Search This Blog

Monday, January 13, 2020

Gaji Bulan ke-13

Baru-baru ini, seorang jurutera telah menulis mengenai gaji bulan ke-13, sambil meletakkan tanda pagar #13monthbonus dan #bonus. Mungkin ada yang merasakan apa yang dibawa oleh jurutera itu sekadar mainan matematik sahaja. Tetapi hakikatnya, apa yang beliau tulis adalah betul. Untuk memahami kenapa apa yang beliau tulis adalah betul, kita perlu menelusuri sejarah negara kita.

Apabila kegiatan ekonomi seperti aktiviti pelabuhan berkembang pesat di negara kita, golongan majikan mendapati bahawa mereka memerlukan golongan pekerja yang boleh dikerah. Bagi mengatasi masalah ketiadaan tenaga pekerja, upah hanya dibayar setiap 2 minggu. Oleh sebab upah dibayar setiap 2 minggu, maka dalam setahun, seorang pekerja akan dibayar sebanyak 26 kali kerana dalam setahun, terdapat 52 minggu. 

Semua ini berubah dengan pengenalan Akta Pekerjaan 1955. Dua seksyen dalam akta tersebut telah menjadikan pembayaran upah setiap 2 minggu menjadi suatu beban tambahan kepada para majikan.

Seksyen 19 mewajibkan pembayaran gaji dan upah dibuat 7 hari selepas tamat tempoh upah. Manakala Seksyen 25 pula mewajibkan pembayaran gaji melalui bank. Pekerja boleh memohon pelepasan untuk menerima bayaran dalam bentuk wang atau cek, tetapi ini akan membuka ruang untuk salah guna sama ada oleh majikan atau pekerja itu sendiri. Sebagai contoh, gaji sudah dibayar tetapi pekerja menafikan telah menerima bayaran. Atau, majikan tidak membayar gaji, tetapi mengaku sudah membuat bayaran.

Pembayaran gaji dan upah melalui bank pula menjadi satu kos tambahan kepada majikan sama ada dalam bentuk caj bank atau duti setem hasil (semua bil perdagangan termasuk cek dikenakan duti setem hasil). 

Memandangkan majikan diberi kuasa untuk menentukan tempoh upah, maka ramai majikan memilih untuk membuat bayaran gaji dalam tempoh bulanan. 

Secara amnya, 1 bulan ditakrifkan sebagai 4 minggu. Jadi, dalam pengiraan matematik mudah akan menganggap bahawa dengan menggabungkan gaji dan upah 2 kali pembayaran akan bersamaan dengan 1 bulan. 

Tetapi dalam sebulan, terdapat antara 28 hari sehingga 31 hari. Hanya bulan Februari sahaja yang betul-betul menepati 4 minggu. 

Hanya selepas itu, barulah muncul isu bulan ke-13. Berhadapan dengan dilema ini, sesetengah majikan mula membayar gaji bulan ke-13, biasanya pada hujung tahun perniagaan.

Bagi perniagaan yang tidak membayar gaji bulan ke-13 pula, tidak bermakna mereka telah 'menipu' golongan pekerja. Terdapat juga majikan yang bertindak mengira jumlah pendapatan keseluruhan dalam tempoh 13 bulan dan membuat bayaran berdasarkan 12 bulan. Yakni, bonus 1 bulan itu telah diserap ke dalam gaji bulanan pekerja tersebut. 

Apakah cara yang paling adil? Secara jujur, tiada cara yang terbaik mengira. Disebabkan ramai orang yang tidak mengetahui mengenai 13-bulan ini, ramai pekerja sebenarnya mendapati mereka tidak mendapat gaji setimpalnya apabila bertukar kerja dari syarikat yang mempunyai bonus kontrak ke syarikat yang tidak membayar bonus kontrak. Ini adalah kerana kebanyakan unit sumber manusia majikan hanya meminta slip gaji 3 bulan untuk menentukan gaji baru untuk ditawarkan kepada bakal pekerja baru. Walaupun majikan baru boleh memohon alternatif untuk mendapatkan Borang EA (bagi pekerja swasta) atau Borang EC (bagi pekerja kerajaan) untuk tujuan yang sama, tetapi secara keseluruhannya bukan lagi satu kelaziman di Malaysia.

Adakah isu ini boleh diatasi? Boleh kot kalau Kerajaan jadikan sebagai undang-undang. Tetapi implikasinya perlu dikaji terlebih dahulu sebelum apa-apa langkah diambil.

Sunday, January 12, 2020

Kontroversi Sukatan Pelajaran Sejarah - Antara Haluan Kiri dan Kanan

Apabila beberapa pihak yang dikatakan rapat dengan kumpulan-kumpulan berhaluan kiri merapati kerajaan untuk meminta kerajaan meneliti semula sukatan pelajaran mata pelajaran sejarah negara, perkembangan ini telah menyebabkan kumpulan-kumpulan berhaluan kanan risau bahawa terdapat percubaan untuk mengubah sejarah negara. Apatah lagi dengan kerajaan hari ini terdiri daripada individu-individu yang lebih rapat dengan puak haluan kiri, sudah tentu seruan tersebut meningkatkan kerisauan puak haluan kanan bahawa naratif sejarah negara akan ditukarkan untuk memperlihatkan seolah-olah perjuangan ke arah kemerdekaan negara hanya berjaya kalau ada sumbangan daripada puak haluan kiri dan penglibatan puak haluan kiri dalam pergerakan pengganas pula akan dilenyapkan. 

Thursday, January 2, 2020

Panglima Angkatan Tentera ke-21 - Jeneral Tan Sri Haji Affendi Buang

Perlantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang sebagai Panglima Angkatan Tentera bermula 2 Januari 2020 melakarkan pencapaian terbaru kepada anak jati Kampung Lintang, Petra Jaya. 

Sebelum ini, beliau merupakan Panglima Tentera Udara ke-18 bermula dari 21 Disember 2016, setelah menerima perkenan daripada YDP Agong Sultan Muhammad V. Dengan Baginda Sultan Muhammad V sukarela meletak jawatan pada awal tahun 2019, perlantikan Tan Sri ke pangkat Panglima Angkatan Tentera menjadi unik apabila diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin al-Mustafa Billah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan ipar kepada Tan Sri Affendi Buang. Isteri Tan Sri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang Hajah Tengku Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah adalah kekanda kepada Yang DiPertuan Agong.

Seorang bekas penuntut Maktab Tentera DiRaja, beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia sebagai pegawai kadet TUDM sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Tentera Udara pada tahun 1982.

Beliau kemudiannya ditugaskan sebagai juruterbang tempur bermula dengan latihan menggunakan pesawat MB339A buatan Itali.  

Selepas berjaya menamatkan latihan sebagai juruterbang tempur, beliau ditugaskan sebagai juruterbang pesawat A4PTM SkyHawk buatan Amerika Syarikat dalam Skuadron 9 dalam bulan Oktober 1984.

Berdasarkan kemahirannya, beliau dilantik menjadi jurulatih pesawat bermula Julai 1988. 

Apabila TUDM memperoleh pesawat MiG29N Fulcrum buatan Russia, beliau merupakan antara pegawai TUDM yang dilantik mengendalikan projek tersebut. Kemahirannya terserlah sekali lagi apabila beliau dilantik sebagai pegawai teknikal. Kemahiran teknikal pesawat ini diterjemahkan dengan lebih jelas apabila beliau mengetuai penubuhan pasukan akrobatik TUDM Smokey Bandit. 

Pengalaman operasi beliau turut merangkumi operasi pertempuran di mana beliau telah melaksanakan operasi bantuan udara rapat dengan melancarkan serangan udara ke atas kedudukan pengganas komunis.

Pengalaman beliau dalam pentadbiran juga digilap oleh ATM apabila beliau dilantik ke pelbagai penjawatan peringkat strategik. Antara penjawatan yang bersifat strategik sebelum beliau dilantik ke jawatan PTU adalah sebagai Pengarah Perancangan Operasi dan Kontingensi Markas Angkatan Bersama. Kemahiran beliau terserlah apabila beliau dilantik sebagai Panglima Markas Angkatan Bersama, sekaligus menyerlah keupayaan beliau mengatur dan mengurus sebuah angkatan tentera bersifat konvensional yang pada masa sama mempunyai penugasan operasi bukan konvensional. 

Pengalaman ini memberi peluang kepada beliau mendalami ilmu untuk melaksanakan operasi bersama antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan, suatu pengalaman yang amat berharga dan penting buat beliau untuk penugasan baru beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera kelak.

Pengalaman beliau dalam Angkatan Tentera juga tidak terlepas daripada tragedi. Dalam satu operasi penerbangan dari Kuantan ke Labuan pada tahun 1988, rakan beliau, Lt Wahi Anuar yang menerbangkan sebuah pesawat A4PTM telah hilang dalam perjalanan. Pesawat itu tidak dijumpai sehingga ke hari ini.

Beliau sendiri juga hampir berhadapan dengan tragedi apabila pesawat MiG29N yang dibawa beliau terhempas pada tahun 2004. 

Perlantikan beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera bermula pada 2 Januari 2020 menjadikan beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera yang ke-21 dan yang kedua daripada TUDM. 

Beliau juga antara 3 anak Sarawak yang pernah dianugerahkan dengan pangkat Lt Jeneral. Sebelum ini, Lt Jen (B) Dato Awie Suboh (Tentera Darat) dan Lt Jen (B) Datuk Stephen Mundaw (Tentera Darat) antara anak jati Sarawak yang pernah dianugerahkan pangkat 4-bintang tersebut.

Tuesday, December 17, 2019

Kisah yang Dipendam - Tan Sri Koo Chong Kong

Kisah ini kisah yang sudah berpuluh tahun terpendam.  Apa yang kita boleh jumpa dalam sumber bertulis fizikal dan internet cumalah sedikit sahaja.  Dan pada masa sama, agak mengelirukan sekiranya sesiapa yang cuba mengorek kisah ini tidak mengetahui apa yang telah berlaku sebelum itu, di tengah-tengah, dan di penghujung.

Kisah ini adalah mengenai seorang wira, seorang wira yang lebih menyayangi negaranya berbanding nyawanya sendiri.  Yang memahami maksud pengorbanan.  Yang memahami bahawa di bahunya, tanggungjawab seorang rakyat kepada Raja, Negara, dan masyarakat.  Yang memahami bahawa kekhilafan perjuangan dahulu perlu diperbetulkan walaupun nyawa sebagai ganti. 

Friday, December 13, 2019

Tugu Peringatan Perang Air Itam - Sejarah


Sekiranya anda dalam perjalanan ke Bukit Bendera, Pulau Pinang, anda akan melintasi struktur ini yang terletak di Bulatan Air Itam.  Sebuah tugu berbentuk lori Dodge digambarkan ditolak oleh beberapa orang lelaki yang mempunyai raut wajah Cina.  Dengan hanya tulisan Cina di tugu utama ini, kehadiran tugu ini membangkitkan kontroversi kerana disalah anggap sebagai suatu tugu yang telah dibina untuk mengagungkan pengganas komunis. 

Pandangan pertama kebanyakan pengunjung.

Sejarah negara kita bukanlah sehitam dan seputih yang diinginkan kebanyakan rakyat Malaysia.  Mungkin sebab kerana bagaimana sejarah diajar di sekolah-sekolah dan bagaimana Kementerian Pelajaran menstrukturkan matapelajaran sejarah kita, maka banyak perkara yang telah diabaikan ataupun lebih tepat, kurang diberi perhatian.  Ini diburukkan lagi dengan tugu itu hampir sepenuhnya ditulis dalam Bahasa Cina.

Wednesday, December 4, 2019

M&M

Sudah tentu ramai yang mengenali coklat M&M yang membawa slogan "the milk chocolate that melts in your mouth, not in your hands," yang membawa maksud, "coklat tenusu yang cair dalam mulut anda, dan bukannya di tangan anda". Coklat yang berwarna-warni dan amat diminati kanak-kanak ini sudah tentu mudah sekali dijumpai di rak-rak makanan ringan di kedai runcit dan pasar raya.

Tetapi, tahukah anda bahawa coklat M&M pada asalnya merupakan dicipta sebagai makanan khusus untuk rangsum medan tentera? 

Pada tahun 1941, Amerika Syarikat memerlukan makanan berkalori tinggi untuk kegunaan pasukan tentera mereka.  Salah satu bahan yang dikenalpasti adalah coklat. 

Sunday, December 1, 2019

Rukun Negara

Rukun Negara.  Falsafah yang menggariskan bagaimana dan apa yang diharapkan apabila bergelar sebagai seorang warganegara Malaysia.  Namun, perbincangan kita hari ini bukannya sekadar menjurus kepada menjadi seorang rakyat Malaysia.