Laluan Penuh Ranjau
Program MRCA yang asalnya diumumkan sekitar 2003 - 2005 (saya tidak berapa ingat bila) bertujuan untuk menggantikan pesawat pemintas tersohor MiG29N TUDM.
Program tersebut ditunda buat pertama kalinya semasa ekonomi dunia mengalami kemurungan yang teruk pada tahun 2008 akibat krisis subprime di Amerika Syarikat yang telah menjangkiti seluruh dunia.
Keutamaan Berubah
Semasa ekonomi mulai pulih, rancangan ini cuba dinaikkan kembali. Malangnya, program ini berhadapan beberapa masalah. Kerajaan mengetatkan perbelanjaan untuk mengelakkan melampau had yang hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (Hutang-kepada-KDNK) yang didtetapkan sendiri pada kadar 55%. Pada masa sama, TLDM sedang memperoleh 6 buah kapal baru (kelas Maharajalela, atau SGPV). Pada masa yang sama, ancaman daripada Suluk dan Daish memaksa ATM memfokuskan kembali kepada keupayaan COIN (Counter Insurgency - Peperangan Menentang Insurgensi).
Kekecewaan
Ditambahkan lagi dengan rencah politik, dana untuk pembelian MRCA menjadi semakin sukar. Gambar ini, ataupun lebih tepat meme ini yang saya buat dua tahun lepas, merupakan kritikan bertempias saya terhadap mereka yang menentang pembelian MRCA.
Bangunnya Dari Lamunan
Dengan banyak masa dan fokus terhadap program pemerolehan MRCA, saya telah sampai ke tahap di mana saya sendiri mempersoalkan peri perlunya untuk TUDM memperoleh MRCA yang terbaik dalam kelasnya.
Apa itu MRCA?
Untuk mereka yang baru, MRCA adalah singkatan kepada Multi-Role Combat Aircraft (Pesawat Tempur Pelbagai Tugasan), istilah yang diilhamkan oleh pihak Rusia yang kemudiannya digunapakai oleh industri.
Walaupun industri secara keseluruhannya telah menerimapakai istilah ini, mereka masih tidak dapat bersetuju dengan penzahiran istilah tersebut.
Generasi terbaru MRCA adalah generasi ke-6; F22 dan F35 Amerika Syarikat, PAKFA Rusia, dan J20 China berada dalam kategori ini.
Pesaing
MRCA yang dalam perhatian Malaysia adalah F/A18EF Super Hornet. Eurofighter Typhoon, D'Assault Aviation Rafale, dan JAS39 Saab Gripen buatan Sweden. Pesawat-pesawat ini dikira sebagai generasi ke-4, 4.5 dan 4++, bergantung kepada siapa anda tanya.
Daripada 4 jet ini, yang paling maju adalah Rafale, diikuti oleh Typhoon. Kedua-dua pesawat ini adalah pesaing utama untuk mendapatkan kontrak untuk membekalkan antara 18 hingga 24 unit pesawat kepada TUDM.
Adakah Kita Benar-Benar Memerlukan Pesawat Terbaik ini?
Seperti dimaklumkan, dua tahun lalu saya percaya kita memerlukan MRCA terbaik untuk TUDM. Tetapi sekarang, saya sendiri mempersoalkan kenapa kita memerlukan MRCA ini untuk menggantikan MiG29N. Malahan, AS sendiri turut mempersoalkan kenapa mereka memerlukan pesawat F35 Lightning II dan bercadang untuk memesan semula pesawat Super Hornet. Dengan khabar berita yang tidak berapa baik dari Israel di mana salah sebuah pesawat F35 mereka mengalami kerosakan dikatakan akibat terkena burung, kita mungkin perlu mengkaji semula keefektifan pesawat terbaik ini, dan mungkin perlu membeli sesuatu yang lebih realistik dan bersesuaian. Sila ambil perhatian, berita mengenai F35 Israel ini kebetulan diumumkan pada masa sama tentera Syria mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menembak dan merosakkan sebuah pesawat tentera udara Israel yang melakukan serangan udara di dalam wilayah Syria menggunakan sistem SAM era Perang Dingin dari jenis S200.
Fungsi MiG29N Fulcrum dalam TUDM
Sebelum kita membuat spekulasi lanjut, mari kita lihat peranan yang diambil oleh MiG29N.
Hari ini, ataupun lebih tepat pada masa lepas, pesawat MiG29N digunakan sebagai pesawat pemintas dan pesawat air superiority (penguasaan udara). Pesawat ini bertugas untuk memintas pesawat asing yang tidak dikenali yang menceroboh ruang udara negara dengan penuh cemerlang. Pesawat MiG didapati amat berupaya sehinggakan RAAF terpaksa meningkat-upaya F/A18 Hornet mereka untuk berupaya menangani MiG TUDM. Malahan, dalam salah satu latihan pertempuran udara di tahun 1990-an, MiG29N mengejutkan juruterbang RAAF dengan keupayaan untuk "menembak jatuh" pesawat mereka menggunakan keupayaan off-the-bore (menembak tanpa membidik terus).
Sama ada MiG29N TUDM betul-betul berjaya dalam memintas pesawat asing adalah tidak diketahui, walaupun terdapat kisah-kisah mengenai bagaimana pesawat MiG digunakan untuk memintas pesawat daripada negara tertentu yang cuba menguji keupayaan memintas TUDM.
Walau bagaimanapun, perlu diambil maklum bahawa pada tahun 2011, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mendedahkan di sidang Parlimen bahawa antara 2008 sehingga 2011, RSAF Singapura telah meceroboh ruang udara Malaysia sebanyak 2,058 kali.
Program MRCA
Sekarang kita sudah memahami tugasan yang perlu diambil alih oleh MRCA ini, kita lihat kembali 4 calon tadi.
Ambil maklum bahawa sekitar 2 tahun lepas, saya pernah menulis sebuah rencana atas isu ini. Ketika itu, rencana tersebut lebih menumpukan perhatian terhadap keupayaan pesawat-pesawat. Dalam rencana ini, kita akan menumpukan perhatian pada isu yang lebih menekan, iaitu dana yang tidak disentuh ketika itu.
Kriteria
Pertama sekali, kita akan lihat pada tarikh terbang buat kali pertama. Lebih tepat, tahun di mana model pertama pesawat ini terbang. Saya merasakan bahawa maklumat ini amat penting sebelum kita terkeliru denga pelbagai istilah yang digunapakai, terutamanya dari kalangan peminat tegar.
Kedua, harga. Kita akan mengambil kira berdasarkan kos boleh terbang (fly-away cost). Kos boleh terbang adalah perbandingan terbaik antara kesemua pesawat ini, kerana mengambil kira hanya kos pesawat, tanpa mengambilkira kos latihan, peluru, ordnans dan alat ganti.
Kita juga akan melihat kepada kos operasi sejam. Suka tak suka, operasi ketenteraan masih memerlukan duit dan dana. Seorang askar tidak boleh berjuang dengan perut kosong, dan sebuah ketumbukan tentera tidak boleh bertempur tanpa dana. Malahan, tentera Korea Utara yang begitu terpencil memerlukan wang untuk menjalankan operasi mereka.
Kita juga akan membandingkan 3 jenis data teknikal. Data ini adalah kelajuan, jarak dan beban operasi.
Anda boleh tengok sendiri dalam kerangka di bawah, di mana saya telah labelkan data terbaik dengan warna hijau dan paling kurang baik dengan warna kuning. Perhatikan juga bahawa saya tidak melabelkan mana-mana pengeluar atau negara dengan kaedah ini, kerana hubungan antara negara tidak sesuai dilabelkan sedemikian.
Terbang Buat Kali Pertama
Jika dilihat pada tarikh terbang buat kali pertama, rata-rata pesawat ini terbang buat kali pertama sejurus sebelum atau selepas robohnya Tirai Besi. Apa maksud ini?
Istilah MRCA hanya mula digunapakai dalam dekad lampau. Tetapi pesawat-pesawat ini turut dilabelkan sebagai MRCA. Secara teknikalnya, pesawat-pesawat ini tidak direka sebagai MRCA pada awalnya.
Adakah label MRCA ini mempunyai apa-apa makna sebenar? Ataupun hanya gimik pemasaran untuk menjual pesawat mereka pada harga melampau?
Tanda Harga
Daripada 4 pesaing ini, pesawat Super Hornet adalah yang paling murah. Pada harga USD77 juta sebuah, atau RM308 juta sebuah, dan untuk 18 buah, berjumlah RM5.5 bilion.
Bandingkan harga ini terhadap 2 pesaing utama yang berharga lebih USD100 juga sebuah. Katakan kontrak yang sama, jika diberikan kepada Rafale, cukup untuk membelikan 2 kali bilangan pesawat Super Hornet.
Kos Pengoperasian
Adalah amat sukar untuk mendapat set data yang betul untuk ini. Data yang saya perolehi ini mungkin tidak menggambarkan kos sebenar. Sesetengah data diperoleh daripada pengeluar (dalam kes Saab), dan yang lain daripada pengguna (SH dan Typhoon). Sila ambil perhatian bahawa data ini tidak menjelaskan jenis misi apa yang dilakukan oleh pesawat ini untuk mencapai kos operasi sebegini.
Suatu yang pelik di sini adalah kos pengoperasian Super Hornet. Pesawat tersebut mempunyai kos pengoperasian kedua tertinggi. Tetapi ini mungkin disebabkan oleh data ini diperoleh daripada USN yang kebiasaannya mengoperasikan pesawat ini daripada geladak kapal pengangkut pesawat dan mereka biasanya terbang dengan beban tempur lengkap.
Ambil maklum juga bahawa SH memiliki bebanan tempur tertinggi, iaitu dua kali ganda bebanan Rafale. Ini secara tidak langsung bermaksud bahawa SH lebih berkemungkinan berupaya melengkapkan lebih banyak objektf misi berbanding Rafale. Malahan, hanya satu jenis operasi yang boleh dilakukan oleh Rafale mengatasi SH, iaitu serangan nuklear, suatu keupayaan yang kita tidak miliki dan bukannya dalam keperluan kita.
Kelajuan Tertinggi
Typhoon menang tanpa soal. Bentuk delta-wing memberi keupayaan kepada pesawat ini untuk terbang pada kelajuan yang amat tinggi. Sama juga diperhatikan pada Gripen.
Amat mengejutkan apabila Rafale seperti tidak memberi keutamaan kepada kelajuan, kerana Rafale adalah yang paling lambat antara keempat-empat pesaing ini.
Bebanan Tempur
Super Hornet adalah juara dalam hal ini tanpa soal kerana berupaya membawa ordnans dua kali ganda lebih banyak daripada Rafale, yang membawa muatan paling kurang. Jika diambil kira bentuk mukabumi Malaysia, SH mungkin langkah terbaik kerana pesawat yang sama boleh membawa ordnans mencukupi bagi menghadapi ancaman dari udara (keupayaan anti-udara), laut (keupayaan anti-kapal), dan darat (keupayaan anti-darat) pada masa yang sama.
Ancaman Serantau
Ancaman serantau juga perlu diambil kira untuk memilih pesawat mana yang paling sesuai.
Ini mungkin agak sensitif, tetapi jangan gelabah tak tentu pasal. Mereka ini adalah jiran kita, dan itu tidak menghalang kemungkinan mereka menjadi musuh kepada kita. Malahan, kebanyakan daripada negara ini mempunyai tuntutan bertindih terhadap Malaysia yang boleh jadi menjadikan rantau ini bergolak.
Jangan lupa juga bahawa Laut China Selatan adalah salah satu lokasi paling berpotensi menjadi hangat. China yang ingin mengelakkan ancaman penjajahan dan penakhlukan telah keluar dengan apa yang dikenalinya sebagai sempadan 9-garis. Mereka tidak kisah walaupun langkah tersebut akan dilihat sebagai penakhlukan oleh China sendiri. Dan sekiranya isu ini menjadi semakin panas, kita akan tersepit di antara pihak bertelagah.
Sila ambil maklum, saya tidak mengambil kira sesetengah jet yang beroperasi di rantau ini, seperti Hawk dan F5E kerana pesawat ini sudah tidak sesuai lagi. Pengecualian kepada FA50 Filipina kerana pesawat ini adalah satu-satunya pesawat jet untuk negara tersebut.
Kembali ke perbincangan asal. Berdasarkan ancaman serantau semasa dan masa depan, MRCA yang diperoleh Malaysia perlu berupaya untuk mmenghadapi ancaman sekurang-kurangnya daripada pesawat F15 dan SU30.
Adalah agak sukar bagi kita bandingkan sekiranya antara 4 pesawat ini boleh menghadapi ancaman daripada F15 ataupun SU30, mahupun SU35 di suatu masa yang tidak terlalu jauh. Kegagalan untuk mengambil kira aspek ini adalah seperti menghadapi tembak-menembak dengan hanya membawa sebilah pisau.
Tetapi jika anda memiliki MRCA terbaik, adakah anda mempunyai dana untuk mengoperasikannya? Ataupun senjata yang boleh dibawa pesawat ini?
Pendapat Peribadi
Secara peribadi, saya lebih suka jika kita memperoleh pesawat Super Hornet.
Sumber Boeing |
Kita sudah mengoperasikan pesawat yang digunakan oleh USN sebelum digantikan oleh SH, iaitu Hornet, menjadikannya pilihan logik. Ditambahkan dengan kriteria yang disebut di atas, I amat percaya bahawa Kementerian Kewangan (sebagai pemegang kunci kepada wang negara) dan MINDEF perlu ambil kira.
Ya, Rafale dan Typhoon nampak seksi dan bagus. Tetapi pada harga di mana 18 buah Rafale atau Typhoon boleh membeli sehingga 36 buah Super Hornets, yang juga boleh membawa bebanan tempur lebih, saya tidak akan melihat lebih jauh.
Apa pendapat anda? Kongsikan pendapat anda. Dan jangan, jangan, janga babitakan politik.
No comments:
Post a Comment