Search This Blog

Sunday, February 23, 2020

Ideologi - Benih Kehancuran yang perlu Dibasmikan

AMARAN dan PENAFIAN - sekiranya kamu berhati tisu, tidak terbuka minda akan sikap sesama manusia, jangan baca. Hal KAMU untuk tidak baca apa yang kamu tak nak tahu dan HAK saya untuk kongsikan pendapat yang tak bagi muka.

Masalah utama konflik sesama manusia bukanlah sekadar cukup untuk menewaskan musuh itu di medan perang. Tetapi bagaimana memastikan ideologi yang telah ditewaskan itu tidak dapat lagi bangkit. 

Itulah sebab kenapa fahaman komunisme diharamkan di Malaysia. Itulah sebab kenapa fahaman Nazism diharamkan di Jerman. 

Tetapi di Malaysia, ada yang cuba menghidupkan kembali fahaman komunisme. Di Malaysia, ada yang cuba menghalalkan sokongan terhadap LTTE atas sebab sudah tumpas. 


Ya, V Prabhakaran bukan sekadar membawa cita-citanya untuk membina sebuah negara Tamil di Jaffna sehingga sanggup memperalatkan kanak-kanak sebagai askar dan kaum wanita sebagai penyerang bom bunuh diri. Tetapi dia membawa ideologi bahawa mereka pejuang bangsa Tamil untuk merampas kembali tanah Eelam yang mereka percaya pernah wujud di Jaffna. 

Dan saya tidak hairan melihat apa yang berlaku hari ini kerana bangkitnya LTTE suatu ketika dahulu bukan sekadar daripada usaha Tamil Sri Lanka tetapi disokong dengan bantuan kewangan yang dikutip daripada diaspora Tamil di India, Malaysia, Singapura dan Kanada.

Jika langkah pembebasan 12 individu tersebut atas percaya bahawa LTTE telah tumbang sepenuhnya, maka berikut adalah kesan yang akan berlaku.

Hubungan Antarabangsa
Bersedia untuk menghadapi risiko bahawa hubungan diplomatik dengan India dan Sri Lanka akan diturunkan taraf. Mungkin bukan secara terbuka tetapi dalam dunia hubungan antarabangsa yang berpegang kepada konsep quid pro quo, ini akan berlaku.

Taraf Kebolehpercayaan Sektor Kewangan Malaysia dalam Menentang Pengubahan Wang Haram
Dengan kumpulan LTTE masih dilabelkan sebagai kumpulan pengganas antarabangsa, pengiriman dana antara Malaysia dengan negara lain nescaya akan dinaikkan taraf risiko. Kemungkinan bilangan dokumen yang diperlukan untuk pengiriman wang akan diminta, khususnya dengan negara-negara yang masih melabelkan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Risiko Radikalisasi Meningkat
Dua kumpulan utama akan mudah diradikalisasikan. 

Tamil 
Dengan kepercayaan bahawa perjuangan LTTE itu adalah sah, maka lebih mudah bagi mereka merekrutkan individu untuk membuka semula gelanggang mereka. 

Melayu / Islam 
Kebanyakan orang Melayu membesar dengan kepercayaan bahawa sistem perundangan Malaysia adalah adil. 

Namun dengan kes arwah Adib yang belum mendapat pembelaan di bawah Peguam Negara yang sama dan ditambahkan dengan penerusan tindakan undang-undang terhadap suspek Melayu / Islam yang ditangkap menyimpan bahan serta media berkaitan dengan kumpulan Daish, ini akan menghakiskan kepercayaan mereka bukan sahaja terhadap sistem perundangan malahan institusi-institusi kerajaan yang lain. Ini akan membuka peluang kepada golongan radikal termasuk Daish untuk menanam bibit ideologi mereka ke dalam golongan ini.

Ditahan di bawah SosMA

Opportunis
Bersedia untuk berhadapan dengan golongan opportunis. Dua kumpulan opportunis akan mengambil peluang atas kemelut ini, iaitu pro-komunis dan anarkis.

Pro-komunis
Golongan pro-komunis masih lagi ingin menghalalkan perjuangan songsang mereka. Mereka sudah tentu mengambil perhatian serius untuk melihat bagaimana langkah 'penghalalan' penyimpanan bahan-bahan berkaitan dengan pengganas dan saya percaya akan cuba menggunakan langkah sama untuk menghalalkan pengagungan Chin Peng dan mereka-mereka yang setaraf dengannya, serta untuk memperjuangkan agar komrad-komrad lama mereka ini diberi status 'perwira', walaupun mereka ini cuma sekadar buah catur permainan geopolitik antarabangsa Commintern.

Menarik, adalah bahawa Peguam Negara hari ini adalah bekas peguam kepada ketua pengganas itu.

Anarkis
Golongan ini wujud tetapi tidaklah tersusun mana. Namun, kumpulan-kumpulan bergelar anarkis akan mengambil peluang untuk menyebarkan aktiviti mereka. Menariknya, mereka ini gemar memporak-perandakan keadaan dan sering terlibat dalam aktiviti anti-establishment tanpa mengira siapa menjadi kerajaan.

Jangkaan
Betul atau tidak jangkaan ini, saya tak perlu tahu. Tetapi kesannya kita akan lihat di masa depan. Sebagaimana kebencian puak Serbia terhadap Bosnia dahulu, bukanlah ditanam semalam, tetapi kebencian yang telah ditanam semenjak era Empayar Uthmaniyyah. 

Bermakna, jika kita gagal menghalang kebencian ini bercambah dengan menyuburkan ideologi ini semula, maka 100 tahun dari hari ini, 200 tahun dari hari ini, generasi kita hari inilah yang akan dipersalahkan kerana gagal menghalang kebencian bercambah.

Kepada PDRM, terima kasih kerana telah berusaha sedaya upaya menjaga ketenteraman awam walaupun tangan diikat pada tiang 'keadilan'.

Nota:
Jika anda berminat, boleh ikuti pandangan peguam Haniff Khatri di sini.


Wednesday, February 12, 2020

Ops Daulat - Pertempuran Kampung Siminul dan Kampung Srijaya serta Pertempuran Sungai Nyamuk - Bahagian Keempat (Terakhir)


Sambutan Hari Tentera Darat diteruskan pada hari Sabtu, 2 Mac 2013 di Port Dickson. Namun, suasana suram dapat dirasai di kalangan hadirin di situ. Lagu-lagu yang dimainkan di corong pembesar suara syahdu, di muka-muka perajurit yang berbaris di situ mempamerkan wajah cekal. Saya tidak ingat lagi ucapan yang disampaikan panglima, tetapi sejurus selepas tamat majlis sambutan, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli mengarahkan meriam 105mm yang digunakan khusus untuk upacara rasmi yang diberi gelaran Laras Berdaulat dihantar segera ke Lahad Datu.


Pertempuran Kampung Siminul dan Sri jaya 
Manakala pada masa yang sama di Semporna, PDRM Bukit Aman telah selesai memproses maklumat daripada pintasan hubungan telefon dengan Agbimuddin Kiram.  Mereka mengesahkan kehadiran 3 suspek dipercayai bersembunyi di Kampung Siminul dan Kampung Sri Jaya. Bantuan dikerah dari Tawau, termasuk Superintenden Ibrahim Lebar. Sebelum memulakan operasi, beliau mengarahkan kesemua anggota untuk menyerahkan telefon masing-masing untuk simpanan di balai.  Hanya beberapa orang pegawai yang akan membawa telefon bimbit manakala yang lain hanya dihubungi dengan walkie talkie.

Sebelum mereka menyerahkan telefon bimbit masing-masing, Korporal Salam membuat panggilan telefon kepada isterinya Marlina Utan untuk memintanya berdoa akan keselamatannya sekitar jam 3pm.

Krisis yang dicetuskan oleh pencerobohan tersebut menyaksikan kedua-dua ATM dan PDRM tidak mempunyai persediaan secukupnya di Sabah. Bilangan senjata api moden didapati tidak mencukupi.  Akibatnya, stok senjata perang di Sabah terpaksa dibuka. Rifle SLR atau L1A1, versi FN FAL British dikeluarkan dari stor senjata. Namun, bagi operasi serbuan ini, tidak semua pegawai dan anggota dilengkapkan dengan senjata api. Superintenden Ibrahim Lebar tidak bersenjata manakala Kpl Salam dilengkapkan dengan sepucuk revolver. 

Di Semporna, kehadiran mereka diperhatikan oleh Detektif Korporal Hasan Basri. Memerhatikan bahawa pasukan polis tersebut digerakkan, dia segera menelefon kumpulan militan yang sedang bersembunyi di dalam kampung tersebut.

Tanpa dia sedar, panggilan telefon itu telah dipintas Cawangan Khas Bukit Aman. Namun, dengan bilangan pintasan rakaman meningkat mendadak akibat krisis yang mula meningkat itu, maklumat penting yang diperoleh dalam pintasan tersebut tidak sempat diproses untuk disampaikan kepada pasukan yang bersedia untuk menyerbu lokasi tersebut.

Sekitar jam 7.30pm dengan keadaan di Kampung Siminuljaya sudah gelap, ASP Michael Padel dan Korporal Baharin telah menahan 2 individu yang disyaki. ASP Michael menghubungi seorang pegawai lain memohon anggota tambahan bagi mengawal tahanan. Belum sempat anggota tambahan tiba, tembakan senjata automatik dilepaskan ke arah mereka. ASP Michael dan Korporal Detektif Baharin tumbang akibat tembakan. 

Keadaan menjadi kelam kabut. Dengan kampung tersebut dibina hanya dengan papan kayu dan atap zink, pasukan keselamatan menghadapi masalah untuk membalas tembakan kerana risiko tembakan tersebut menembusi dinding dan mengenai sasaran awam. Dengan kata lain, sekiranya kedua-dua Superintenden Ibrahim dan Kpl Togiran dilengkapkan dengan SLR, mereka tetap sukar bertindak kerana SLR menggunakan peluru 7.62mm NATO yang mempunyai daya penembusan yang jauh lebih tinggi dan malahan lebih tinggi daripada rifle M16A1 yang digunakan oleh beberapa orang anggota lain dalam operasi tersebut. 

Tidak lama selepas itu, Sarjan Azis Sarikon turut tumbang terkena tembakan manakala SP Ibrahim Lebar ditetak dari belakang sebelum ditembak di perut.  Superintenden Ibrahim berjaya menyelamatkan diri dan bergerak ke salah sebuah rumah di mana anggota-anggota polis lain mengambil perlindungan. Namun, beliau menghembuskan nafas terakhir bersama-sama anggota yang terperangkap. 

Lans Korporal Azrul terperangkap dengan serangan dari dua arah. Walaupun beliau cuba memberi tentangan, tetapi musuh lebih ramai dan berpengalaman.  Saya tak sanggup menceritakan lebih apakah yang dilakukan oleh musuh ke atasnya, kerana janji dengan ibu arwah.  Cukuplah sekadar mengiyakan bahawa beliau telah dipenggal musuh yang tidak berhati perut. 

Sikap buruk militan dari Selatan Filipina adalah tidak menghormati mayat musuh yang terkorban di tangan mereka. Tanpa segan silu, mereka mula merosakkan mayat-mayat pegawai dan anggota polis yang terbunuh. Tahap kerosakan pada mayat-mayat korban PDRM amatlah menghina. Korporal Salam terlihat seorang militan mengangkat barongnya untuk memenggal kepala salah seorang anggota polis yang parah, dipercayai Lans Korporal Azrul. Walaupun hanya bersenjatakan sepucuk revolver, Korporal Salam bangkit dari tempat perlindungannya dan melepaskan tembakan revolver sambil menjerit "Allahuakbar!" Beliau tumbang ketika cuba menyelamatkan rakannya daripada diperlakukan lebih teruk oleh musuh, syahid yang dicarinya tercapai. Dan bagi Lans Korporal Azrul, ugutan yang diterimanya setahun lalu menjadi kenyataan. 

Musuh yang Lari
Dalam kecelaruan pertempuran, seorang militan kecut perut dan cuba melarikan diri daripada kampung tersebut. Menahan beberapa orang tebusan, dia memaksa mereka menjadi perisai manusia. Apabila mereka sudah berada di luar kampung, matanya yang meliar dalam panik. Tebusan-tebusannya risau kerana di tangannya sepucuk senjata automatik. Salah seorang tebusan, seorang pelarian perang dari Filipina tercetus idea untuk menawarkan rokok kepada militan tersebut. Mungkin kerana dia menganggap tebusan itu tidak berbahaya kerana juga adalah seorang Filipina seperti dirinya, dia meletakkan senjatanya ke tepi. Peluang tersebut diambil para tebusannya untuk membelasahnya sehingga mati sebelum mereka lari ke kedudukan polis untuk melaporkan apa yang telah berlaku.

Radio Karat yang Membawa Panik
Kehadiran media sosial dalam konflik ini menyukarkan usaha pasukan keselamatan. Ramai individu tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu mengenai pertempuran itu. Malahan, terdapat individu yang sengaja memetik rakaman video pembunuhan perisik polis di Mexico oleh kartel dan mengatakan bahawa video itu adalah video pembunuhan Kpl Salam.  

Bantuan 
Apabila anggota-anggota polis di bahagian pengepungan mendapat tahu bahawa rakan-rakan mereka terperangkap dalam pertempuran dan ada yang sudah terkorban, ada anggota cuba meluru masuk untuk memberi bantuan tetapi dihalang anggota pasukan khas yang telah tiba. Anggota pasukan khas dipercayai VAT69 itu menghalang tindakan tersebut kerana khuatir bahawa militan tersebut memasang perangkap. Tindakan itu bukannya tiada asas. Salah satu taktik peperangan gerila adalah dengan menarik musuh masuk ke kawasan bunuh dengan mengumpan musuh dengan tembak lari.  Militan selatan Filipina sering menggunakan taktik tersebut ke atas tentera Filipina dengan berkesan. 

Akhirnya pada Isnin, 4 Mac, 6 musuh berjaya dibunuh manakala 6 musuh  lagi berjaya ditawan. 

Tragedi
Pada malam 2 Mac, Puan Rosiah Dahlan, terus menunggu panggilan telefon daripada suaminya SP Ibrahim Lebar. Beliau mengirimkan satu sms kepada suaminya mengucapkan selamat ulang tahun perkahwinan mereka. Keesokan hari, anak mereka yang sedang menuntut di Mesir pula menaikkan status mengucapkan salam ulang tahun perkahwinan kepada kedua orang tuanya. Saya masih ingat lagi ucapan itu. Ucapan itulah yang saya jumpa apabila saya melayari Facebook isteri arwah apabila mendapat mesej pesanan ringkas dari kenalan lain mengenai kematian arwah. Dan pengebumian arwah merupakan pengebumian seorang wira negara yang pertama saya hadiri sendiri. 

Jabah Mingku Voon mendapat berita kematian suaminya ketika beliau berada bersama-sama isteri para anggota polis lain. Anak mereka, Macluie pernah dirakamkan bahawa akan menyertai Polis bagi meneruskan generasi keluarga mereka dalam pasukan keselamatan. Mendiang ASP Michael Padel dikebumikan di Makam Perwira di Kuching, Sarawak, bersebelahan dengan kubur PWI Kanang anak Langkau.


Nur Izzaty tidak menyangka janji ayahnya Korporal Baharin tidak kesampaian. Setahun selepas kematian ayahnya, ibunya menceritakan rindu anaknya itu cukup mendalam, adakalanya hanya dapat tidur dengan memeluk baju arwah ayahnya.

Kematian Sarjan Azis Sarikon menyebabkan anak-anaknya hilang tumpuan dalam pelajaran. Dalam masa setahun, keputusan mereka merosot sehingga merisaukan ibu mereka, Siti Bandora.

Bagi keluarga arwah Azrul pula, cukup sedih dengan cara pemergiannya itu. Kesedihan itu cuma terubat sebab kuburnya di kampungnya terletak betul-betul di bawah lampu yang dipasangkan di kawasan kubur itu dan amat mudah dilawati keluarganya.

Bagi Korporal Salam pula, walaupun hasratnya untuk syahid tercapai, anaknya Sazreen berada di asrama semasa pengebumiannya. 

Hasan Basri tidak berjaya melarikan diri. Dia ditangkap dan didakwa di mahkamah. Pada 7 Ogos 2013, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 7 tahun di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan. Dia dijangka akan dibebaskan pada tahun ini, mungkin juga telah dibebaskan berdasarkan kemungkinan telah menerima parol. Sama adil atau tidak dia terlepas hukuman mati, itu amat sukar diterima, khususnya bagi kami yang rapat dengan keluarga-keluarga mereka yang terkorban.  Biarlah muka pengkhianat ini terpampang besar-besar agar kita ingat wajah yang menjual nyawa-nyawa pejuang negara. 

Selepas Pertempuran Kampung Siminuljaya 

Pelancaran Ops Daulat
Kematian 6 orang pegawai dan anggota polis di Kampung Siminuljaya memaksa kerajaan mengumumkan bermulanya Ops Daulat, singkatan bagi Darat, Udara, Laut.  Pada pagi 4 Mac, tepat jam 8 pagi, serangan bermula ke atas kedudukan militan RSF.  Kali ini, pintu rundingan telah ditutup.

Operasi besar-besaran dilancarkan dari sekecil-kecil senjata sniper Barrett .50 dan 40mm sehinggalah sebesar tembakan artileri 105mm serta serangan udara.

Bantahan Antarabangsa 
Tindakan Malaysia memerangi sekumpulan kecil militan RSF itu mendapat bantahan sebilangan media Filipina sebagai tindakan berlebihan dan melampau, tetapi ibarat meludah ke udara jatuh ke muka sendiri, apabila Armed Forces of Philippines melaksanakan operasi di Zamboanga dan kemudiannya di Marawi dengan templat hampir sama, menggunakan overwhelming force tanpa memberi muka langsung.

Percubaan campur tangan Filipina bukan setakat kutukan di media sahaja. Seorang senator Filipina, Senator Miriam Defensor Santiago turut mencadangkan AFP digerakkan bagi menyokong tindakan Jamallul Kiram III melalui RSF, namun cadangan itu tidak disokong oleh Presiden Filipina ketika itu, Benigno Aquino III.

Di kalangan rakyat Filipina, mereka turut memprotes tindakan Malaysia. Protes oleh rakyat Filipina yang paling mendapat liputan di Malaysia adalah pembakaran Jalur Gemilang oleh seorang bekas polis Filipina, Abner Afuang. Walaupun tindakannya itu tidak memberi kesan ke atas tindakan Malaysia, malangnya rupa parasnya yang mirip Cina sambil memakai baju berwarna kuning sering disalahertikan di luar konteks sebagai seorang warganegara Malaysia berketurunan Cina yang terlibat dalam aktiviti Bersih.

12 Mac - Pertempuran Sungai Nyamuk 
Selepas pertempuran di Kampung Siminuljaya, satu demi satu militan Filipina tumbang di tangan pasukan keselamatan. Tetapi tidak bermakna mereka tidak lagi membawa bahaya kepada pasukan keselamatan.

Di awal pagi 12 Mac di sekitar jam 10.15 pagi, Kompeni A dari 7 Rejimen Askar Melayu Diraja telah diarahkan untuk membuat sekatan dan penggeledahan di Sungai Nyamuk. Mejar Mohd Shukri Ismail selaras ketua Kompeni A baru sahaja mengarahkan pasukannya untuk bergerak apabila satu tembakan yang diikuti tembakan bertubi-tubi oleh musuh. Pada masa sama, satu suara menjerit, "Hurairah kena tembak!" sebanyak tiga kali. Prebet Ahmad Hurairah menjadi korban kesembilan di tangan musuh, dengan tembakan tepat ke kepalanya.

Maka bermulalah pertempuran yang berlangsung selama sejam. Setelah tamat pertempuran, seorang lagi askar, Korporal Khairul Anuar Md Isa didapati turut cedera terkena tembakan di muka. Manakala antara dua hingga tiga orang musuh terbunuh di situ.

Hari ini, nama beliau terpampang sebagai nama tambahan di arca yang melambangkan perwira-perwira RAMD yang terkorban dalam tugasan di depan padang kawad di Port Dickson. Hanya sms terakhir daripada beliau sebagai pengubat rindu kepadanya.

Wira Logistik
Sering kali dalam mana-mana peperangan, peranan unit logistik tenggelam apabila menceritakan kisah-kisah peperangan. Malah, peranan yang dilakukan oleh unit logistik Tentera AS semasa Perang Dunia Kedua dalam menyokong pasukan-pasukan tempur juga berhadapan masalah sama.

Jadi, apabila dilaporkan bahawa Pbt Ahmad Farhan terkorban akibat kemalangan jalan raya semasa membawa lori, ramai yang menyangka bahawa pengorbanan beliau akan menemui nasib yang sama. Dalam hal ini, Angkatan Tentera khususnya Tentera Darat Malaysia terkehadapan dalam memperingati pengorbanannya dengan turut mengiktiraf pengorbanannya setaraf dengan pengorbanan Pbt Ahmad Hurairah.

Pengajaran 
Hari ini sudah 7 tahun selepas tamatnya Ops Daulat. Jasa-jasa mereka yang terkorban tidak dilupakan di kalangan kami yang mengikuti dunia pertahanan.

Bagi perwira-perwira PDRM, mereka masing-masing telah dinaikkan pangkat ke pangkat seterusnya serta dicalonkan pingat Panglima Gagah Berani. Manakala bagi perwira-perwira TD, mereka dinaikkan 2 pangkat.

Namun, melihatkan tahap kesihatan Angkatan Tentera Malaysia secara keseluruhan hari ini, seolah-olah pengajaran yang diperoleh ketika itu tidak dipelajari sepenuhnya. Aset-aset masih lagi di takuk lama, dan ada pula yang terpaksa ditamatkan penggunaan tanpa ganti. Manakala kisah-kisah pengorbanan mereka pula mula pudar daripada ikutan semasa.

Dan dalam isu ini, musuh dalam konteks ini adalah sekumpulan gerila yang berperang dengan cara asimetrik. Kita telah lihat bagaimana mereka-mereka ini boleh menghancurkan bandar-bandar sepertimana di Zamboanga dan Marawi. Adakah kita bersedia untuk menghadapi mereka sekali lagi?

Ops Daulat dan Diri Sendiri
Bermula dari peristiwa berdarah Ops Daulat ini, barulah saya mula menulis secara serius isu-isu pertahanan. Melihat sendiri kesedihan keluarga-keluarga mereka yang terkorban, saya cuma dapat sekadar memastikan kisah-kisah mereka tidak akan dilupakan masyarakat dan pengorbanan mereka tidak akan dilupakan.  Janganlah sampai perjuangan mereka disia-siakan oleh kita dan janganlah sampai berulang lagi.



Siri rencana ini ditulis sebagai tribute kepada pegawai-pegawai dan anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban dalam Op Daulat dalam mempertahankan negara daripada ancaman penceroboh dari Filipina, khususnya kepada arwah ACP Ibrahim Lebar dan keluarga, yang mana saya mengenali isteri arwah semasa di tempat kerja lama.  Tak lupa juga kepada arwah Korporal Azrul Tukiran dan keluarga yang kini rapat seperti keluarga sendiri.  Semoga Tuhan merahmati keluarga mereka. 


Tuesday, February 11, 2020

Ops Daulat - Suatu Hari di Kampung Tanduo - Bahagian Ketiga


Lagu "Bangau oh Bangau" yang dipelajari kebanyakan rakyat Malaysia ketika masih kanak-kanak lagi bukanlah sekadar lagu seloka rakyat lama-lama dahulu, tetapi lagu yang penuh nasihat untuk mengingati generasi akan datang perlunya memikirkan dengan sebaik-baiknya suatu tindakan sebelum langkah dimulakan kerana rantaian kesannya yang panjang. Dalam hal ini, kita telah melihat bagaimana langkah-langkah orang terdahulu telah membawa kepada keadaan yang akhirnya berlaku di Lahad Datu dan Semporna.



Pencerobohan Pertama
Dan langkah seterusnya dikatakan bermula pada Oktober 2012. Royal Sulu Force (RSF) mula menggerakkan gerila mereka menyelinap masuk ke Sabah melalui jalan laut. Bot-bot pam seperti yang digunakan oleh nelayan tempatan digunakan untuk membawa anggota dan peralatan untuk menyelinap memasuki kawasan sasaran. Penggunaan bot pam itu sendiri menyukarkan pengesanan kehadiran kumpulan tersebut.

Kerja-kerja penyeludupan ini dipermudahkan dengan kewujudan seorang tali barut berada dalam Cawangan Khas. Hassan Basri yang ketika itu berpangkat Detektif Korporal yang bertugas di Semporna sudah tentu berada dalam kedudukan yang cukup baik untuk menerima maklumat sekiranya pergerakan mereka dikesan. Malahan, tugas hakikinya di Semporna adalah sebenarnya untuk mendapatkan maklumat kehadiran ancaman dari lanun.


Hasilnya, tiada gangguan daripada pihak berkuasa dari Oktober 2012 sehingga pada 11 Februari 2013, apabila sekumpulan penceroboh ini dikesan mendarat di kawasan sekitar Kampung Tanduo secara tidak sengaja oleh dua orang anggota polis bantuan yang sedang memancing ikan di masa rehat mereka. 

Kumpulan militan itu yang diketuai oleh Agbimuddin Kiram dipercayai pada asalnya menyasarkan pekan Lahad Datu itu sendiri. Tetapi disebabkan kehadiran mereka dikesan 2 orang anggota polis bantuan, mereka menukarkan sasaran mereka kepada kampung tersebut.


Laporan yang diterima Balai Polis Lahad Datu itu segera membawa kepada rentetan pergerakan yang memperlihatkan unit-unit khas seperti VAT69, PASKAL, GGK dan PASKAU bersama-sama 10 Para digerakkan ke Lahad Datu secara berperingkat tanpa uniform bagi mengurangkan kegusaran awam. Manakala di peringkat tempatan, Pasukan Gerakan Am digerakkan membuat pertahanan keliling. Antara yang dihantar adalah Inspektor Zulkifli Mamat dan Korporal Sabaruddin Daud. Cawangan Khas Bukit Aman pula menghantar SP Ibrahim Lebar ke Semporna bagi membantu pasukan Cawangan Khas di situ.

Di sebelah pihak kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dipetik media bahawa kumpulan tersebut cumalah sekumpulan orang tua dengan senjata buruk yang boleh dibawa berunding. Kata-kata yang dipetik itu membawa padah politik yang cukup keras ke atas dirinya kerana dianggap sebagai lemah. 

Pada masa yang sama, Angkatan Tentera Malaysia turut menggerakkan kekuatan sekitar 2 batalion dari Semenanjung Malaysia ke Sabah bagi mengukuhkan kedudukan. Antara aset yang turut digerakkan bersama adalah kenderaan berperisai Adnan ACV300 hasil kerjasama antara FNSS Turki dengan Deftech. Di sebelah PDRM, PDRM turut menggerakkan batalion Pasukan Gerakan Am yang berpusat di Miri ke Lahad Datu.

Namun, pergerakan anggota tambahan menggunakan pesawat Air Asia itu dijadikan bahan jenaka beberapa ahli politik pembangkang ketika itu. Seorang pelukis tempatan yang berpaksikan parti politik pembangkang turut melukiskan beberapa kartun yang menghina usaha ATM pada masa mereka sepatutnya berdiri bersama-sama pasukan keselamatan negara. Malahan, mereka langsung tidak mahu mengetahui bahawa ketika Perang Teluk, Amerika Syarikat yang begitu gah juga menggunakan pesawat awam untuk menggerakkan ketumbukan tentera mereka.

Kerajaan Malaysia memulakan rundingan dengan kumpulan tersebut dan mendapati bahawa mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Royal Sulu Force yang diketuai oleh salah seorang daripada 8 atau 9 orang yang menuntut takhta kepada kesultanan Sulu. Individu tersebut, Jamallul Kiram III. Bekas penari dan bekas calon senator, dia mengarahkan penyokongnya untuk menuntut 'hak' kesultanan Sulu ke atas Sabah. Arahannya itu diwakilkan kepada adiknya Agbimuddin Kiram. Arahan itu akhirnya membawa kepada padah yang cukup memedihkan.

Pada malam 28 Februari, sebelum pasukan VAT69 yang ditempatkan di Lahad Datu digerakkan untuk penggeledahan, Inspektor Zulkifli Mamat mengambil peluang tersebut untuk menulis sewarkah sajak kepada keluarganya, memohon keredhaan mereka akan tugas dan tanggungjawabnya kepada negara. Beliau ketika itu baru dimaklumkan isteri bahawa beliau bakal menimang anak ketiga.

Jumaat, 1 Mac 2013 - Pertempuran Lahad Datu
Dan segala-galanya bertembung pada tarikh 1 Mac. Geram akan usaha rundingan seperti tidak ke mana-mana, Agbimuddin dipercayai mengarahkan anak-anak buahnya untuk menangkap beberapa orang anggota polis yang membentuk perimeter. 

Pasukan VAT69 yang ketika itu membantu membuat pengosongan beberapa rumah bagi memastikan tiada kelibat orang awam terperangkap sekiranya pertempuran berlaku.  

Inspektor Zulkifli Mamat ketika itu mengetuai salah satu seksyen yang membuat penggeledahan. Unitnya bertembung dengan kumpulan militan yang ditugaskan untuk menculik beberapa anggota polis sebagai tebusan. 

Melihat kelibat bendera RSF yang kelihatan putih di bawah cahaya matahari awal pagi pada jam 0940, Inspektor Zulkifli menyangka mereka hendak menyerah diri dan bertindak berdiri. Seorang militan membidik kepala beliau dan melepaskan tembakan. Korporal Sabaruddin yang berada di situ cuba bangkit membantu kawan baiknya turut menerima nasib yang sama.

Tindakan mengejut militan itu menyaksikan kebanyakan anggota VAT69 yang masih belum pernah terlibat dalam pertempuran sebelum ini terpinga-pinga. Walaupun mereka unit khas yang amat terlatih, unit tersebut sudah lama tidak terlibat dalam pertempuran. Manakala musuh mereka pula adalah mereka yang sudah biasa bertempur. Ini diburukkan lagi apabila arahan diterima melalui radio untuk jangan bertindak kerana suasana kelam-kabut menyebabkan ada yang menyangka bahawa terdapat individu yang terlepas tembakan secara tidak sengaja.

Namun, kelebihan itu tidak lama di pihak musuh. Latihan keras yang dilalui setiap trooper VAT69 tetap memberi kelebihan. Walaupun rakan mereka tumbang, anggota VAT69 lain mula membalas. Walaupun terdapat arahan mengarahkan mereka memastikan keadaan sebenar, anggota VAT69 yang mendapat tugasan penembak tepat telah melihat keadaan sebenar dan melepaskan tembakan yang menumbangkan musuh pertama. 

Pertempuran itu tidak lama. Sepuluh musuh berjaya ditumbangkan bagi membalas kematian Inspektor Zulkifli Mamat dan Korporal Sabaruddin Daud. Tiga anggota VAT69 lain cedera parah,  Korporal Mohd Tarmizi B. Hashim, Korporal Mohamad Qaiyum’aiqal B. Zolkifli, dan Korporal Azman Rampong. Radio karat yang disebarkan pengguna media sosial tersalah label mereka-mereka ini terkorban sehingga didedahkan mereka selamat di hospital.

Dan di Ulu Kinta, balu Inspektor Zulkifli Mamat hilang punca. Baru hari sebelum itu, beliau memberitahu suaminya bahawa mereka bakal mendapat anak ketiga.

Seluruh Malaysia berduka hari itu apabila anak arwah dirakamkan dengan kata-kata "ayah sudah mati". 

Malam tu di Tawau, Kpl Salam Togiran masih berada di rumahnya bersama-sama keluarganya menonton berita. Apabila berita kematiannya diumumkan, beliau seraya berkata-kata, "kalau begini, saya pun nak!" Kata-kata itu disambut dengan teguran keras isterinya, namun disambut dengan senyuman dengan kata-kata itu mati syahid, menandakan keinginannya yang sebenar. Bukan kali pertama beliau berkata-kata sedemikian. Setiap kali beliau menonton berita mengenai tragedi rakyat Palestin di tangan Israel, beliau akan mengulangi kata-kata yang sama. Malahan, beliau siap berpesan kepada anak sulungnya Mohamad Sazreen untuk mengetuai pengebumiannya sekiranya beliau terbunuh. Tidak lama selepas itu, beliau mendapat arahan untuk digerakkan ke Semporna. Tetapi sebelum beliau meninggalkan rumah, beliau memesan kepada isterinya untuk menjaga keluarga sebaik-baiknya.


Di rumah Kpl Baharin, anaknya Nur Izzaty merajuk kerana ayahnya terpaksa keluar bertugas pada bulan hari jadinya. Hari jadinya akan jatuh pada 25 Mac. Hari jadinya pada tahun sebelum itu, ayahnya hanya dapat menghantar hadiah hari jadi melalui seorang rakan setugas lain kerana beliau bertugas ketika itu. Bagi memujuk Nur Izzaty, beliau berjanji akan balik menyambut hari jadi anak kesayangannya itu.

Di Tawau, SP Ibrahim Lebar terpaksa membuat keputusan yang berat. Cuti untuk kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambut ulang tahun perkahwinannya dengan isterinya pada 3 Mac sudah diluluskan. Tiket penerbangannya pun sudah ditempah. Tetapi ketika itu, negara memerlukannya. Pasukannya memerlukannya. Dengan berat hati, beliau menghubungi isterinya untuk memberitahu keputusannya untuk tidak balik dan sebaliknya membantu pasukannya. 

Di Istana Negara, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mat Zin memohon mengadap Yang DiPertuan Agong Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. 


Siri rencana ini ditulis sebagai tribute kepada pegawai-pegawai dan anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban dalam Op Daulat dalam mempertahankan negara daripada ancaman penceroboh dari Filipina, khususnya kepada arwah ACP Ibrahim Lebar dan keluarga, yang mana saya mengenali isteri arwah semasa di tempat kerja lama.  Tak lupa juga kepada arwah Korporal Azrul Tukiran dan keluarga yang kini rapat seperti keluarga sendiri.  Semoga Tuhan merahmati keluarga mereka. 

Sunday, February 9, 2020

Ops Daulat - Mereka Yang Terlibat - Bahagian Kedua


Kita telah lihat sejarah bagaimana tragedi ini terbina, bukannya semalaman tetapi hasil daripada kesilapan bertahun-tahun yang cuma kita rasai hari ini. Seterusnya, kita akan melihat bagaimana kisah ini terus terungkai. Kali ini dari perspektif mereka yang terlibat, dan peristiwa sekurang-kurangnya 1 tahun sebelum tragedi berdarah tersebut. Nama-nama sesetengah individu diubah bagi melindungi identiti mereka. Berikut adalah kisah-kisah mereka, digarap sama ada daripada temubual ataupun sumber sekunder lain.

Saturday, February 8, 2020

Ops Daulat - Harga Sebuah Keamanan - Bahagian Pertama

Harga sebuah keamanan bukan sahaja wang ringgit untuk memastikan sesebuah negara itu mempunyai kelengkapan aset persenjataan secukupnya untuk mempertahankan diri, tetapi darah, keringat dan tangisan mereka yang tersayang. Dalam hal ini, tiada satu kisah yang lebih sedih berbanding kisah lain. Namun, peredaran masa menjadikan kisah mereka sekadar statistik. Bagi memastikan legasi mereka terus kekal, inilah kisah mereka, kisah perjuangan mempertahankan negara dari anasir-anasir yang ingin membawa kehancuran kepada negara kita.