Ucapan tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan hari ini kerana telah menaikkan gaji minima daripada RM1,000 ke RM1,050. Lebih menarik, kenaikan gaji minima kali ini memperlihatkan penyeragaman gaji minima bagi seluruh negara. Terdahulu, gaji minima bagi Sabah dan Sarawak adalah lebih rendah pada RM920 sebulan.
Lebih tepat, ucapan tahniah ini ditujukan kepada Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran atas tindakannya yang bertindak lebih rasional berbanding janji manifesto PRU14 di mana pihak Pakatan Harapan telah menjanjikan gaji minima RM1,500.
Gaji minima yang dicadangkan dalam manifesto tersebut adalah keterlaluan dan boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi akibat peningkatan kos secara mendadak. Peningkatan gaji minima mendadak juga akan menyebabkan kenaikan inflasi mendadak kerana peningkatan kecairan secara mendadak dalam ekonomi. Sekiranya saya tidak silap, kesan peningkatan gaji minima secara mendadak ini pernah berlaku di Bolivia. Kadar pengangguran melonjak naik akibat syarikat-syarikat terpaksa ditutup.
Oleh itu, tindakan untuk mengurangkan jumlah peningkatan adalah tepat.
Namun, saya tidak pasti apakah peningkatan gaji minima ini memberi tambah-nilai kepada golongan pekerja ini, terutamanya di Semenanjung Malaysia. Peningkatan sekadar RM50 ini tidak memberi banyak kesan kepada golongan ini sekiranya diambilkira terhadap inflasi berserta pengurangan nilai BR1M yang kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup.
Perlu diingatkan juga, gaji minima ini tidak meliputi golongan peneroka. Sebaliknya, golongan peneroka ladang kelapa sawit pula perlu memastikan mereka membayar jumlah ini kepada pekerja mereka sekiranya mereka memilih untuk menggajikan pekerja.
Jadi secara realistik, gaji minima baru ini sebenarnya tidak memberi kesan positif. Peningkatan gaji minima ini tidak memberi sebarang insentif kepada para majikan untuk menaikkan nilai gaji dan upah mereka pada tangga seterusnya ke nilai yang lebih tinggi. Akibatnya, gaji golongan pertengahan mungkin sekali kekal terperangkap dalam perangkap pendapatan pertengahan.
Tetapi memandangkan Menteri sudah berjanji mengkaji semula gaji minima dalam masa 2 tahun, kita lihat semula isu ini dalam masa 2 tahun ini. Diharapkan betul-betul dicapai dalam masa 2 tahun ini, dan bukannya sekadar menjadi terowong di atas kertas.
No comments:
Post a Comment