Terdapat perkembangan terkini dalam perancangan TUDM untuk menggantikan MiG29N yang telah lama tergendala. Minggu lepas, wartawan NST Adrian David telah memetik kata-kata Dr. Viktor Kladov yang merupakan pembantu khas kepada Presiden Rusia Vladimir Putin, bahawa Presiden Rusia itu dijangkakan akan membuat tawaran secara rasmi untuk menjual kepada Malaysia sebanyak 36 unit pesawat MRCA MiG35 Fulcrum-F dan sebilangan (bilangan belum ditentutkan) pesawat YAK130 jet tempur ringan. Sebagai timbal balas, Malaysia dijangkakan akan menjual kembali 18 unit pesawat MiG29N yang sudah usang (realitinya, hanya 16 unit yang tinggal kerana 2 buah telah terhempas). Vladimir Putin dijangkakan akan mengemukakan tawaran ini kepada Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir apabila mereka bertemu di Vladivostok semasa menghadiri Forum Ekonomi Timur yang akan diadakan dari 4 September ke 6 September tahun ini.
Vladimir Putin Sumber Gambar: Kremlin.ru melalui Wikipedia |
Pengumuman ini telah merencakkan kembali minat kepada program ini, terutamanya di kalangan pemerhati pertahanan yang telah sekian lama menyeru kerajaan Malaysia untuk menggantikan pesawat pemintas usang itu. Dengan pesawat pemintas buatan Rusia itu kini tidak lagi sesuai untuk operasi, TUDM hanya memiliki 8 buah pesawat FA18D Hornet buatan Amerika Syarikat dan 18 buah pesawat SU30MKM buatan Rusia dan disokong sebilangan pesawat BAe Hawk 208e dalam mempertahankan ruang udara Malaysia dari Perlis sehingga ke Sabah.
MiG29 |
Perlu dinyatakan bahawa TUDM sebelum ini telah mengkaji beberapa jenis pesawat untuk menggantikan pesawat pemintas yang telah usang itu, antaranya Eurofighter Typhoon buatan BAe Britain, D'Assault Aviation Rafale Perancis, JAS Gripen Sweden, SU30MKX (dengan X merupakan versi yang tidak disahkan, tapi paling mungkin versi M) buatan Rusia, dan Super Hornet buatan Amerika Syarikat. Terdapat juga ura-ura bahawa kemungkinan TUDM memperoleh 39 unit pesawat F18 Hornet bekas Tentera Udara Kuwait (versi C dan D) sebagai ganti oleh pentadbiran sebelum ini, tetapi perancangan tersebut kekal sebagai perancangan sahaja.
MiG35D Kredit gambar kepada Carlos Menendez San Juan melalui Wikipedia |
Oleh itu, adalah agak menggembirakan apabila mendengar Rusia masih bercadang mendekati Malaysia untuk menawarkan pakej untuk menepati keperluan Malaysia walaupun penawaran asal SU30 tidak menjadi di peringkat awal program ini sekitar 2004.
Pembantu khas tersebut juga telah mengatakan bahawa Persekutuan Rusia sudi menerima bayaran dalam terma yang fleksibel, yang membawa makna pembayaran dalam bentuk minyak kelapa sawit mungkin sekali akan diterima.
Jadi, adakah tawaran ini suatu tawaran yang baik kepada Malaysia? Secara jujur, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada tawaran ini adalah baik ataupun sebaliknya. Dengan tawaran sebanyak 36 buah pesawat, ini sudah tentu akan banyak membantu dalam mencapai perancangan jangka panjang TUDM untuk memiliki 5 hingga 6 skuadron tempur yang mampu beroperasi. Bilangan aset sedia ada amatlah tidak mencukupi bagi memastikan TUDM boleh menjadi sebuah kuasa udara tempur yang mampan.
Tambahan pula, nilai tawaran kepada TUDM tidak dinyatakan. Dengan menggunakan kontrak kepada Tentera Udara Mesir sebagai penanda aras, sebuah MiG35 dijangkakan bernilai USD40 juta. Pada masa sama, saya menjangkakan kita akan diberi harga 2 atau 3-peringkat, bermaksud kalau kita setuju membeli jet tersebut, harga boleh dikurangkan sekiranya kita bersetuju membeli sekali YAK130 dan Mi17. Oleh itu, saya jangkakan harga tawaran kepada Malaysia sekitar USD42 sehingga USD45 juta sebuah. Perlu diambilkira, tawaran ini adalah amat menarik kerana kita juga sedang mencari pengganti kepada S61A4 Nuri dan BAe 108e.
Adakah ini bermakna kita boleh terus menerima tawaran ini tanpa kajian mendalam?
Masih terlalu awal untuk memberi kata putus. Kajian mendalam diperlukan sekiranya langkah ini diambil. Mari kita lihat. Untuk rencana ini, kita akan melihat daripada sudut pro dan kontra dalam mengambil langkah ini.
Pro
Pertama sekali, MiG35 adalah sebuah pesawat yang cukup mampan. Evolusi daripada pesawat yang cukup hebat, yakni MiG29, MiG35 memiliki kelebihan MiG29. Memandangkan pesawat ini merupakan evolusi daripada MiG29, TUDM dijangkakan mempunyai pengetahuan dalam pengendalian pesawat ini. Pada masa sama, ATSC dijangkakan berupaya mengendalikan penyelenggaraan pesawat ini.
Walaupun MiG35 ini merupakan naik taraf daripada MiG29, pesawat ini merupakan mesin berbeza. Pesawat ini adalah jauh lebih mampan dari segi teknologi dan keupayaan. Ini boleh ditafsirkan daripada sistem persenjataan yang pesawat ini mampu bawa. Dari satu segi, perbandingan terbaik kepada hubungan MiG29 - MiG35 adalah mirip kepada hubungan Hornet - Super Hornet.
Mikoyan-Gurevich dikatakan telah mempelajari kesilapan daripada MiG29. Salah satu permasalahan utama bagi MiG29 adalah komponen alat ganti bagi sebuah pesawat tidak boleh digunakan pada pesawat lain. Ini disebabkan oleh kaedah pembuatan yang digunakan oleh Mikoyan-Gurevich dahulu kala. Dikatakan, Mikoyan-Gurevich telah melalui proses perubahan falsafah pembuatan dan memastikan bahawa komponen bagi MiG35 dibina kepada piawaian yang sama dengan tumpuan kepada persamaan alat (commonality). Sekiranya ini adalah benar, maka ini berupaya mengurangkan permasalahan yang dikaitkan kepada alat ganti pesawat sepertimana dihadapai bagi MiG29.
Dengan 36 buah unit ditawarkan, ini memberi TUDM pilihan untuk menggilirkan pesawat yang digunakan. Dengan itu, ini dijangkakan akan mengurangkan isu pengusangan bagi setiap pesawat.
Berbanding dengan MiG29, MiG35 dijangkakan memiliki keupayaan anti-kapal dan anti-sasaran darat. Ini bermakna sekiranya MiG35 diperoleh, keupayaan anti-kapal TUDM akan meningkat berkali ganda.
Pada masa sama, MiG35 juga diberi keupayaan TVC atau thrust-vector control. Dengan itu, MiG35 dijangkakan memiliki keupayaan yang tidak jauh berbeza daripada pesawat SU30MKM kita.
Kontra
MiG35 bukannya tidak mempunyai mereka yang meragui kemampuannya.
Memandangkan MiG35 adalah evolusi daripada MiG29, akan pasti adanya kelemahan yang sama yang diwarisi daripada MiG29. Salah satu kerisauan mengenai MiG35 adalah jangka hayat operasi pesawat ini. Apabila TUDM memperoleh MiG29 pada tahun 1990-an, salah satu faktor negatif pesawat ini adalah jangka hayat pesawat ini yang lebih pendek. Jet buatan Rusia ini mempunyai jangka hayat yang lebih pendek kerana falsafah operasi Rusia yang memperlihatkan mereka lebih suka menggantikan pesawat MiG dengan yang baru daripada membaikinya. Dan seperti dijangkakan, jangka hayat MiG29 TUDM mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding dengan 8 buah pesawat FA18D Hornet buatan Amerika Syarikat walaupun kedua-duanya diperoleh pada masa yang sama.
Sehingga ke hari ini, cuma terdapat 8 buah pesawat MiG35 di seluruh dunia, dengan 6 buah adalah untuk ujian penerbangan. Oleh itu, risiko pemerolehan adalah amat tinggi untuk memperoleh pesawat yang orang lain belum peroleh langsung. Senario terburuk yang boleh berlaku adalah kita mungkin memiliki 36 buah pesawat gajah putih, ataupun lebih teruk, 36 buah pesawat tersadai.
Satu lagi kerisauan yang saya ada adalah sekiranya TUDM menerima tawaran Rusia ini, doktrin pengoperasian TUDM sendiri mungkin akan berubah mirip kepada doktrin pengoperasian Rusia. Ini menjadi kerisasuan kerana kemungkinan kos tersembunyi yang kita tidak boleh lihat dalam pemerolehan ini apabila TUDM berpindah paksi pengoperasian daripada doktrin pengoperasian barat kepada falsafah operasi Rusia.
Ini bermakna bukan sahaja melibatkan TUDM secara struktur, malahan melibatkan logistik dan sistem sokongan kepada TUDM.
Dan apakah ini yang dicari oleh TUDM? Adakah MiG35 sesuatu yang TUDM sannggup terima memandangkan pengalaman lampau yang negatif dengan pengeluar pesawat Rusia?
MiG29 vs MiG35 Nota - maklumat jarak operasi tempur mungkin tidak tepat |
Pemerhatian Lain
Dalam membuat persediaan bagi rencana ini, saya telah membuat beberapa pencarian ke atas MiG35 dan menemui sesuatu yang pelik. Dengan menggunakan MiG35 Egyptian deal sebagai parameter pencarian, saya mendapati bahawa dalam tempoh masa 6 bulan sebelum rencana NST mengenai tawaran Rusia ini, sebuah rencana mengenai pembelian MiG35 oleh Mesir telah diterbitkan semula di beberapa media, setiap satunya berkongsikan cerita yang sama. Ini menarik perhatian saya kerana rencana asal telah ditulis oleh Dario Leone dari Aviation Geek pada tahun 2017.
Kes pelik di mana rencana 'lama' diterbitkan semula seolah-olah baru berlaku semalam. |
Kes pelik di mana rencana 'lama' diterbitkan semula seolah-olah baru berlaku semalam. |
Kes pelik di mana rencana 'lama' diterbitkan semula seolah-olah baru berlaku semalam. |
Kes pelik di mana rencana 'lama' diterbitkan semula seolah-olah baru berlaku semalam. |
Adakah ini sesuatu yang dibuat khusus untuk meningkatkan perhatian kepada pesawat Rusia ini? Pada masa ini, adalah amat sukar untuk membuat kata dua. Tetapi dalam dunia pertahanan, kebetulan itu tidak ada dalam kamus.
Perlu ditambah bahawa Dr, Viktor Kladov juga berada dalam Lembaga Pengarah Rostvertol PAO, yang turut membuat helikopter siri Mi-xx. Dia juga merupakan bekas Ketua Kerjasama Antarabangasa bagi Rostec, yakni penyelaras kepada syarikat pertahanan Rusia.
Dr. Viktor Kladov Sumber Gambar - DefenceNews |
Kesimpulan
Minat saya dalam dunia ketenteraan Malaysia bermula di awal pengoperasian pesawat MiG29N dalam TUDM. Walaupun minat saya kepada pesawat Fulcrum itu adalah minat peribadi saya sendiri, saya tidak boleh membenarkan nostalgia ini untuk membutakan diri saya untuk bersetuju dengan pembelian ini yang mungkin bukan langkah terbaik untuk negara kita. Ini memerlukan kajian lebih mendalam, yang pada saya bukanlah suatu masalah kepada kerajaan ini kerana kerajaan ini mempunyai tabiat untuk mengumumkan semua benda masih lagi dalam kajian. Apatah lagi, kita masih mempunyai kajian terowong Pulau Pinang yang belum lagi siap-siap sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment