepada tawaran Rusia ini. Oleh itu, saya akan memanggil tawaran ini sebagai tawaran MiG35 oleh Rusia.  Dan berdasarkan apa yang saya telah ulas di atas, tawaran Rusia ini tidak menyebelahi kepentingan kita. Dan sekiranya kita gagal memahami isu ini dan gagal menguruskan isu ini sebaik-baiknya, suatu hari nanti, TUDM hanya akan boleh terbang dengan pesawat ini.

Sumber internet

No comments:

Post a Comment