Search This Blog

Saturday, January 18, 2020

FPDA - Relevan? Atau Perencat Pembangunan Pertahanan Negara?

Apabila membicarakan keupayaan pertahanan negara, kita tidak akan terlepas daripada membicarakan mengenai perjanjian pertahanan negara dengan negara-negara lain. Sudah tentu yang paling mungkin dibicarakan adalah mengenai Peraturan Pertahanan Lima Kuasa, atau lebih dikenali dengan singkatan Bahasa Inggerisnya, FPDA (Five Power Defence Arrangements). 

Apa itu FPDA? Dan apakah kepentingannya dalam membincangkan keupayaan pertahanan negara? Dan sepertimana disebutkan di tajuk rencana ini, apakah kewujudan FPDA ini punca keupayaan pertahanan negara kita terencat?

Apa itu FPDA?
Pertama sekali, apa itu FPDA dan kenapa FPDA wujud diwujudkan. FPDA diwujudkan pada tahun 1971 atas 2 sebab. Sebab pertama adalah FPDA adalah sebagai ganti kepada Anglo - Malayan Defence Agreement yang telah hilang keberkesanannya akibat pembubaran British Far East Force. British Far East Force terpaksa dibubarkan akibat pertelingkahan dengan Mesir atas kebenaran laluan untuk kapal-kapal Tentera Laut British melalui Terusan Size. Pertelingkahan itu berakhir dengan Perang Terusan Suez dengan British, Perancis dan Israel di satu pihak menentang Mesir yang disokong oleh Russia. Perang tersebut hanya tamat apabila Russia mengugut untuk melancarkan serangan nuklear ke atas London. Konflik tersebut tamat dengan kehadiran tentera pengaman PBB. Tetapi, keupayaan British untuk menghantar askarnya ke Timur Jauh, yakni wilayah yang meliputi Malaysia dan Singapura. 

Ini menjadikan Anglo- Malayan Defence Pact yang ditandatangani semenjak merdeka hilang kerelevanannya. Bagi mengatasi kelompongan ini, British telah menarik masuk kedua-dua Australia dan New Zealand yang lebih dekat dengan Malaysia dan Singapura ke dalam peraturan atau lebih tepat susun atur ini. 

Sebab kedua adalah ancaman geopolitik antarabangsa ke atas Malaysia dan Singapura. Ketika itu, angkatan tentera kedua-dua negara Malaysia dan Singapura masih baru lagi dan belum memiliki angkatan tentera yang berupaya berhadapan dengan angkatan tentera musuh yang bersifat konvensional. Sedangkan ancaman masih wujud dari Indonesia dan dari ancaman komunis di sebelah Vietnam. Walaupun Indonesia sudah berdamai, British masih lagi sangsi kerana mereka percaya masih wujud lagi elemen yang menginginkan Malaysia dan Singapura dimasukkan ke dalam wilayah Indonesia, khususnya mereka yang mempercayai bahawa penubuhan Malaysia cumalah langkah neo-kolonialisme British.

Pada masa sama, di sebelah utara pula, Perang Vietnam sedang rancak berlaku. China berada di bawah penguasaan komunis. Begitu juga Korea Utara. Kemboja dan Laos pun turut berhadapan dengan ancaman komunis. Kesan Domino dilihat suatu realiti yang pasti akan berlaku. Jika Malaysia dan Singapura tumbang, maka British bukan sahaja akan kehilangan wilayah yang mempunyai pengaruh British, malahan juga berhadapan kehilangan sekutu mereka iaitu Australia dan New Zealand. Perlu diingatkan bahawa mereka bukan sekadar sekutu biasa British, tetapi juga turut mengangkat Ratu British sebagai Ratu mereka. 

Bagi Australia dan New Zealand, mereka turut serta menyertai peraturan ini kerana menganggap Malaysia dan Singapura sebagai wilayah penampan kepada ancaman komunis. Pengalaman pahit diserang Jepun dan Jerman semasa Perang Dunia Kedua selepas tumbangnya Asia Tenggara masih cukup segar dalam ingatan mereka. Dan mereka tidak mahu berhadapan dengan kemungkinan ancaman komunis di sempadan mereka. 

Sekarang, kita sudah bincangkan mengenai sejarah kewujudan FPDA. Sekarang kita lihat dari segi manifestasi kepentingan FPDA di Malaysia dan Singapura. 

Selain daripada latihan tahunan melibatkan kelima-lima negara, FPDA juga telah membawa kepada penubuhan 2 pengkalan hadapan di rantau ini, dengan satu Integrated Air Defence System berpusat di Butterworth dan satu Markas Bersama Tentera Laut di Sembawang, Singapura. Kedudukan kedua-dua pengkalan ini melambangkan doktrin pertahanan di bawah FPDA. Sumber tenaga manusia di pengkalan FPDA pula disumbangkan setiap negara. 

Dari segi pengoperasian, kehadiran FPDA telah banyak membantu dari segi melaksanakan operasi SAR dan HADR. FPDA belum lagi terlibat dalam sebarang operasi ketenteraan hakiki di Malaysia dan Singapura walaupun pernah ditawarkan sekurang-kurangnya 2 kali. Kali pertama bantuan ditawarkan adalah semasa Insurgensi Kedua yang telah merisaukan Australia sehingga menawarkan bantuan Australian Regiment di Butterworth untuk operasi darat. Kali kedua tawaran bantuan ketenteraan dibuat semasa pencerobohan Lahad Datu dan Semporna tempoh hari di mana Britain telah menawarkan bantuan kepada Malaysia untuk menangani ancaman tersebut. 

Namun, itu bukan tujuan rencana kali ini. Rencana kali ini ingin mencabar pandangan bahawa FPDA itu relevan kepada Malaysia dan FPDA itu memberi sinergi kepada pertahanan negara.

Secara terus terang, FPDA masih relevan kepada Malaysia dan amat berguna kepada Malaysia. Malangnya, kewujudan FPDA ini telah memberi false sense of security kepada Malaysia. Ditambah dengan senario negara yang aman secara amnya, telah menyebabkan pentadbiran kerajaan Malaysia menganggap bahawa perbelanjaan pertahanan tidak perlu diberi perhatian khusus. 

Hanya 3 Perdana Menteri terawal negara yang memberikan tumpuan sewajarnya kepada pembangunan pertahanan yang seimbang. Ini jelas kelihatan dari segi aset yang diperoleh dan digunakan untuk jangka panjang adalah kebanyakannya dari era ketiga-tiga Perdana Menteri ini. Mungkin sebab kerana ketiga-tiga mereka telah hidup melalui era penjajahan Jepun sama ada sebagai pegawai kerajaan mahupun sebagai gerila yang mengangkat senjata menentang Jepun.  

Walaupun Perdana Menteri seterusnya masih memberi perhatian kepada perbelanjaan pertahanan, tetapi tiada perancangan seimbang dari segi pemerolehan, bilangan aset yang dibeli, logistik dan penggantian. Dengan hampir setiap pemerolehan terlalu bertumpukan perhatian kepada pemindahan teknologi, ini menyebabkan kos perbelanjaan pertahanan negara meningkat tetapi pulangan yang tidak setimpal kerana syarikat-syarikat yang menerima tempias pemindahan teknologi ini sekadar bergantung kepada kontrak kerajaan. 

Akibatnya, hubungan antara Malaysia dan FPDA boleh disifatkan seolah-olah menjadi lebih kepada sifat parasit di mana Malaysia adalah parasit kepada perumah FPDA (walaupun sebenarnya Malaysia adalah perumah kepada FPDA, tetapi sumbangan kita seolah-olah sebagai tuan rumah sahaja). Maaf, sekiranya bahasa ini terlalu kasar. 

Sikap kebergantungan kepada FPDA ini bukan sesuatu perkara yang baru. Sekiranya kita membaca memoir Lt Jen Percival, panglima Tentera Darat Britain yang menjadi pegawai tertinggi British di Malaya semasa Perang Dunia Kedua, kita akan mendapati bahawa terdapat sikap acuh tak acuh terhadap perbelanjaan pertahanan di era tersebut. Malahan, apabila Darurat berlaku, sikap acuh tak acuh itu wujud lagi dengan sikap sesetengah pihak enggan meluluskan pembelian aset yang sesuai untuk menghadapi ancaman komunis. Sebagai contoh, permohonan untuk pembelian kenderaan berperisai untuk polis pada asalnya tidak diluluskan dengan alasan boleh menggunakan lori terbuka. Ini mengakibatkan ramai kematian dalam serangan hendap yang dilancarkan musuh.

Sikap kebergantungan terhadap FPDA ini akan memakan diri dalam 3 keadaan.

Yang pertama, apabila pertelingkahan diplomatik antara ahli FPDA menjadi konflik terbuka. Dan pertelingkahan ini hampir menjadi realiti pada tahun 1997 - 1998 apabila isu pembekalan air telah merenggangkan hubungan antara Malaysia dengan Singapura. 

Keadaan ini juga boleh memakan diri sekiranya Malaysia berhadapan dengan masalah diplomatik dengan negara lain yang sudah mempunyai perjanjian pertahanan bersama dengan ahli-ahli FPDA lain. Tak logik? Saya pun tak berharap benda ni berlaku. 

Senario ketiga yang boleh jadi berlaku adalah negara-negara anggota FPDA sendiri berhadapan dengan masalah yang menghalang mereka memberi bantuan kepada Malaysia dan Singapura. Contoh terbaik adalah kegagalan Britain dan Perancis dalam memberi bantuan kepada Poland di awal Perang Dunia Kedua. Walaupun terdapat Perjanjian Pertahanan Bersama Anglo - Poland 1939, Britain gagal menghantar askarnya untuk membantu Poland menghalang kemaraan Jerman yang ketika itu turut dibantu oleh Russia.  Apabila Jerman ditewaskan, sekali lagi Poland dikhianati apabila Britain gagal membantu kerajaan buangan Poland untuk mendapatkan kembali Poland daripada Russia. Dan Britain juga adalah salah satu daripada negara anggota FPDA. 

Katakanlah Britain sudah taubat dan cuba membantu. Tetapi adakah Britain hari ini Britain yang kita kenal suatu ketika dahulu serta berupaya mempunyai power protection sendiri? Kali terakhir Britain melakukan power protection secara sendiri adalah pada tahun 1982 semasa Perang Falkland. Rata-rata peperangan selepas itu adalah sama ada sebagai sekutu kepada Amerika Syarikat atau bersama PBB.

Baru-baru ini, Britain telah mendapat kapal induk HMS Elizabeth. Itupun sudah ada khabar berita bahawa Britain tidak akan berupaya mengoperasikan kapal ini. 

Dari segi tentera pula, Angkatan Tentera Britain hari ini berhadapan krisis sumber manusia yang teruk. Sesetengah unit infantri Tentera Darat Britain hanya mempunyai kekuatan kurang daripada 40% kekuatan sepatutnya. Malahan, sumber berita Express Daily memetik sumber tertentu yang mendakwa bahawa salah satu rejimen infantri utama boleh diumumkan sebagai tidak lagi berupaya beroperasi secara efektif tanpa perlu ditembak musuh. 

Bagaimana pula dengan Australia? Walaupun Australia telah terlibat dalam beberapa peperangan sebagai sekutu kepada Amerika Syarikat, mereka masih lagi dalam keadaan yang agak sihat. Satu-satu kontroversi bagi Australia adalah perolehan kapal selam kelas Collins yang bermasalah. 

Bagaimana pula dengan New Zealand? Dari segi kekuatan infantri dan tentera laut, masih utuh. Tetapi Tentera Udara New Zealand sudah tidak mempunyai air combat wing. 

Dengan keadaan sebegini, tidak hairan sekiranya kita akan gagal mendapatkan sekutu secukupnya sekiranya berlaku krisis. Jangan lupa, A pada FPDA bukan bermaksud agreement, atau perjanjian tetapi Arrangement, atau peraturan. Sama seperti manifesto bukan janji.

Dan berbalik kepada isu sama ada FPDA adalah relevan atau tidak. FPDA adalah relevan. Tetapi sikap kerajaan Malaysia, baik kerajaan terdahulu mahupun hari ini bersikap tidak realistik dengan kewujudan FPDA sehinggakan kita ini umpama parasit yang terlalu bergantung kepada peraturan ini.

No comments:

Post a Comment