Search This Blog

Tuesday, December 17, 2019

Kisah yang Dipendam - Tan Sri Koo Chong Kong

Kisah ini kisah yang sudah berpuluh tahun terpendam.  Apa yang kita boleh jumpa dalam sumber bertulis fizikal dan internet cumalah sedikit sahaja.  Dan pada masa sama, agak mengelirukan sekiranya sesiapa yang cuba mengorek kisah ini tidak mengetahui apa yang telah berlaku sebelum itu, di tengah-tengah, dan di penghujung.

Kisah ini adalah mengenai seorang wira, seorang wira yang lebih menyayangi negaranya berbanding nyawanya sendiri.  Yang memahami maksud pengorbanan.  Yang memahami bahawa di bahunya, tanggungjawab seorang rakyat kepada Raja, Negara, dan masyarakat.  Yang memahami bahawa kekhilafan perjuangan dahulu perlu diperbetulkan walaupun nyawa sebagai ganti. 


Ini adalah kisah mengenai Tan Sri Koo Chong Kong, yang lebih mesra dipanggil Jimmy Koo.

Sumber daripada akhbar

Sebelum Perang Dunia Kedua
Sehingga kini, saya masih belum dapat menjumpai maklumat mengenai Tan Sri Koo sebelum perang.  Apakah kerja beliau ketika itu, apakah pegangan politik beliau ketika itu? 

Cuma yang diketahui adalah beliau dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan.

Semasa Perang Dunia Kedua
Ketika Perang Dunia Kedua, beliau antara ribuan pemuda seluruh Tanah Melayu yang telah melibatkan diri dalam gerakan bawah tanah menentang Jepun.  Ketika itu, hanya Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) yang bergerak di Negeri Sembilan.  Dilema yang sama dilalui ratusan pemuda Cina di Tanah Melayu yang terpaksa menyertai MPAJA yang dikawal oleh Parti Komunis Malaya semata-mata untuk menentang Jepun.

Menurut sumber lisan, beliau direkrut oleh MPAJA kerana kefasihannya berbahasa Inggeris dan bertugas sebagai penterjemah.  Pada asalnya, MPAJA ingin merekrut abang beliau yang merupakan seorang pelukis dengan tujuan menggunakannya sebagai perisik.  MPAJA mendapat tahu bahawa pegawai Tentera Jepun sering menggunakan khidmat abang beliau untuk melukis potret mereka.

Keterlibatan beliau dalam MPAJA tidak dijelaskan sepenuhnya.  Tetapi, penglibatan inilah yang akhirnya membawa kepada beliau direkrut oleh Sarawak Constabulary untuk menyertai Polis Sarawak di kemudian hari.

Tamat Perang Dunia Kedua
Jepun sudah menyerah.  Usaha selama beberapa tahun menentang Jepun sudah berjaya. Koo Chong Kong yang lebih dikenali sebagai Jimmy sudah bersedia kembali ke kampungnya.  Khidmatnya dalam MPAJA sudah selesai. 

Berdasarkan sejarah, sudah tentu beliau mendapat tahu akan kekejaman yang dilakukan oleh MPAJA, khususnya anggota MPAJA yang berpegang kepada fahaman komunisme.  

Bermulanya Darurat
Malaya kembali bergolak. Parti Komunis Malaya telah diharamkan dan mereka mengangkat senjata. 

Beliau terpaksa berhijrah ke Sarawak untuk mengelakkan dipaksa menyertai gerila PKM.  

Setelah berhijrah ke Sarawak, Koo memilih menjadi seorang guru.  Walaupun beliau telah berhijrah ke Sarawak, beliau masih lagi mendapat maklumat dari kampung halamannya di Tanah Melayu.  Mereka memberitahu beliau bahawa PKM masih lagi memburunya.

Ancaman Komunis di Sarawak
Ancaman komunis di Sarawak meningkat selepas tahun 1958.  Kewujudan beberapa unit komunis di situ yang ditubuhkan oleh pelarian-pelarian yang merupakan anggota Parti Komunis China mula meningkat.  Darurat diumumkan di Sarawak, khususnya di Bahagian Pertama. 

Sarawak Constabulary mendapat tahu bahawa Koo merupakan bekas MPAJA dan bertindak menghubunginya.  

Koo sedar bahawa tidak berguna untuk terus mengelak dari ancaman komunisme.  Tidak kisah ke mana sahaja beliau pergi, beliau tetap berhadapan dengan ancaman komunis.  Malahan, mantan Setiausaha Agung PKM semasa Perang Dunia Kedua, Lai Teck yang telah melarikan diri daripada PKM telah berjaya dikesan oleh PKM dengan bantuan Parti Komunis Thailand di Bangkok sebelum dibunuh dan mayatnya dihumban ke dalam Sungai Chao Phraya.  Tiada jaminan bahawa PKM tidak akan menghubungi PARAKU untuk melakukan perkara sama terhadap diri beliau.  Daripada bergelar anjing busuk atau "chow kow" yang diburu oleh komunis, adalah lebih baik dia menyertai Sarawak Constabulary untuk menghalang komunis mengembangkan sayap mereka dengan lebih lebar di Sarawak.  Dengan itu, beliau bersetuju menyertai Sarawak Constabulary.

Lai Teck @ Agent Wright.  Bekas Setiausaha Agung PKM yang berasal dari Vietnam.  Dipercayai dibunuh dan dihumban ke dalam Sungai Chao Phraya.


Penubuhan Malaysia
Penubuhan Malaysia menyaksikan Sarawak Constabulary bergabung masuk PDRM.  Walaupun Sarawak Constabulary diserap masuk ke dalam PDRM, operasi-operasi PDRM di Sarawak masih lagi bersifat hampir autonomi daripada Kuala Lumpur.

Kenaikan Pangkat kepada Ketua Polis Negeri
Atas sebab keupayaannya dalam tugas dan dedikasi, Koo dinaikkan pangkat menjadi Ketua Polis Sarawak.

Ancaman Skuad Pembunuh
Tidak lama selepas itu, Cawangan Khas mendapat maklumat bahawa terdapat kewujudan beberapa unit skuad pembunuh PKM telah berlegar-legar di seluruh Semenanjung Malaysia, menyasar sasaran penting seperti Ketua Polis Negara, Ketua Turus Angkatan Tentera, pegawai-pegawai dan anggota-anggota Cawangan Khas, khususnya mereka yang merupakan bekas anggota MPAJA.  Antara mereka yang diancam adalah Datuk (kemudian Tan Sri) Yuen Yuet Leng yang merupakan Ketua Polis Perak.  Ketika itu, sudah dua orang pegawai polis berketurunan Cina dan tiga orang detektif berketurunan Cina telah menjadi korban skuad pembunuh ini.  Mereka adalah:

1.  Deputy Superintendent Wong Lim Hoon di Selangor pada 18 Julai 1973.
2.  Chief Inspector Chin Chin Kooi di Serdang pada 12 Julai 1973.
3.  Detektif Sarjan Choy Kek On di Sungai Siput, Perak pada 22 Oktober 1973.
4.  Detektif Lee Seo Kow di Mukim Malim Mawar, Perak pada 3 Januari 1974.
5.  Detektif One Soon Chuan di Chemor, Perak pada 24 April 1974.

Kemuncak ancaman skuad pembunuh ini adalah dengan terbunuhnya KPN Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 6 Jun 1974.
Tan Sri Abdul Rahman Hashim
Kapt (B) Abdul Rahmat, Cawangan Khas ketika itu telah mengenalpasti bahawa kebanyakan anggota skuad pembunuh itu adalah berasal daripada 3rd District, 12th Regiment Malayan Liberation National Army (MNLA) yang berpusat di Selatan Thailand.  Gerembolan pengganas tersebut pula diketuai oleh seorang pengganas bernama Kar Lin.  Kar Lin dan Koo pernah beroperasi bersama-sama semasa beliau bersama-sama dengan MPAJA.  Memandangkan beliau amat mengenali Kar Lin serta mengetahui cara-cara Kar Lin beroperasi, Tun Hanif Omar (ketika itu masih lagi Encik) telah mencadangkan agar Koo dipindahkan ke Perak sebagai Ketua Polis Perak.  

Tun Hanif Omar

Apabila Koo mendengar cadangan Tun Hanif yang ketika itu Ketua Polis Negara, beliau dengan serta-merta menerima cadangan Tun Hanif dengan syarat bahawa Tun Hanif Omar berjumpa dengan isteri beliau terlebih dahulu untuk memaklumkan isteri beliau akan keputusan tersebut.  

Perbualan berikut telah berlaku antara isteri Koo dan Tun Hanif Omar.

Isteri Koo : Encik Hanif, tolonglah jangan pindahkan Jimmy balik ke Perak. Dia akan mati. Mereka sudah lama memburu dia pasti akan bunuh dia.

Tun Hanif pun bertanya kepada Koo.  Jawapan Koo?

"Saya akan pindah ke Perak. Saya sudah janji.  Itu tanggungjawab saya."

Maka perpindahan itu diluluskan.  Datuk Koo Chong Kong berpindah ke Perak pada Februari 1975.

Pembunuhan
Pada 14 Nov 1975, ketika kereta yang dipandu oleh Kons Yeong Peng Cheong tiba di persimpangan jalan di Fair Park Ashby di Ipoh, 2 orang lelaki berpakaian serba putih seperti pakaian seragam sekolah tiba-tiba mengeluarkan senjata dan menembak ke arah Datuk Koo.  Datuk Koo terkena 45 das tembakan, satu di tangan kirinya dan 4 di bahagian muka dan leher.  Melihatkan pegawai atasannya ditembak, Kons Yeong bertindak membalas tembakan, tetapi pengganas tersebut ternyata menembak dengan lebih tepat, dengan Kons Yeong terkena dua das tembakan di dadanya.  Beliau meninggal dunia serta-merta.  Menurut rekod, beliau meninggalkan seorang balu dan tiga anak.  Kedua-dua lelaki itu kemudiannya melarikan diri dari lokasi tersebut di atas motosikal. 






Datuk Koo cedera parah dan segera dihantar ke Hospital Besar Ipoh dan menjalani pembedahan selama 3 jam.  Namun begitu, kecederaan beliau terlalu parah.  Tetapi beliau masih sempat memohon berjumpa dengan Tun Hanif dan Tan Sri (ketika itu Datuk) Yuen untuk memberi taklimat pertukaran tugas. 

Tan Sri Yuen Yuet Leng

Saat-saat terakhir hidupnya dihabiskan bersama isterinya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya lebih kurang 28 jam selepas ditembak. Beliau berusia 50 tahun. 



Di kala isteri mendiang terlihat KPN Tun Hanif, isteri mendiang menerpa ke arah Tun Hanif dan menjerit "I told you Jimmy will die if he comes to Perak. Why?"  Encik Hanif yang juga kesedihan ketika itu cuma dapat memberi ruang kepada isteri mendiang untuk menangis.

Pengebumian Tan Sri dilakukan di kampung halamannya di Seremban, Negeri Sembilan dan dihadiri Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak serta ramai lagi pembesar negara. 

Sebagai tanda penghormatan, mendiang dianugerahkan dengan gelaran Tan Sri.

Skuad Pembunuh
Tan Sri Koo cumalah salah seorang daripada ratusan pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang dibunuh oleh PKM, serpihan PKM dan PARAKU.  

Tetapi pada masa sama, beliau bersama-sama 30 orang pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang menjadi sasaran skuad pembunuh khas yang telah memerhatikan pergerakan mereka untuk dibunuh.  Hampir kesemua mereka ini dibunuh atas sebab usaha mereka banyak mengganggu keupayaan pergerakan PKM. 

Selain nama-nama yang tercatat di bahagian atas, pegawai-pegawai dan anggota-anggota Cawangan Khas berikut turut menjadi korban di tangan skuad pembunuh PKM.  Mereka menjadi sasaran kerana kejayaan-kejayaan mereka mengorek maklumat sehinggakan mengganggu operasi PKM.

1.  Detektif Sarjan Lee Yoo Chin di Melaka pada 20 April 1974.
2.  Detektif Foo Kek Wee di Paloh pada 17 April 1975.
3.  Detektif Leong Ming Kwong di Langkap pada 17 Mei 1975. 
4.  Detektif Sarjan Tong Weng Poh di Selangor pada 18 Mei 1975.
5.  Deputy Superintendent Low Kam Fook di Batu Gajah pada 12 Jun 1975..
6.  Detektif Ong Ten Chin di Ipoh pada 20 Jun 1975.
7.  Detektif Lim Hee Way di Seremban pada 27 Julai 1975.
8.  Detektif Korporal Lok Kim Fong di Melaka pada 20 November 1975.

Ini tidak bermakna usaha-usaha mereka sahaja yang penting dalam usaha memusnahkan ancaman komunis.  Ramai lagi pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang turut terpaksa membayar harga tertinggi demi memastikan bahawa ancaman komunis dapat dihalang.

Bagi Tan Sri Koo, perpindahan Tan Sri Koo ke Perak cuma sekadar menukar lokasi dan ancaman yang beliau hadapi.  Sekiranya beliau kekal di Sarawak, beliau juga akan menjadi sasaran kepada skuad pembunuh PARAKU.  Malahan, Tan Sri Yuen sendiri menjadi sasaran bom oleh PARAKU.  Sebutir bom dijumpai ditanam dalam longkang di hadapan rumah Tan Sri Yuen dengan bom itu sepatutnya meletup apabila kereta Tan Sri melalui di atas bom tersebut.

Legasi
Hari ini, beberapa jalan di seluruh negara dinamakan sempena beliau.  Salah satu jalan yang dinamakan sempena beliau terletak di Ipoh dan satu lagi di Kajang.

Lebih menyedihkan, adalah pada hari ini terdapat percubaan penyokong fahaman komunis baik daripada PKM mahupun PARAKU yang inginkan kedua-kedua parti ini diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. 

Sumber:
1. Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, Redzuan Haji Asli.
2. Nation Before Self, Tan Sri Yuen Yuet Leng
3. Keratan akhbar.
4. Temu Ramah.

2 comments:

  1. 3. Abdullah also justified the price as compared to the 50 Super Cougars procured by Brazil – at RM141 million per Cougar helicopter (at RM1.67 billion) for Malaysia as compared to RM84 million per Super Cougar helicopter by Brazil, claiming that the 12 Eurocopter units ordered by Malaysia are more expensive as they had different specifications.
    He said: “Our requirements are more advanced. That obviously would come with a higher price,” adding that the Malaysian Eurocopters would be capable of search and rescue missions, combat operations and other duties.
    PAC should investigate and report on this matter.


    The Altantuya Murder Retrial?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apologies. Missed out this.

      That depends if it is really over-priced due to corruption or over-priced due to requirements, or over-priced due to our bad habits.

      The helis that Brazilian Armed Forces are utility type helicopters to be used over all 3 branches of their military. Ours are specialised Combat SAR types. Hint. This is the question you should be asking. Why buy CSAR when the requirement is utility helicopters? So by buying specialised helis, the price went up substantially.

      Next, we bought only 12 units versus 50 units. Economic of scales is out of the windows. This is how our bad habit contributed to this price being jacked up.

      Next, Brazilian helis were locally produced at Helibras which is Airbus' subsidiary. Ours were built in France.

      Not so much for PAC to investigate. But if they really want, it would be better to have the investigation to encompass the whole military as this would reveal the bad habit of not getting enough assets to the military as a whole.

      Delete