Search This Blog

Saturday, March 14, 2015

Majlis Tahlil Kpl Azrul Tukiran (PGB - KIA, Kpg Simunul Jaya, Semporna - 2 Mac 2013)

Suasana syahdu di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor masih terasa walaupun sudah dua tahun arwah Kpl Azrul terkorban dalam pertempuran berdarah di Kampung Siminul Jaya, Semporna di tangan pengganas Tausug Filipina.

Demi Tanahair Tercinta




Walaupun keluarga arwah sudah dapat menerima pemergiannya, namun mata tetap digenangi air mata.

Hari ini, keluarga arwah Kpl Azrul Tukiran telah mengadakan majlis tahlil bagi memperingati pengorbanan arwah demi tanahair tercinta.  Siapa sangka, anak muda yang dahulunya dikenali sebagai budak nakal di kampung halamannya ini, menjadi seorang anggota polis.  Dan siapa yang sangka, anak muda yang melaporkan diri di tempat bertugasnya dengan kotak berwarna merah jambu, warna yang dianggap feminin, akhirnya menjadi wira negara.

Saya tidak bertanya banyak mengenai arwah, kerana tujuan saya hadir ke situ adalah untuk memberi penghormatan kepada keluarga Wak Tukiran, berserta untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga Wak Tukiran kerana perginya anak beliau ini demi negara tercinta.

Kesedihan masih dapat dilihat pada mata dan gelagat veteran 5 Renjer Diraja ini.  Kehadiran seorang anggota polis yang merupakan rakan karib arwah Kpl Azrul semasa di Semporna disambut dengan penuh kemesraan.  Pelukan erat beliau pada anggota polis tersebut pada hemat saya, melambangkan kasih seorang bapa kepada antara individu yang terakhir melihat anaknya hidup.

Rakan karib ini tadi turut menceritakan semula pengalamannya terlibat dalam pertempuran di Kampung Siminul Jaya.  Bukannya tiada persediaan, tetapi maklumat kurang tepat diterima diburukkan kehadiran si Kitul di kalangan pasukan keselamatan.

Mendengar cerita beliau, secara tidak langsung mengetepikan beberapa kisah radio karat yang menyebarkan cerita-cerita palsu mengenai pertempuran tersebut.  Sudah pasti, video yang tersebar ketika itu yang dikatakan merakamkan saat-saat terakhir hidup salah seorang anggota polis itu adalah palsu.  Begitu juga kisah mengenai anggota-anggota polis yang terperangkap di dalam Kampung Siminul Jaya mengirimkan mesej pesanan ringkas ataupun Whatsapp, bergantung kepada daripada siapa anda dengar, yang menyumpah seranah KPN serta kerajaan; palsu kerana anggota telah menyerahkan telefon kepada CO sebelum operasi.

Arwah Kpl Azrul baru berumur 27 ketika arwah terkorban demi negara.  Tetapi semangat kepahlawanannya begitu jelas.  Arwah bukan sahaja pernah mencuba untuk memasuki pasukan VAT69 dan UTK, malahan pernah memohon untuk dihantar ke Lahad Datu untuk berdepan dengan musuh negara.

Kawasan perkuburan tempat persemadian arwah Kpl Azrul yang kemas terjaga.  
Dalam majlis tahlil petang tadi, kehadiran seorang setiausaha sulit kepada salah seorang ahli politik tempatan atas kapasiti peribadi begitu dihargai.  Tiada protokol, tiada kesombongan.  Dan paling penting, tiada politik.
Antara peninggalan arwah Kpl Azrul kepada keluarganya.

Selepas tahlil, kami turut bergerak ke kubur arwah.  Pujian harus diberikan kepada exco negeri Selangor dan ADUN kawasan (saya tak pasti siapa) yang terus menerus mengambil berat kebajikan keluarga Wak Tukiran.  Malahan, kawasan kubur tempat arwah dikebumikan begitu terjaga; rumput dipotong, lampu jalan di tepi kubur arwah.  Berkat menjadi wira negara.

Kepada keluarga Wak Tukiran, terima kasih atas pengorbanan arwah Kpl Azrul.  Sememangnya, arwah tiada dapat digantikan dengan sesiapa.

Bendera Malaysia yang terlipat kemas berserta pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebagai ganti pemergian arwah Kpl Azrul Tukiran

Sekiranya tiada aral melintang akan saya kembali melawat keluarga Wak Tukiran.  Kepada Nadiah dan Anati Khoo, terima kasih kerana memperkenalkan saya kepada keluarga Wak Tukiran.

Wak Tukiran dan isteri.  Terima kasih atas pengorbanan arwah Kpl Azrul Tukiran demi negara tercinta.

No comments:

Post a Comment