Saturday, January 18, 2020

Pendedahan Rakaman Suara

Saya rasa ada keperluan untuk menulis mengenai isu ini, tetapi dari sisi bukan politik. Terdapat beberapa perkara yang merunsingkan fikiran saya, khususnya dari segi keselamatan negara dan implikasi terhadap keselamatan negara.

1. Siapa yang merakamkan perbualan tersebut?
Bagi saya, tindakan merakam dan mengintip tindakan pemimpin negara itu bukanlah suatu yang merisaukan kalau tindakan itu dilakukan oleh agensi keselamatan negara kita sendiri. Tugas mereka adalah menjaga keselamatan negara dari segala ancaman, baik dari luar mahupun dalam. Mereka yang bergelar pemimpin negara, termasuklah yang bergelar Perdana Menteri tetap boleh menjadi pengkhianat kepada negara itu sendiri. 

Sebagai contoh, Datuk Leong Chee Woh menulis dalam salah sebuah buku beliau menceritakan mengenai pengalaman beliau dalam satu tugasan rasmi ke negara China, beliau telah ternampak wajah seorang lelaki berkulit putih yang hidup dalam salah satu kem di negara tersebut. Apabila beliau mendapat peluang bertemu seorang ahli gerakan bawah tanah di China yang bekerja dalam kem tersebut, beliau mendapat tahu bahawa lelaki berkulit putih itu merupakan seorang ahli politik sebuah negara yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri di negaranya sebelum mendapat suaka politik dari China. Suaka politik itu diambil kerana dia telah mengintip bagi pihak China. Menariknya, individu tersebut telah secara rasmi dianggap mati lemas di laut di negaranya dengan mayatnya tidak dijumpai.

Satu lagi contoh adalah Suharto. Beliau dikatakan pernah membantu CIA antara tahun 1964 hingga 1965 dalam usaha CIA menghambat pengaruh komunis di Indonesia.

Dan ya, mereka yang bergelar Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana Menteri boleh jadi tali barut negara lain. Oleh itu, bagi saya bukanlah suatu tindakan melampau untuk suatu agensi perisikan mengintip ke atas pemimpin negara sendiri.

Tetapi dalam kes ini, KP SPRM mengumumkan bahawa rakaman tersebut diperoleh dari sumber lain. Ini membawa kepada implikasi sama ada rakaman tersebut dibuat oleh sama ada agensi perisikan asing mahupun individu selain agensi perisikan negara. Ini bermakna keselamatan pemimpin negara tergugat! Apakah ini bermakna keupayaan risik balas negara amat lemah sehingga boleh dibolosi?

2. Katakanlah rakaman itu dibuat oleh agensi asing dan diserahkan kepada SPRM. Ini juga membimbangkan kerana boleh disalahtafsir bahawa SPRM mengikut jari telunjuk agensi asing. Apakah kedaulatan negara itu begitu murah sehingga perlu mengikut jari telunjuk negara asing?

3. Isu diplomatik pasti akan timbul. Beberapa individu asing turut dirakamkan termasuk bergelar ketua negara asing, takpun pemimpin negara asing. Implikasi pendedahan ini amat negatif. Pendedahan ini bukan sahaja telah memalukan pemimpin negara asing tetapi juga boleh menjadi sebab kepada pemimpin negara asing untuk mengelak menghubungi mana-mana pemimpin Malaysia melalui saluran tak rasmi. 

Kehilangan saluran tak rasmi ini boleh membahayakan rakyat Malaysia, khususnya sekiranya ada rakyat Malaysia berada dalam situasi yang memerlukan bantuan daripada kerajaan Malaysia. Sebagai contoh, rakyat Malaysia terperangkap di negara lain yang memerlukan bantuan untuk dikeluarkan seperti Op Piramid Mesir. Dan kehilangan saluran ini boleh membawa bahaya perang, sebagaimana pemimpin kedua-dua Malaysia dan Indonesia menggunakan saluran tak rasmi di sebalik tabir untuk mengurangkan kepanasan ketika isu Ambalat. 

Kesimpulan

Pendedahan ini cuma membawa kepada lebih banyak persoalan. Di satu belah, saya setuju dengan tindakan merakam perbualan ini dibuat ke atas individu berisiko tinggi, tetapi rakaman sedemikian sepatutnya untuk kegunaan agensi berkenaan untuk mengolah tindakan yang sepatutnya. Dan sekiranya rakaman itu daripada agensi asing, sepatutnya langkah yang diambil adalah untuk menutup lompang dalam keselamatan pemimpin negara, tak kira siapa dan pandangan politik pemimpin tersebut kerana pemimpin itu boleh diganti tetapi keselamatan negara itu sukar diganti kalau kita hilang keupayaan untuk menjaganya.

Massive Security Failure

No comments:

Post a Comment