Search This Blog

Thursday, August 15, 2019

Mi Kari

Salah satu makanan kegemaran saya. Rasa lemak kari apabila terkena lidah, cukup menyelerakan.



Dengan harga RM6, mi kari ini antara makanan yang paling menyelerakan di kafeteria pejabat tempat saya bekerja.

Pergi ke mana-mana lokasi makanan seluruh negara, sudah pastinya kita dapat menemui makanan yang sedap ini.

Dengan mi kuning yang dicelur sebelum dimasukkan dalam kuah kari pekat dan panas, makanan ini sudah pasti menjadi kegemaran ramai. Sehinggakan syarikat pengeluar makanan segera Maggi memilih mi kari sebagai 3 perasa asas mi segera keluaran syarikat berkenaan.

Di sebalik kisah mi kari ini, adalah kisah pertembungan 3 budaya; Melayu, India dan Cina.

Dengan mi kuning berasal daripada kebudayaan Cina, kuah kari daripada kebudayaan India, serta penggunaan santan dan ayam dalam kari yang dipopularkan oleh Melayu, terhasillah makanan yang hebat ini.

Begitu juga dengan negara kita. Hebatnya bukan kerana mana-mana satu kaum lebih hebat.

Dalam mengangkat kelebihan setiap kaum ini, kita sering terlupa akan satu lagi golongan yang tidak kurang hebatnya dalam masyarakat kita. Keturunan kacukan.

Cukuplah saya menulis mereka sebagai golongan kacukan kerana kebanyakan mereka tidak boleh dikategorikan dalam mana-mana kategori yang lebih sesuai, walaupun dasar negara meletakkan mereka mengikut kaum si ayah.

Merekalah jambatan kita, jambatan antara kaum. Bukan Melayu, bukan Cina, bukan India.

Hidup antara dua kaum atau lebih, mereka lebih mudah memahami perasaan yang dilalui oleh saudara mereka yang lain. Malahan, kewujudan mereka juga adalah hasil daripada toleransi yang wujud daripada ikatan sebuah negara bernama Malaysia.

Cubit paha kiri, paha kanan merasa sakitnya juga. Begitulah perasaan mereka ini melihat keluarga mereka berbalah sesama sendiri.

Berhentilah kita berbalah sesama sendiri semata-mata hendak mengikuti telunjuk jari pengaruh asing. Bukankah kita sendiri sudah punyai resipi yang cukup baik dan cukup berdaya selama 61 tahun ini? Apakah jaminan yang jari telunjuk itu betul-betul akan memberi kenikmatan lebih kepada kita?

Sebagaimana mi kari yang tukang masaknya kita, begitu jugalah kita mencorak hala tuju negara kita. Apatah lagi, dokumen yang mewarnai rencah hala tuju negara bukan sahaja ditulis dengan mengambil kira pandangan setempat, malahan lebih tua daripada hala tuju yang cuba dimomokkan kepada kita?

Diterbitkan asal di Facebook pada 2 Disember 2018 di pautan ini.

No comments:

Post a Comment