Search This Blog

Sunday, December 1, 2019

Rukun Negara

Rukun Negara.  Falsafah yang menggariskan bagaimana dan apa yang diharapkan apabila bergelar sebagai seorang warganegara Malaysia.  Namun, perbincangan kita hari ini bukannya sekadar menjurus kepada menjadi seorang rakyat Malaysia.  


Asal-Usul Rukun Negara
Tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 mencoretkan sejarah hitam dalam sejarah negara.  Peristiwa itu merobekkan hubungan antara kaum yang rapuh ketika itu.  

Susulan tragedi tersebut, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah mengusulkan satu falsafah yang mengggariskan hala tuju negara dan cara-cara mencapai hala tuju tersebut.  

Berilhamkan Pancasila yang dimiliki jiran tetangga kita, Rukun Negara dibahagikan kepada 3 bahagian utama; Objektif, Ikrar, dan Prinsip.

Objektif
Dalam kita membincangkan mengenai Rukun Negara, kerap kali objektif atau Cita-Cita Rukun Negara itu diabaikan.  Dengan kata-kata yang agak abstrak, ramai yang memilih tidak melihat objektif ini.  Malahan sering kali tidak dilafazkan bersama keseluruhan Rukun Negara apabila diminta.


Melakarkan objektif-objektif yang hendak dicapai daripada cita-cita dalam Rukun Negara.  Daripada perpaduan lebih erat, baik dari segi kaum dan agama, sehinggalah pembinaan sebuah masyarakat progresif.

Cara hidup demokratik dipilih kerana kesesuaian cara hidup demokrasi dengan Malaysia itu sendiri.  Walaupun sistem demokrasi itu dikatakan berasal dari Athens, Yunani, tetapi cara hidup demokrasi itu sudahpun subur di Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia.  Ini jelas kelihatan di Negeri Sembilan yang mengamalkan kaedah pemilihan Yam Tuan Negeri dari kalangan Undang di negeri tersebut. 

Dengan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, barulah kemakmuran negara boleh dikongsikan dan dinikmati bersama secara adil dan saksama.  Adil dan saksama.  Kenapa bukan adil sahaja atau saksama sahaja?  Sekiranya adil sahaja, usaha dan penat lelah seseorang itu tidak lagi penting.  Setiap rakyat mendapat nikmat yang sama rata.  Tetapi usaha itu sendiri tidak setara.  Maka, masuklah kesaksamaan.  Nikmat itu perlu juga diberikan setimpal dengan usaha.  Tetapi kenapa bukan saksama sahaja?  Kerana kesaksamaan berdasarkan usaha itu sendiri akan menjadi tidak adil, terutamanya sekiranya usaha itu menyebabkan hak orang lain tertindas. 

Menjaminkan cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak.  Pernah menjadi kontroversi kerana disalah erti golongan konservatif bahawa Kerajaan menyokong golongan liberal.  Turut disalah erti golongan liberal sebagai lesen untuk hidup secara, liberal yang pada hemat mereka termasuklah cara hidup songsang dan kebebasan tanpa batas.  Namun, liberal di situ bermaksud kepada jaminan bahawa cara hidup tradisional dan kebudayaan itu dilindungi dan dihormati.  Tiada siapa sepatutnya menghina cara hidup tradisional dan kebudayaan orang lain semata-mata kerana dianggap bertentangan dengan pegangan seseorang itu.  Ya, itu juga bermaksud pandangan liberal.  Budaya aku budaya aku, budaya engkau budaya engkau.  Kita menghormati sesama lain sebagai tanda hormat kita kepada budaya masing-masing.

Membina masyarakat progresif menggunakan sains dan teknologi moden.  Amat berkait dengan objektif sebelum ini.  Di kala kita menghormati kebudayaan dan cara hidup tradisional, kita tidak berhenti menggapai kemodenan melalui sains dan teknologi.  Boleh sahaja dalam objektif ini, pembinaan masyarakat progresif ini didahulukan.  Tetapi ini tidak didahulukan kerana kebudayaan setiap kaum dan agama itu sendiri adalah unik dan kemajuan yang kita capai perlulah dibina selaras dengan penerimaan setiap kaum dan agama itu sendiri.  


Ikrar
Ikrar, tidak perlu dijelaskan.  Jelas sekali, dibuat oleh rakyat Malaysia.

  
Apabila dilafazkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia, lebih kerap kita melihat Rukun Negara dimulakan dari bahagian ikrar.

Prinsip-Prinsip Rukun Negara
Acap kali apabila berkata-kata mengenai Rukun Negara, kita hanya menumpukan perhatian kepada 5 prinsip ini.  Itupun ramai yang lupa.  Di sini, izinkan saya mengambil satu langkah terkedalam yang pada hemat anda, mungkin terpesong, tetapi sesuai untuk menjelaskan sesuatu yang terbuku di minda saya dari awal hari ini.  Ini tidak lain dan tidak bukan adalah mengenai individu bernama Ong Boon Hua yang lebih kita kenali sebagai Chin Peng. 

Diangkat sebagai pejuang kemerdekaan oleh sesetengah individu yang tidak mengenali sejarah atau telah diserongkan pandangan mereka, mereka beranggapan bahawa individu itu selayaknya dipanggil pejuang kemerdekaan.

Kepercayaan Kepada Tuhan
Kepercayaan  kepada Tuhan adalah prinsip pertama dalam Rukun Negara.  Perkataan 'Tuhan' dipilih bagi sebab neutral, agar boleh diaplikasikan kepada semua agama yang wujud dalam Persekutuan Malaysia. 

Kepercayaan kepada Tuhan juga ditulis sebagai prinsip pertama selaras dengan kepentingan Tuhan dalam hidup manusia.  Tuhan yang mencipta.  Dia Sang Pencipta.  Maka selayaknya Dia diberi keutamaan.  

Ong Boon Hua atau Chin Peng merupakan penganut fahaman komunisme.  Fahaman yang menganggap agama adalah candu kepada masyarakat.  Fahaman yang menidakkan kewujudan Tuhan, tak mengira agama.  Fahaman yang bersikap cuba menghapuskan agama-agama di negara lain seperti di Russia, China dan Vietnam.  Sekiranya agama dibenarkan wujud di negara-negara tersebut, pengikutnya disisihkan daripada peluang pekerjaan sama rata.  Dan agama pula perlu tunduk kepada tuntutan parti komunisme, sebagaimana yang kita lihat hari ini di China.  Agama-agama diturunkan taraf di bawah daripada sistem sosialis komunis yang mereka junjung. 

Dalam perjuangan songsang parti tersebut, begitu banyak direkodkan bagaimana kepercayaan agama penduduk Tanah Melayu (dan seterusnya Semenanjung Malaysia) tidak dihormati parti tersebut.  Jadi, apakah boleh diterima apa yang dia buat?  Ya, kita tiada hak berkata-kata bahawa dia akan ke neraka.  Bukan hak kita menentukannya.  Di sebalik kebencian penganut komunisme terhadap agama, kita melihat terdapatnya gambar upacara-upacara keagamaan dijalankan sebelum mayatnya dibakar.  Ironi, apabila hak-hak mangsanya tidak pernah diberi peluang untuk menerima upacara keagamaan terakhir untuk mereka, dengan ratusan tak pun ribuan mayat mangsa mereka tidak pernah dijumpai walaupun mereka telah meletakkan senjata pada tahun 1989. 

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Kesetiaan kepada Raja dan Negara.  Tidak lebih dan tidak melampau.  Ikrar taat setia dilafazkan kepada Yang DiPertuan Agong sebagai ketua negara.  Bagi yang Melayu, Raja-Raja Melayu lah yang memberi naungan kepada penubuhan negeri masing-masing.  Bagi yang bukan Bumiputera, tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, maka tiadalah kerakyatan kepada mereka (termasuk saya).  Kepada Bumiputera bukan Islam, di bawah naungan Majlis Raja-Raja lah hak mereka dilindungi sebagai kaum minoriti. 

Kesetiaan kepada Raja dan Negara ini dizahirkan pada penghormatan yang diberikan oleh Rakyat kepada Raja dan Negara berserta simbol-simbol berkaitan dengan Raja dan Negara.  Dari kedudukan Yang DiPertuan Agong, Majlis Raja-Raja, dan bendera, semua ini melambangkan kedudukan Monarki dalam negara. 

Tetapi ini tidak membawa sebarang erti kepada  Ong Boon Hua dan pengikut fanatiknya.  Sejarah menunjukkan bahawa parti-parti fahaman komunis menjatuhkan sistem monarki bukan sahaja di Russia, yakni negara komunis pertama.  Di rantau Asia Tenggara, monarki Laos telah dijatuhkan oleh gerila Pathet Lao.  Di Kemboja, monarki mereka terpaksa melarikan diri ke negara lain sebelum dijemput kembali setelah tumbangnya Regime Polpot.  Tidak jauh bezanya di Tanah Melayu (sebelum menjadi Semenanjung Malaysia).  Parti ini merencanakan untuk menjatuhkan sistem Monarki sebagaimana Partai Komunis Indonesia telah berjaya memusnahkan monarki di Indonesia. 

Tidak cukup dengan itu, mereka juga membunuh rakyat yang bernaung di bawah payung Monarki.  Rakyat yang tidak bersalah dibunuh, dikapak, dicincang, dibakar.  Bukan sekadar disebutkan untuk menanam rasa benci, tetapi hakikat sebenar sejarah hitam yang pernah berlaku di negara ini.  Apabila orang yang dicari tidak dijumpai, maka seluruh keluarga turut menjadi korban.  Begitu ramai orang awam tidak bersalah yang seluruh keluarga dihapuskan sebagai alasan dendam.  Mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng pernah menceritakan bagaimana rakan sekolahnya telah ditangkap oleh komunis telah dibelasah dan diikat di belakang sebuah lori sebelum diseret sekeliling Ipoh.  

Jika rakyat yang bernaung di bawah Monarki jadi mangsa, tidak dilupakan juga mereka yang telah mengangkat sumpah taat setia berkhidmat untuk Yang DiPertuan Agong.  Pegawai dan anggota pasukan keselamatan, sama ada dari Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia berkhidmat untuk negara.  Mereka-mereka ini menjadi saksi kekejaman komunis.  Dibunuh hanya kerana mereka menjalankan tugas mempertahankan negara.  Dan pembunuh mereka adalah penyokong dan pengikut kepada Ong Boon Hua.  

Bukan sekadar berkata-kata sahaja.  Malahan pernah direkodkan oleh Shamsiah Fakeh, seorang komunis di dalam bukunya sendiri bahawasanya Parti Komunis Malaya di satu konvesyen komunis yang diadakan di Vietnam mewartakan kemusnahan Malaysia.  Apakah itu kerja orang yang setia kepada negara?

Keluhuran Perlembagaan
Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah undang-undang dasar Malaysia.  Dokumen yang mewartakan apa yang boleh dibuat dan bagaimana sesuatu sepatutnya dilaksanakan dalam negara.  Dalam Perlembagaan tercatat hak setiap rakyat, termasuklah kedudukan Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, kedudukan agama Islam serta kebebasan agama-agama lain.  

Namun, itu ditentang oleh PKM.  Itu ditentang oleh Ong Boon Hua.  

Kedaulatan Undang-Undang
Undang-undang negara perlu dipatuhi.  Undang-undang juga mengatasi kedudukan seseorang individu dalam masyarakat.  

Tetapi dengan penyeludupan senjata api, rompakan, pembunuhan, penyeksaan orang awam, pemusnahan aset awam, apakah itu tanda-tanda menghormati undang-undang?

Kesopanan dan Kesusilaan
Budaya hormat menghormati antara individu perlu wujud tak kira kaum mahupun agama.  Namun, bagi pengikut tegar Ong Boon Hua dan partinya, itu tidak penting.  Sejarah mencatatkan bagaimana mereka tidak menghormati orang Melayu dan kebudayaan orang Melayu.  Bagi bukan Melayu pula, orang Cina yang tidak bekerjasama dengan parti mereka dipanggil anjing kerajaan, chow kow.  Diugut dan dibunuh.  Sehinggakan memaksa kerajaan membina perkampungan Kampung Baru di seluruh negara untuk menjaga keselamatan mereka.  

Natijahnya
Apakah kita patut memaafkan individu ini dan penyokong-penyokong mereka?  Sekiranya golongan pro-liberal dalam negara kita boleh melompat-lompat bagaikan kera termakan cili apabila ada individu yang berdiri dan memberi tabik kepada Adolf Hitler ketika konvokesyen sedangkan belum tentu ada saudara mereka menjadi mangsa kekejaman Adolf Hitler, kenapa kita perlu memberi hormat kepada individu ini yang bukan sahaja cuba memusnahkan negara kita tetapi telah membunuh begitu ramai rakyat Malaysia serta Persekutuan Tanah Melayu di masa lampau?  


No comments:

Post a Comment