Wednesday, January 29, 2020

MICE

MICE. Dalam Bahasa Inggeris, MICE merujuk kepada kata jamak bagi mouse, atau tikus.  Sempena Tahun Baharu Cina 2020 yang merupakan Tahun Tikus Besi (kalendar Cina merangkumi 12 jenis haiwan dan 5 elemen), kita akan melihat apa itu MICE, khususnya dalam dunia ketenteraan dan geopolitik antarabangsa.


Eh? MICE dalam dunia ketenteraan dan geopolitik antarabangsa?  Apa kaitan MICE dengan dunia ketenteraan dan geopolitik antarabangsa?  Apakah MICE itu nama senjata hebat yang dinamakan sempena si tikus?  Atau MICE itu merujuk kepada keupayaan Amerika Syarikat menggunakan Mickey Mouse untuk mengawal minda dunia?  Jika anda berminat untuk mengetahuinya, jom terus membaca. 



MICE
MICE merujuk kepada singkatan Money, Ideology, Coercion/Compromise, dan Ego/Excitement.  MICE merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh agensi-agensi perisikan dalam mengklasifikasikan individu-individu negara lain atau negara lawan yang direkrutkan sebagai ejen mereka.  Agensi-agensi perisikan, sama ada agensi perisikan ketenteraan ataupun berkepentingan strategik perlu mengklasifikasi individu-individu ini kepada kategori-kategori tertentu untuk mengetahui kebolehpercayaan mereka dan juga cara-cara untuk menguruskan ejen-ejen ini.

M is for Money
Money atau duit merupakan insentif kepada sebilangan orang untuk mengkhianati negara mereka.  Hanya kerana wang, mereka sanggup menggadaikan maruah mereka sendiri dan menjual rahsia negara mereka.

Mereka ini hanya mementingkan nilai wang yang bakal diterima untuk maklumat yang mereka jual.  Oleh itu, pengendali mereka berhati-hati apabila ejen-ejen mereka ini mula meminta wang yang lebih banyak kerana ada kemungkinan akan dikhianati.  

Individu-individu yang diklasifikasikan sebagai M sering mempunyai satu tabiat buruk, iaitu boros.  Sering kali, identiti mereka bocor akibat sikap boros mereka, khususnya jika individu itu mempunyai sikap menunjuk-nunjuk.

Antara individu yang diklasifikasi sebagai perisik untuk wang adalah Aldrich Ames. 

Aldrich Ames dipercayai telah menerima sogokan sehingga USD4 juta untuk menjual maklumat kepada Russia.

I is for Ideology
Ideologi merujuk kepada kepercayaan politik yang dipegang oleh ejen tersebut.  Antara keempat-empat kaedah ini, ejen perisik yang diperoleh melalui kaedah ideologi adalah ejen yang paling kukuh dan dipercayai.  

Mereka berpaling tadah terhadap negara mereka sendiri kerana tidak yakin dengan sistem yang memerintah negara mereka dan mereka berpendapat bahawa tindakan mereka akan membantu mengubah keadaan di negara mereka untuk beralih arah ke ideologi yang mereka percayai.  Pembayaran wang berlebihan kepada mereka ini akan menyebabkan mereka rasa terhina.  Oleh itu, bayaran yang dibuat mestilah dalam bentuk sagu hati atas sumbangan mereka. 

Disebabkan pegangan ideologi menebal dalam diri mereka, mereka sanggup berkorban untuk mencapai objektif mereka dan sanggup meletakkan diri mereka dalam bahaya.  

Dalam kategori ini, individu-individu yang boleh dikategorikan sebagai perisik berasaskan ideologi adalah Kim Philby, Mejar Jeneral Dimitri Fyodorovich Polyakov, dan Oleg Penkovsky.

Antara nama-nama ini, kisah Kim Philby adalah amat menarik kerana dia hanya direkrut masuk ke dalam perisikan British selepas dia menjadi ejen NKVD.  NKVD kemudiannnya menjadi KGB di kemudian hari.  Manakala Kim Philby sempat menjadi ketua agensi perisikan terulung British.

C is for Coercion/Compromise
C boleh dibaca sama ada sebagai Coercion atau Compromise.  Coercion bermaksud paksaan.  Manakala Compromise bermaksud Kompromi.

Dalam coercion, seseorang individu yang dikenalpasti agensi sebagai memiliki maklumat yang dikehendaki akan dipaksa dengan pelbagai kaedah untuk memastikan individu tersebut sanggup berpaling tadah.  Biasanya keluarga individu itu akan diugut oleh agensi tersebut untuk memaksa sasaran tersebut memecahkan rahsia.  Contoh terbaik ejen yang direkrut melalui kaedah ini adalah Lai Teck, atau Agent Wright semasa Perang Dunia Kedua.  Setiausaha Agung PKM itu tidak sempat melarikan diri dari Singapura dan berjaya ditahan Kempetai semasa Operasi Sook Ching dilaksanakan.  Dia kemudian dipaksa menjadi ejen Kempetai yang berjaya melemahkan PKM dan MPAJA semasa P

Dalam compromise, agensi asing akan biasanya menggunakan pelbagai kaedah yang boleh memalukan individu tersebut bagi memastikan individu tersebut berkongsikan maklumat bagi menutup malu.  Kebiasaanya sekiranya sasaran tersebut adalah lelaki, maka perempuan akan digunakan dengan memerangkap lelaki tersebut dalam perangkap madu, atau honey trap.  Wanita Perempuan yang biasanya seorang ejen akan digunakan untuk menggoda sasaran dan digunakan untuk memujuk lelaki tersebut memecahkan rahsia.  Sekiranya langkah ini tidak berjaya, maka gambar-gambar hubungan sulit akan digunakan bagi mengugut individu sasaran bagi memecahkan maklumat.

Kebiasaannya, ejen yang diperoleh dalam kaedah ini akan terus diperah dan cuba ditukar menjadi ejen berasaskan ideologi atau ejen kerana wang.  Negara yang dipercayai paling banyak menggunakan kaedah honey trap adalah Amerika Syarikat dan China.  Amerika Syarikat pernah cuba menggunakan kaedah honey trap ini ke atas Presiden Soekarno tetapi gagal memaksa Soekarno kerana beliau sebaliknya secara terbuka berbangga dengan keupayaan seksnya.  China pula sering menggunakan kaedah honey trap ke atas Amerika Syarikat dan Taiwan.

E is for Ego/Excitement
Sesetengah orang bertindak mengkhianati negara mereka kerana ego.  Khususnya mereka yang beranggapan bahawa mereka adalah jauh lebih pandai dan merasakan diri mereka sering dikhianati negara mereka sendiri.  Mereka merasakan sumbangan mereka kepada negara mereka tidak dihargai dan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk membalas apa yang mereka rasa sebagai ketidakadilan yang berlaku kepada mereka.  Golongan ini agak sukar dikawal oleh agensi-agensi perisikan kerana ego ini kadang kala sukar dikawal dan boleh memakan diri.  Terdapat juga garis nipis antara ego dan perangkap di mana agensi pengendali sukar membezakan sama ada motif individu tersebut adalah kerana ego sebenar-benarnya atau sekadar memerangkap pegawai perisikan tersebut dalam operasi risik balas.

Sekiranya excitement, atau keseronokan, mereka bertindak mengkhianati negara mereka atas sebab mereka merasakan kehidupan mereka terlalu biasa dan menginginkan keseronokan.  Walaupun golongan ini boleh dipergunakan, golongan ini amat berbahaya kepada pasukan kerana mudah menjadi sasaran risik balas kerana sikap mereka yang inginkan cabaran.  Contoh terbaik individu dalam kategori ini adalah Robert Hanssen, pegawai FBI yang bertanggungjawab dalam aktiviti risik balas.  Pada asalnya, saya hendak mengklasifikasikan Robert Hanssen sebagai perisik untuk wang kerana pengakuannya merisik untuk wang, tetapi apabila melihat kembali sejarah hidupnya, motivasinya adalah lebih kepada keinginan untuk cabaran dalam hidupnya.  Dia langsung tidak menunjuk-nunjuk wang yang diperoleh hasil penjualan maklumat.  Sebaliknya, dia didapati sering memecah masuk sistem data FBI untuk membaca laporan sama ada aktivitinya telah dikesan.  Malahan ketika dia ditahan, dia secara sinis memerli mereka dengan kata-kata "what took you so long?"  Satu lagi sikapnya yang membayangkan bahawa dia mengkhianati negaranya atas sebab keseronokan adalah sikapnya memasangkan kamera litar tertutup dalam bilik tidurnya yang disambungkan ke bilik sebelah untuk rakannya menonton dia mengadakan hubungan seks dengan isterinya.  Tindakannya itu dibuat tanpa pengetahuan isterinya.

RACLS - Kaedah Baru
Kaedah MICE ini sebenarnya sudah lama dan telah dikatakan tidak sesuai lagi kerana tidak dapat membicarakan kesemua sifat manusia.  Kaedah baru yang dipanggil RASCLS telah dicadangkan sebagai rangka untuk merekrutkan ejen-ejen.  Tetapi untuk tujuan artikel kali ini, kita cuma akan membicara dari kaedah MICE sahaja sempena Tikus Besi Tahun Baharu Cina kali ini.

Kesimpulan
Bukan kesemua individu yang berpaling tadah ini adalah individu yang keji seperti Aldrich Ames dan Robert Hanssen.  Ada antara mereka telah membuat sumbangan besar yang tidak terkira kepada dunia sama ada mereka sedar atau tidak.  Sebagai contoh, Mejar Jeneral Dmitri Polyakov dan Kolonel Oleg Penkovsky telah berjaya menghalang Perang Dingin bertambah buruk menjadi perang dunia.  Namun, harga keamanan ini adalah kematian tanpa batu nisan kerana mayat mereka telah dibakar dan dibuang dengan harapan mereka ini akan dilupakan.  Begitu juga Kim Philby atau nama sebenarnya Harold Philby.  Walaupun beratus orang telah terkorban akibat pengkhianatannya, tetap tidak dapat memadamkan sumbangan terbesarnya iaitu mendapatkan pengesahan maklumat mengenai Operasi Barbarosa dan seterusnya menyediakan Russia untuk menghadapi serangan Jerman ke atas Russia semasa Perang Dunia Kedua.

Apakah Malaysia juga mempunyai kisah-kisah sedemikian?  Kisah Malaysia terkini pula, mungkin tak sesuai dikongsikan selagi individu terlibat masih hidup dan keluarga mereka berhadapan risiko diburu musuh yang berdendam.  Mana tahu, suatu hari nanti apabila masa sudah sesuai?  Untuk itu, kita jumpa lagi di lain masa.

Nota:

  1. Dalam senarai nama berwarna merah, individu yang dinamakan di situ telah mati dihukum bunuh.
  2. Gambar-gambar sumber internet.
  3. Nama-nama yang ditanda * kini disyaki CIA dan FBI mungkin dibocorkan oleh seorang ejen KGB dalam CIA atau FBI yang masih belum dikenalpasti.


No comments:

Post a Comment