Search This Blog

Thursday, June 20, 2019

Demi Kepentingan yang Segelintir

Saya tidak terkejut dengan berita ini apabila dilaporkan oleh media arus perdana Malaysia. Sebenarnya, kejadian ini sekadar menunggu masa untuk berlaku.


Apabila Parti Warisan yang dipimpin oleh Ketua Menteri Shafie Apdal memenangi negeri tersebut bagi pihak Pakatan Harapan, antara dua langkah terawal yang diambil oleh mereka adalah dengan membatalkan pengharaman ke atas perdagangan barter dan pengharaman ke atas bot pam biarpun langkah tersebut dibantah oleh pengurusan ESSCOM.


Perdagangan Barter
Perdagangan barter diharamkan kerana telah dipergunakan oleh kumpulan culik-untuk-wang (CUW) untuk menyelinap masuk ke negeri itu untuk mengenalpasti sasaran. Langkah tersebut diambil juga untuk mengurangkan bilangan sasaran untuk kumpulan CUW, di mana penculikan terakhir sebelum ini berlaku di tahun 2016 menyaksikan 4 warganegara Malaysia telah diculik di laut ketika dalam perjalanan dari Filipina ke Sabah. Salah seorang mangsa merupakan sepupu kepada ahli Parlimen DAP untuk Lanang, Alice Lau.

Langkah pengharaman perdagangan barter itu secara dasarnya mirip langkah yang diambil dalam Rancangan Briggs. Caranya dengan menghalang musuh mendapat kemudahan logistik.

Untuk sekian lamanya, Selatan Filipina telah bergantung kepada Sabah untuk bekalan runcit dan hasil-hasil lain. Sebagai sebuah negara berkepulauan, Manila tidak berupaya menyediakan bekalan-bekalan secukupnya untuk wilayah-wilayah terpencil. Memandangkan Laut Sulu mengandungi banyak sumber berharga yang mencecah harga tinggi di pasaran utama di Hong Kong dan Singapura, sumber-sumber ini ditukar-ganti dengan barangan keperluan yang tidak dapat disediakan Manila.

Pengharaman ini mengakibatkan golongan pedagang ini mengalami kerugian antara RM6 juta hingga RM12 juta sebulan. Jadi tidak hairan sekiranya golongan ini tidak suka akan pentadbiran terdahulu.

Di seberang laut, kesan pengharaman ini dirasai hampir serta-merta. Penduduk tempatan Mindanao berhadapan dengan kekurangan barangan keperluan. Mengetahui bahawa tiada apa-apa yang mereka boleh lakukan untuk menukar keadaan, mereka mengambil tindakan lain yang mereka jangka boleh mengatasi masalah ini; mereka menentang sendiri pergerakan kumpulan CUW untuk menghapuskan ancaman mereka. Langkah ini berjaya menghapuskan beberapa kumpulan CUW antara 2015 hingga 2017. Malahan, kes penculikan melibatkan sepupu Alice Lau merupakan penculikan terakhir sehinggalah semalam.

Tetapi memandangkan perdagangan ini bernilai RM6 hingga RM12 juta kepada golongan pedagang ini, pengharaman ini dibatalkan. Dan yang kurang berada antara kita menghadapi ancaman ini semula.

Bot Pam
Cepat dan tangkas, agensi keselamatan telah sekian lama memperkatakan ancaman daripada bot ini. Memandangkan bot ini berupaya bergerak di perairan cetek, ianya sering disalahgunakan oleh pengganas untuk mengelak daripada kepungan pasukan keselamatan.

Bot sama juga digemari nelayan tempatan kerana harganya yang murah. Dengan pengharaman bot ini dibatalkan, agensi keselamatan akan menghadapi kesukaran bukan sahaja untuk mengejar penjahat ini malahan untu membezakan mana satu lawan mana satu perlu dijaga.

Peruntukan
Mantan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak mengambil peluang ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa peruntukan 2019 untuk ESSCOM telah dikurangkan, dan ini sedikit sebanyak telah melemahkan keupayaan ESSCOM untuk beroperasi secara mampan.

Suatu yang agak menarik apabila pihak pembangkang itu sendiri membawa isu keselamatan dalam cara yang saya harapkan. Dahulu, pembangkang yang lepas cuma pandai membawa isu bagaimana perbelanjaan keselamatan dan pertahanan merupakan suatu pembaziran. Oh ya. Mereka kerajaan sekarang. Dan dengan itu, kita ke perkara seterusnya.

Potongan Peruntukan untuk Tentera Laut
Kami mendapat khabar angin bahawa Tentera Laut telah diminta untuk hanya membeli 3 daripada 6 buah kapal LCS kelas Maharajalela. Bagi LMS, hanya 2 daripada 4 akan diperoleh. Sekiranya ini adalah benar, maka, tuan-tuan dan puan-puan, kita telah kembali ke era pemerolehan seciput. Di kala anda ingat era pemerolehan seciput itu sudah tamat dengan tumbangnya pentadbiran BN (terdapat ura-ura mereka hanya berminat membeli 8 buah pesawat Rafale sahaja).

Tapi sebenarnya, ini bukanlah suatu kejutan. Saya ingat lagi ketika saya mengingatkan bahawa akan berlaku pemotongan sedemikian, sesetengah jawab-balas yang saya terima menjawab bahawa itu adalah tidak mungkin kerana kerajaan ini akan dipimpin oleh Tun Mahathir. Tapi ramai yang lupa bahawa era pemerolehan seciput telah bermula di bawah beliau.

Bersama-sama dengan kemungkinan bahawa tamatnya tempoh sewaan bagi pengkalan-pengkalan laut yang dioperasikan di Sabah (5 buah kesemuanya dengan 3 adalah bekas platform minyak dan 2 buah kapal MISC), kita mungkin akan melihat peningkatan mendadak penculikan di kawasan tersebut.

Perlu diingatkan bahawa kerajaan Filipina sekarang bertindak keras ke atas kumpulan CUW hasil hubungan dan sokongan mereka dengan Daish terutama sekali semasa pengepungan Marawi. Jadi, mungkin ada antara mereka ini akan mencari perlindungan di Sabah untuk sementara waktu.

Putrajaya
Sementara itu, kerajaan pula dilihat tidak memberi penekanan kelada ekonomi dan isu keselamatan. Sebaliknya, kerajaan hari ini sibuk berpolitik. Setidak-tidak puas hati saya terhadap kerajaan lepas terutamanya dalam hal ehwal pertahanan, saya hanya boleh menggeleng kepala melihat telatah kebudak-budakan mereka dengan penuh jelik.

No comments:

Post a Comment