Search This Blog

Monday, October 10, 2016

Sejarah Malaysia - Peristiwa Double Tenth

Tahukah bahawa pada hari ini dalam tahun 1943, sekumpulan gerila penentang Jepun seramai 200 orang telah mengangkat senjata menentang penjajahan Jepun?


Kumpulan gerila yang dikenali sebagai Gerila Kinabalu merupakan pasukan gerila yang terdiri daripada pelbagai kaum; Melayu, Cina, India, Serani, Kadaran, Murut, Suluk dan lain-lain ini diketuai oleh Kapt (US) Albert Kwok Feng Nam berjaya merampas Api-Api daripada tentera Jepun untuk 3 hari.

Jepun yang terkejut dengan serangan daripada Gerila Kinabalu terpaksa memohon bantuan daripada unit tentera Jepun di Sarawak dan Labuan yang kemudiannya merampas balik Api-Api.

Ditangkap
Kumpulan gerila ini kemudiannya bersembunyi di Penampang selama lebih 2 bulan. Akhirnya kesemua gerila ini ditangkap oleh Jepun apabila Jepun mengugut membunuh semua penduduk di sekitar Penampang.

Beberapa pulau di sekeliling Sabah yang diduduki penduduk Bajau dan Suluk turut menerima bahana. 

Penduduk mereka turut dibunuh kerana membantu Gerila Kinabalu mendapatkan bekalan senjata.

Dalam Tahanan Jepun
Anggota kumpulan gerila tersebut ditahan sehingga Februari 1944. Kesemua anggota kumpulan tersebut yang ditahan di Jesselton dibawa ke Petagas dan dihukum pancung manakala tahanan di Labuan turut menerima nasib sama. 

Kegagalan atau Kejayaan?
Walaupun kesemua anggota Gerila Kinabalu maut di tangan Jepun, Gerila Kinabalu berjaya menghuru-harakan keupayaan Jepun dan telah menggagalkan 2 rancangan utama Jepun. Tentera Jepun pada asalnya merancang mengerah pemuda Sabah untuk dimasukkan ke dalam Tentera Jepun, dipercayai infantri untuk dikerah ke kepulauan Pasifik yang ketika itu berhadapan dengan Tentera Berikat. Rancangan tersebut digagalkan kerana selepas peristiwa Double Tenth, mereka tidak yakin lagi bahawa penduduk Sabah taat kepada pemerintahan Jepun.

Rancangan kedua adalah untuk memaksa gadis tempatan untuk digunakan sebagai perempuan pemuas nafsu kepada Tentera Jepun. Dipercayai rancangan ini juga telah digagalkan.

Jadi, apakah sumbangan ini diingati rakyat Malaysia? Tidak. Sekadar satu jalan di Kota Kinabalu yang dinamakan sempena Kapt Albert Kwok berserta satu taman peringatan di Petagas, di depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Dalam buku sejarah tahun 1990-an, hanya sekadar 2 baris ayat sahaja mengingati perjuangan mereka.

Banyak lagi kisah lain yang tidak dibukukan dan dimasukkan dalam buku sejarah negara. Kisah seperti Semut trail dan sebagainya. 

No comments:

Post a Comment