Search This Blog

Tuesday, November 20, 2018

Tragedi Waco, Texas

Mungkin ramai rakyat Malaysia yang tidak pernah mendengar nama David Koresh dan Waco. David Koresh atau nama sebenarnya Vernon Wayne Howell, merupakan ketua sekumpulan ajaran sesat yang terpesong daripada ajaran agama Kristian. Menunggang agama demi mendapatkan peluang mengamalkan perhambaan seks, David Koresh juga mempercayai bahawa dia adalah nabi terakhir.

Mengetuai kumpulan agama pecahan bergelar Branch Davidian, ataupun Cabang Keturunan David (Daud), dia dan pengikutnya telah melawan kerajaan Amerika Syarikat.

Sebagai persediaan menghadapi ancaman kerajaan, dia dan pengikutnya telah membeli pelbagai jenis senjata termasuk rifle secara haram. Tindakan mereka mengumpul senjata secara haram telah dihidu oleh pasukan petugas Biro ATF (Alcohol, Tobacco, and Firearm) melalui pengintip mereka. Mereka percaya bahawa kumpulan tersebut telah membeli komponen senjata yang berupaya menukarkan rifle AR15 semiautomatik yang boleh dibeli secara sah di pasaran kepada rifle automatik.

Dalam percubaan serbuan ke atas markas kumpulan tersebut di Waco, Texas, 4 orang ejen ATF telah terkorban bersama 6 orang pengikut David Koresh.

Nama-nama ejen ATF yang terkorban adalah Steve Willis, Robert Williams, Todd McKeehan, dan Conway Charles LeBleu.

Serbuan tersebut tamat apabila pasukan ATF kehabisan peluru.

Selepas berundur bersama ejen yang cedera dan terkorban, markas kumpulan tersebut di Waco dikepung selama 51 hari sebelum diserbu semula. Serbuan kali ini disertakan dengan bantuan sebuah APC. Namun, serbuan kali ini mengundang padah dan titik hitam dalam sejarah AS. 76 pengikut Branch Davidian termasuk kanak-kanak terbunuh, sama ada ditembak ataupun terbakar. Antara yang terkorban adalah David Koresh sendiri.

Sehingga ke hari ini, insiden ini telah menjadi tumpuan kepada ahli teori konspirasi. Insiden ini juga menyemai sikap anti-kerajaan di kalangan warga Amerika, terutamanya mereka yang hidup di kawasan Bible Belt yang merasakan kerajaan AS cuba memaksa mereka meninggalkan cara hidup mereka. Malahan, tragedi ini dikatakan antara pendorong kepada Timothy McVeigh untuk melancarkan serangan bom kereta di Bangunan Persekutuan Alfred P Murray di Oklahoma yang mengorbankan 168 nyawa serta mencederakan 680 lain. Antara yang terkorban adalah 19 kanak-kanak yang menghadiri pusat asuhan kanak-kanak yang terletak di bangunan tersebut.

Tragedi di atas menjadi asas kepada filem tv "In The Line of Duty: Ambush at Waco".

Terbaru, kisah ini didramakan semula oleh HBO.

No comments:

Post a Comment