Search This Blog

Tuesday, July 30, 2019

LMS - Beli Terus dari China

Baru-baru ini, Kementah telah mengumumkan bahawa kapal LMS atau Littoral Mission Ship yang dibuat semasa pentadbiran DS Najib Razak telah diubahsuai daripada 2 + 2 (yakni 2 dibuat di China dan 2 dibuat di Malaysia) kepada pembelian sepenuhnya daripada China. Pembelian terus daripada China ini secara langsung menyebabkan Boustead Naval Shipyard kehilangan kontrak untuk membina 2 buah kapal di limbungannya.

Sebelum kita membicarakan mengenai pengumuman tersebut, kita lihat terlebih dahulu keadaan semasa TLDM.

Keadaan Semasa TLDM 
TLDM hari ini berada dalam keadaan yang agak menyedihkan.  Walaupun TLDM memiliki 42 buah kapal pelbagai jenis, tidak termasuk kapal selam serta bot tempur CB90, kebanyakan aset TLDM berusia lebih daripada 30 tahun. Malahan, purata usia aset permukaan TLDM mencecah umur 34.47 tahun, sekiranya tidak mengambil kira kapal latihan KD Teguh Samudera dan KD Gagah Samudera.  Malahan, 2 buah kapal daripada kelas Keris kini cuma kurang setahun untuk mencapai usia setengah dekad dalam perkhidmatan.

Kapal-kapal TLDM - Tahun dibina dan usia terkini (Sumber - pelbagai sumber umum)

Kapal-kapal TLDM - Tahun dibina dan usia terkini (Sumber - pelbagai sumber umum)
Kapal-kapal TLDM - Tahun dibina dan usia terkini (Sumber - pelbagai sumber umum)

Dengan rata-rata kapal TLDM sudah berusia lebih daripada 30 tahun, sesetengah kapal TLDM juga sudah kurang sesuai dioperasikan serta boleh membahayakan anggota-anggota yang bertugas. Sebagai contoh, KD Pari pernah diberitakan mengalami kerosakan kritikal ketika cuba menghalau kapal laut negara asing daripada kawasan sekitar gugusan kepulauan Spratly's. Kerosakan tersebut cukup kritikal sehinggakan kapal tersebut tenggelam di kala dilabuhkan di jeti.

KD Pari setelah sampai ke jeti. Gambar asal Utusan Malaysia, gambar ini diletakkan kredit kepada otaimanjung.blogspot.comm

Isu mengenai permasalahan aset TLDM sudah pernah saya sentuh dalam satu rencana saya yang diterbitkan di majalah Perajurit sekitar tahun 2014. Namun, usaha tersebut ketika itu bagai mencurahkan air ke atas daun keladi.

Kegagalan Kerajaan dan Sebab-Sebab Lain
Kekangan dari segi political will kerajaan lepas serta ketiadaan perancangan pembangunan yang konkrit daripada kepimpinan TLDM ditambah dengan isu pemerolehan aset pertahanan oleh pembangkang lepas menyebabkan TLDM tidak membuat sebarang pemerolehan kapal baru sehinggalah ke tahun 2011.

Kekangan Political Will
Salah satu punca utama kepada kelemahan TLDM hari ini berpunca daripada kekangan political will di pihak kerajaan sebelum ini.  Kemelesetan ekonomi sedunia yang memberi tekanan ke atas perbelanjaan kerajaan diburukkan oleh skandal-skandal yang melibatkan pemerolehan aset ketenteraan, khususnya aset TLDM.

KD Selangor di Pengkalan TLDM Lumut

Krisis akibat kegagalan projek NGPV (New Generation Patrol Vessel) bagi menggantikan kapal-kapal lama dalam TLDM pada tahun 2004 sehingga 2007 bukan sahaja menyebabkan TLDM gagal menggantikan kapal-kapal lamanya dengan 27 buah kapal kelas Kedah yang diilhamkan daripada rekabentuk Meko 100, malahan telah menyebabkan kerajaan was-was dalam membuat komitmen pembelian aset ketenteraan.  

Pada masa sama, kebangkitan golongan haluan kiri yang berpandangan bahawa perbelanjaan ketenteraan adalah membazir mula menguasai naratif politik tempatan sehinggakan setiap pembelian aset untuk ATM dipolitikkan. Antara naratif terkuat yang dipergunakan adalah Malaysia tidak pergi berperang dan perbelanjaan kesihatan adalah lebih penting daripada perbelanjaan ketenteraan. 

Sehinggalah ke tahun 2011. Akhirnya kerajaan akur akan keperluan untuk memperoleh aset baru dan memberi kontrak kepada Bouestead Naval Shipyard untuk membina 6 buah kapal SGPV (Second Generation Patrol Vessel) yang diilhamkan daripada rekabentuk kapal Gowind.

Masih Tidak Cukup
Namun penambahan 6 buah kapal SGPV Gowind yang kemudiannya dinamakan sebagai kelas Maharajalela itu sebenarnya tidak cukup bagi menampung tugas operasi TLDM. 

Oleh itu, mantan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Baharuddin telah mencadangkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Sri Najib Razak akan pelan perancangan pemodenan TLDM yang menyaksikan aset maritim TLDM dihadkan kepada 5 jenis sahaja dalam Pelan 15-to-5. Perancangan tersebut yang menggariskan penggunaan 5 jenis aset maritim sahaja itu mengambilkira keupayaan kewangan negara, keperluan TLDM. Sistem logistik dipermudahkan bagi mengurangkan bebanan kos kewangan serta latihan kepada anggota. Secara ringkas, beliau merencanakan pelan tersebut dengan bibit idea mirip yang dicanangkan oleh Michael Porter dalam Value Chain Management.

Bagi mendapatkan sokongan daripada kerajaan, beliau telah bertemu sendiri dengan Perdana Menteri ketika itu untuk mendapatkan sokongan beliau.

Memandangkan kelas kapal TLDM akan berkurang daripada 15 jenis kepada 5 jenis, ini bermakna aset-aset lama ini dijual kepada pihak ketiga dengan kos yang sepatutnya disalurkan di bawah perbelanjaan operasi (OPEX, juga dikenali sebagai perbelanjaan mengurus), sama ada sebagai kos operasi kapal sedia ada serta kos baikpulih kapal rosak, disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan (CAPEX). Dana yang asalnya disalurkan kepada pembaikpulih kapal, pemanjangan hayat kapal (SLEP - Service Length Extension Programme) disalurkan kepada CAPEX baru ini. Hasil daripada pelupusan aset lama juga disalurkan kepada pembangunan aset baru untuk TLDM.

Dalam perancangan tersebut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman juga dipercayai meminta kerajaan untuk mempertimbangkan pembelian kapal baru ini daripada China atas sebab kos yang jauh lebih murah serta kapasiti pembuatan China mencukupi untuk mengeluarkan bilangan kapal secukupnya dengan pantas.

Walaupun hubungan China - Malaysia ketika itu sudah amat baik, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman juga sedar bahawa tetap kekal risiko bahawa hubungan rapat ini boleh terganggu akibat tuntutan bertindih China - Malaysia di gugusan kepulauan Spratly. Diberitakan bahawa bagi mengelakkan aset yang dibeli dari China itu dikompromikan, beliau merancang untuk kapal-kapal tersebut untuk melaksanakan operasi pesisir pantai sahaja serta untuk operasi kemanusiaan. Tugas berhadapan kemungkinan ancaman terhadap Malaysia daripada China dipikul oleh kapal kelas Maharajalela, kapal kelas Kedah serta kapal selam kelas Perdana.

Tumbangnya kerajaan Barisan Nasional menyaksikan kerjaya Tan Sri Ahmad Kamarulzaman hampir menemui titik noktah awal akibat penangan pejuwang siber yang menuduh beliau sebagai orang Datuk Seri Najib. Namun begitu, kebijaksanaan beliau merencanakan pelan 15-to-5 yang mengambil kira sudut ekonomi negara berjaya menawan hati kerajaan Pakatan Harapan. Di ketika persaraan beliau, beliau dipuji oleh Timbalan MenTah En. Liew Chin Tong kerana berjaya membicarakan keperluan TLDM dengan bahasa mudah difahami oleh marhaen.

Langkah Tepat
Jadi, apakah langkah kerajaan Pakatan Harapan ini betul untuk membina kesemua kapal ini di China? Pada pendapat saya, langkah ini adalah betul. Pembelian terus ini akan memberi tambahan penjimatan RM122 juta, bertambah daripada penjimatan RM1 bilion perancangan asal. Kesan ke atas cukai pendapatan syarikat boleh terima cuma sekadar RM29.28 juta.

Perancangan asal Pelan 15-to-5 menjimatkan RM1 bilion. Pembelian terus dari China cuma memberi pulangan tambahan RM122 juta.

TLDM tidak cukup kapal. Lebih tepat, kapal TLDM sedia ada sudah terlalu tua. Anda boleh lihat sendiri. Rata-rata kapal TLDM berusia lebih daripada 30 tahun. Ada yang sudah menghampiri usia 5 dekad.

Sesetengah kapal juga menghadapi masalah untuk beroperasi dan kapal-kapal TLDM banyak diikat di jeti untuk baikpulih, sehingga memaksa TLDM menggunakan bot CB90 untuk menghantar bekalan.

CB90 nombor 204 semasa ditunda kembali ke pelabuhan selepas terputus hubungan selama 32 jam. Risiko yang dihadapi anggota TLDM kerana kekurangan aset sesuai menghantar bekalan. Sumber Utusan Malaysia: https://www.utusan.com.my/mega/rona/cb90-dan-8216-misteri-8217-kehilangan-32-jam-1.23814

Bukan Masalah Baru
Pada 2012, Laporan Audit Negara melaporkan bahawa TLDM hanya membelanjakan RM17 juta daripada peruntukan RM50 juta untuk membeli bekalan makanan kering TLDM. Pada masa sama, terdapat bekalan makanan yang tamat tempoh dalam stor simpanan bekalan makanan.

Apabila isu ini timbul di dalam laporan Audit Negara, isu ini disalahertikan sebagai pembaziran oleh penyokong pakatan parti pembangkang. Akibatnya, isu tersebut menjadi isu pembaziran. 

Hakikat sebenar adalah perbelanjaan pembelian rangsum medan yang kurang daripada peruntukan itu hanyalah simptom kepada gejala sebenar, yakni ketiadaan kapal untuk TLDM beroperasi. Tiada kapal bermakna tiada operasi, dan apabila tiada operasi, bermakna, tidak perlu membeli bekalan makanan.

Seperti yang disebutkan tadi, intipati sebenar isu ini hilang daripada pandangan apabila isu ini dimainkan oleh pejuang siber. Pada masa sama, Jabatan Audit Negara yang menerbitkan laporan tersebut tidak terfikir untuk mengkaji isu tersebut dari segi tempo operasi aset laut TLDM.

Kontrak Asal
Kontrak asal pembinaan LMS telah dianugerahkan oleh kerajaan terdahulu kepada Boustead Naval Shipyard dengan 2 tujuan. Pertama adalah untuk memajukan industri pertahanan tempatan dan kedua untuk membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Kedua-dua tujuan di atas adalah amat baik dan murni. Namun, masalah bukanlah pada tujuan Datuk Seri Najib tetapi keupayaan syarikat itu sendiri.

Sejarah BNS turut terpalit dengan isu integriti. Sebelum BNS dikenali dengan namanya sekarang, syarikat tersebut dikenali sebagai PSC Naval Dockyard Sdn Bhd.

Pada tahun 1998, kerajaan telah menganugerahkan kontrak membekalkan 6 buah kapal kelas Kedah yang diilhamkan daripada kapal kelas Meko 100. Perancangan tersebut mengambilkira sekiranya TLDM berpuas hati, sebanyak 27 buah kapal akan diperoleh.

Namun, bukan sahaja kapal lambat disiap sehinggakan memerlukan suntikan dana tambahan, malahan turut menghadapi masalah di mana pekerja-pekerja kontraktor tidak dibayar gaji.

Isu ini dibawa sehingga ke Parlimen dan disiasat oleh Jawatankuasa Perakaunan Umum (Public Account Committee) dan Tan Sri Shahrir Samad pernah dipetik mengiyakan bahawa tindakan perlu diambil kerana terdapat elemen penipuan. Namun, tiada tindakan lanjut selepas itu serta pengerusi syarikat tersebut, Tan Sri Amin Shah mengisytiharkan dirinya muflis.

Kesannya, TLDM terpaksa dikecilkan dan hanya 6 buah kapal yang diperoleh. Lebih teruk, pembelian kapal-kapal tersebut dilaksanakan di bawah konsep FFBNW (Fitted For But Not With) yang dipelopori oleh Royal Australian Navy. Fitted For But Not With bermakna sistem persenjataan dalam bentuk modular dan hanya akan dipasang apabila diperlukan.

Jika konsep FFBNW ini diterjemahkan kepada konsep awam, adalah bagaikan seseorang membeli kereta Honda Civic versi asas dengan harapan apabila ada duit, akan dibeli alat-alat ganti yang boleh dipasang untuk dijadikan Honda Civic versi perlumbaan. Itu kalau berdasarkan konsep yang dipelopori oleh RAN. Konsep FFBNW Malaysia, konsep ini diterjemahkan sebagai membeli kereta Honda Civic versi asas pada harga Honda Civic versi perlumbaan, dan selepas itu tiada duit lagi untuk membeli alat ganti yang sesuai.

Untuk makluman, tiada penambahbaikan kepada sistem senjata untuk kapal tersebut. Sistem persenjataan modular yang sepatutnya dibeli untuk dipasangkan kepada kapal tersebut tidak dibeli. Hasilnya, kapal-kapal kelas Kedah sekadar kapal gunboat yang mempunyai keupayaan untuk mennerima pendaratan helikopter. Tanpa helikopter Super Lynx, kapal-kapal kelas Kedah cuma mempunyai meriam sebagai sistem persenjataan.

Ketiadaan Suara Pembangkang 
Yang menarik mengenai isu skandal NGPV adalah ketiadaan suara pembangkang (pengecualian kepada PAS, sebagai satu-satunya parti pembangkang yang pernah mengutarakan isu ini) membawa isu skandal ini. Antara spekulasi yang pernah timbul kenapa tiada suara pembangkang membawa isu skandal ini adalah Tan Sri Amin Shah merupakan kroni bukan sahaja kepada parti pemerintah tetapi juga kepada parti pembangkang.

Pengambilalihan oleh Boustead Holdings
Boustead Holdings mengambilalih PSC Naval Dockyard pada tahun 2005 untuk memulihkan syarikat tersebut yang menghadapi masalah kewangan. Pengambilalihan tersebut dijangka dapat membawa budaya sihat kepada PSC Naval Dockyard. Namun, dari semasa ke semasa, terdapat ura-ura bahawa kroni politik, terutamanya mereka yang sealiran dengan Tan Sri Amin Shah masih lagi memegang kuasa dalam syarikat tersebut.

Malahan, pernah dibisikkan bahawa terdapat ura-ura bahawa sekiranya individu-individu yang tidak dinamakan ini mendapat tahu akan kehadiran mantan MenHan, DS Hishammuddin Husssein ke acara yang sama, mereka akan cuba mengelak menghadiri upacara tersebut untuk mengelak ditanya akan kenapa tiada penambahbaikan di dalam hasil kerja mereka.

Keupayaan BNS
Hari ini, BNS mempunyai 3 limbungan kapal di seluruh negara, di Lumut, Pulau Pinang dan Langkawi. Dengan 3 limbungan ini, sepatutnya BNS boleh menyiapkan kontrak LCS - SGPV yang dimeterai pada tahun 2011. Kerja-kerja pembinaan kapal pula hanya bermula pada tahun 2016. Sehingga ke hari ini, tidak ada satu kapal kelas Maharajalela yang telah disiapkan.

Kapal-kapal dalam proses perolehan

Sebagai perbandingan, Mesir telah menandatangani kontrak untuk memperoleh 4 buah kapal Gowind pada tahun 2014, dan sehingga ke hari ini, 3 buah kapal sudah beroperasi.

Sekiranya kontrak pembinaan kapal diberikan sepenuhnya kepada BNS, apakah kita perlu tunggu sehingga tahun 2030 untuk mendapatkan kesemua 4 buah kapal LMS? Pada masa tersebut, beberapa buah kapal dalam TLDM sudah mencapai 60 tahun dalam perkhidmatan. Sudah terlalu tua dan usang.

Adakah Kapal-Kapal TLDM mencukupi?
Andaikata dalam masa 10 tahun lagi, TLDM telah menerima kesemua kapal yang sedang dibina dan kapal-kapal yang berusia kurang daripada 30 tahun telah dinaiktaraf. TLDM hanya akan mempunyai kapal-kapal tersebut (tanpa mengambil kira kapal latihan):

  • 2 buah kapal frigate kelas Lekiu.
  • 6 buah kapal peronda kelas Kedah.
  • 6 buah kapal LCS kelas Maharajalela.
  • 4 buah kapal LMS.
Ini berbanding dengan bilangan 42 kapal sedia ada. Perlu ingat, sempadan perairan tetap kekal sama besar. Oleh itu, bilangan kapal perlu sama ada kekal ataupun ditambahbesar untuk mengawal sempadan maritim. 

Saranan
Bagi memastikan sempadan maritim negara kekal teguh dan selamat bagi kapal-kapal dagang dan nelayan negara kita, kerajaan perlu memastikan TLDM terus diperkukuhkan. Oleh itu, adalah disarankan agar kerajaan terus memperoleh kapal-kapal baru untuk kegunaan TLDM bagi mengawal kedaulatan pantai negara. 

Tetapi, pada masa yang sama, adalah disarankan agar kerajaan mengeluarkan satu dasar khusus untuk mentadbir perolehan aset ketenteraan untuk mengelakkan aset-aset ini mencapai umur kelusuhan tanpa digantikan. 

Pemilihan Kontraktor Pembinaan Kapal untuk TLDM
Salah satu isu yang mengekang pembangunan TLDM adalah kebergantungan terlalu tinggi kepada BNS. Semua perolehan kapal TLDM dalam tempoh masa semenjak 1998 sehingga ke hari ini dilakukan melalui PSC/BNS. Sedangkan mereka bukanlah satu-satunya syarikat pembinaan kapal di negara kita. 

Kerajaan boleh mengenakan arahan ke atas BNS untuk memecahkan projek pembinaan kapal kepada beberapa buah limbungan kapal syarikat lain untuk mempercepatkan proses penghantaran kapal siap guna kepada TLDM. 

Dengan BNS memegang hak cipta ke atas sekurang-kurangnya 2 pelan reka (Meko 100 dan Gowind), langkah ini bukan sahaja membolehkan BNS mendapatkan kontrak bagi TLDM yang boleh disiapkan cepat, malahan membolehkan BNS memasuki ke pasaran antarabangsa. 

Di pihak TLDM, bukan sahaja TLDM akan mendapat satu vendor yang lebih berkemampuan, malahan akan dapat mengelakkan isu menghadapi masalah melaksanakan tugas rondaan laut. 

Langkah ini bukan suatu langkah yang baru. Langkah yang sama turut dilaksanakan oleh Amerika Syarikat, di mana sebilangan pesawat atau kapal yang perlu dibina oleh penerima kontrak pertahanan perlu dibina oleh pesaing yang tewas untuk mempercepatkan kontrak disiapkan. Pada masa sama, hak cipta kontrak masih dimiliki oleh penerima asal kontrak.

Sekiranya kerajaan Malaysia boleh melaksanakan kaedah di atas, nescaya, bukan sahaja 2 buah kapal LMS tersebut boleh dibina di Malaysia, malahan kapal-kapal TLDM baru boleh diperoleh dari BNS.

Pertahanan Bukan Isu Politik
Perlu ingat, pertahanan bukan isu politik. Ya, memang benar terdapat masalah dalam pertahanan yang berasal daripada politik, tetapi kegagalan kita memahami bahawa pertahanan adalah salah satu isu yang tidak sepatutnya dipolitikkan. 

Dengan keadaan geopolitik yang tidak menentu, khususnya di Laut China Selatan, kerajaan perlu memastikan keperluan Angkatan Tentera Malaysia secara keseluruhannya dipenuhi. Kerana di bumi Malaysia ini sahajalah tempat kita berteduh, tidak seperti sesetengah individu yang dengan mudahnya mengangkat kaki sekiranya keadaan sudah tidak sesuai bagi kehadiran mereka.

Nota:
Kredit kepada saudara Perintis Alam kerana membetulkan kesilapan melabelkan KD Selangor sebagai KD Terengganu.


No comments:

Post a Comment