Search This Blog

Saturday, February 17, 2018

Eurofighter Kembali Bertanding?

Dalam satu perkembangan (13 Februari 2018) yang mengejutkan, Reuters UK telah melaporkan bahawa BAe (British Aerospace) masih berminat untuk merebut kontrak untuk membekalkan pesawat MRCA kepada TUDM, dipercayai bernilai sekitar RM7 hingga ke RM8 bilion. 



Percubaan ini, dipercayai percubaan terakhir untuk BAe mendapatkan kontrak ini, setelah mencurahkan tenaga dan wang yang banyak untuk cuba mendapatkan kontrak tersebut.

Kontrak pembekalan pesawat tempur pelbagai peranan itu, atau MRCA (Multi-Role Combat Aircraft), merupakan antara proses kontrak tender terpanjang di dunia, bermula semenjak 2002 sehingga ke hari ini, merentasi pentadbiran 2 menteri pertahanan dan sekurang-kurangnya 3 Panglima Tentera Udara.

Dalam tawaran terbaru ini, BAe telah mengutarakan cadangan untuk memberi pinjaman kewangan kepada Putrajaya dengan pinjaman disokong oleh kerajaan UK.

Keupayaan Membayar
Kedua-dua D'Assault Aviation dan BAe telah meletakkan harga tawaran mereka sekitar nilai USD2 bilion, yang merupakan sekitar 0.6% daripada KDNK Malaysia pada tahun 2016 (KDNK2016: USD296.36 bilion).  Perlu dinyatakan bahawa dari segi sejarah, Kerajaan Malaysia hanya membelanjakan nilai kecil sahaja dalam sektor pertahanan, dan berada di tangga ke-4 di ASEAN dengan nilai perbelanjaan pada 1.28% nilai KDNK 2016.  Nilai ini adalah jauh lebih rendah daripada nilai 2% perbelanjaan yang dicadangkan oleh pertubuhan NATO kepada negara anggotanya.



Perbelanjaan yang kedekut ini berbanding dengan jirannya telah menyebabkan Angkatan Tentera Malaysia Seri Paduka Baginda berkemungkinan menghadapi isu kemunduran aset berkelompok.  Kemunduran aset berkelompok berlaku apabila perubahan teknologi di medan perang atau perubahan kritikal dalam taktik dan strategi medan yang membawa kepada revolusi hal-ehwal ketenteraan.

Harga Tawaran
Pada harga yang ditawarkan sekarang, sebenarnya memberi kesan negatif minima terhadap nilai KDNK.  Malahan, nilainya kepada nisbah hutang kepada KDNK juga tidak dipengaruhi secara negatif, terutamanya sekali dalam keadaan ekonomi yang semakin pulih.  Oleh itu, keupayaan untuk membeli bukanlah dan tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

Gangguan Politik
Namun begitu, pembelian yang bernilai besar sebegini hampir pasti menyebabkan para aktivis sosial dan golongan haluan kiri yang biasanya melihat perbelanjaan pertahanan sebagai pembaziran.  Malahan, parti berhaluan kiri Parti Sosialis Malaysia (PSM) sudahpun mengumumkan manifesto bertajuk 99% sudahpun memasukkan janji untuk menurunkan perbelanjaan pertahanan ke kurang daripada 1% daripada KDNK, suatu nilai yang langsung tidak munasabah.  Dan sekurang-kurangnya 1 netizen pro-pembangkang telah mengutuk dan menggambarkan betapa banyak biasiswa yang boleh ditawarkan daripada nilai RM7 bilion ini.


Satu utopia yang tidak dapat tercapai, untuk mendapatkan peruntukan pertahanan bernilai kurang daripada 1% daripada KDNK.

SLOC Utama dan Tuntutan Bertindih
Faktor bahawa Malaysia terletak di laluan perhubungan laut utama (atau SLOC - Sea Line of Communication) berserta beberapa tuntutan bertindih dengan negara jiran, tidak memungkinkan kita untuk terlalu berjimat dengan perbelanjaan pertahanan negara.

Pembelian Pertahanan Lepas yang Kurang Terancang
Keadaan ini diburukkan dengan kaedah pembelian aset yang kurang terancang selepas berakhirnya era program PERISTA.  Walaupun TUDM sebuah pasukan yang kecil, TUDM terpaksa membuat perolehan aset daripada 6 buah negara lain (Amerika Syarikat, UK, Itali, Rusia, Kanada dan Perancis), hampir kesemuanya atas sebab diplomasi, menyebabkan TUDM menghadapi isu logistik yang amat teruk.

Adakah tawaran terbaru BAe ini akan menggerakkan keputusan Putrajaya?  Secara peribadi, saya kurang yakin.  Mari kita lihat beberapa faktor yang sekarang ini memungkinkan pemilihan Rafale sebagai pilihan utama Putrajaya sebagai pesawat MRCA untuk TUDM. 

Apa Yang Menjadikan D'Assault Aviation sebagai Pilihan Utama Kerajaan Malaysia berbanding pesawat Typhoon BAe?
Sehingga sekarang, saya tidak mendapat banyak maklumat mengenai tawaran Perancis kepada Malaysia.  Maklumat yang saya peroleh pula, sama ada tidak dapat disahkan dengan sumber lain ataupun tidak sesuai untuk dibukakan sebagai perbincangan am.

Satu-satunya maklumat yang saya dapat peroleh dan boleh dikongsikan adalah tawaran pembiayaan pembelian untuk membeli Rafale, dan juga persetujuan Paris untuk tidak menerima cadangan Kesatuan Eropah untuk memboikot minyak kelapa sawit Malaysia.  Dengan Paris juga merupakan ahli utama Kesatuan Eropah, sokongan Paris ini amatlah bernilai untuk meyakinkan Kesatuan Eropah akan kelestarian minyak kelapa sawit, berbanding dengan Britain yang telah jatuh talak ke atas Kesatuan Eropah melalui referendum Brexit.

Walaupun kita tidak mempunyai banyak maklumat mengenai tawaran Perancis, apa yang saya boleh simpulkan adalah keupayaan Rafale untuk berfungsi bersama-sama aset-aset lain yang sudah berada dalam pegangan Angkatan Tentera Malaysia telah menarik minat kepimpinan ATM.  Aset-aset lain yang dibekalkan atau mempunyai komponen utama daripada Perancis adalah SU30MKM (sistem avonik pesawat), kereta kebal utama medium jenis PT91M Twardy buatan Poland (sistem kawalan tembakan dan komunikasi), pesawat pengangkut strategik A400, kapal selam kelas Perdana Menteri, kapal tempur pesisir kelas Maharaja Lela (LCS).  Malahan, faktor ini saya telah kenalpasti sekitar 6 tahun lalu dalam satu perbincangan dengan seorang(sekarang bekas) pegawai TUDM.

Salah satu elemen penting yang mengarahkan kepada pembelian pesawat Rafale adalah pengambil-alihan Sepang Aircraft Engineering Sdn. Bhd. sebagai anak syarikat sepenuhnya Airbus.  Anak syarikat Airbus ini akan terlibat dalam MRO (Maintenance, Repair and Overhaul - Penyelenggaraan, Pembaikan dan Pemulihan Penuh).  Airbus sebagai pemegang saham berkepentingan besar dalam D'Assault Aviation, mungkin sekali akan dipilih sebagai pusat MRO oleh D'Assault Aviation apabila pesawat Rafale memerlukan penyelenggaraan.  Ini juga secara tidak langsung memenuhi garis panduan dalam pelan pembangunan industri aeroangkasa kebangsaan.

Bagaimana Pula Dengan Tawaran BAe?
Saya tidak pasti sama ada tawaran terbaru daripada BAe ini masih meliputi penawaran untuk menaiktarafkan pesawat BAe Hawk 208 dan 108, kerana ini tidak dinyatakan langsung dalam laporan ini.  Malahan, langsung tidak menyebut mana-mana tawaran lepas masih kekal atau tidak.

Namun begitu, saya agak gusar dengan tawaran BAe untuk menawarkan pinjaman kepada Putrajaya.  Tawaran tersebut amatlah mengiyurkan, tetapi maklumat lanjut amat diperlukan.  Saya amat berminat untuk mengetahui matawang apa yang akan disebutnilai dalam pinjaman tersebut yang akan ditawarkan melalui Agensi Kredit UK.

Sekiranya pinjaman tersebut disebutnilaikan dalam matawang asing, boleh jadi membawa kesan negatif kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan.  Kita telah mempelajari pengalaman yang teramat mahal dalam aspek ini pada tahun 1990-an apabila nilai pembayaran balik  kepada pinjaman yen oleh kerajaan Jepun telah meningkat hampir 3 kali ganda nilai pembayaran dalam ringgit akibat kejatuhan nilai ringgit.  Jiran kita, Indonesia juga mengalami masalah yang sama.Setelah membuat pinjaman yang besar dalam matawang asing, mereka terpaksa meningkatkan jumlah bayaran dalam Rupiah kerana kejatuhan teruk nilai rupiah.  Ini seterusnya mengakibatkan kebolehupayaan Kerajaan Indonesia membuat bayaran untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun. 

Berdasarkan pengalaman lepas, sekiranya pembiayaan ini diluluskan, adalah hampir pasti kerajaan Malaysia akan mendapatkan kerajaan Britain untuk mengeluarkan pinjaman tersebut dalam nilai RM dan di dalam Malaysia.  Sebagai contoh, projek ECRL ke Pantai Timur diluluskan kerajaan kerana Kerajaan China sudi membuat pinjaman berjumlah RM55 bilion dalam matawang RM di Malaysia.

Polisi untuk mendapat matawang dikeluarkan dalam nilai RM di Malaysia adalah berdasarkan Peraturan Pertukaran Wang Asing (FEA - Foreign Exchange Administration Rules) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.  Peraturan tersebut merupakan peraturan asas dalam pengendalian pertukaran matawang asing dalam negara untuk mempertahankan kebebasan regim polisi kewangan Malaysia, merupakan satu daripada pelbagai garisan hadapan yang tidak diketahui oleh ramai rakyat Malaysia.  Harga kegagalan untuk mempertahankan kedaulatan regim matawang Malaysia adalah seperti apa yang berlaku kepada Greece; tanpa kawalan ke atas polisi kewangan, peningkatan nilai hutang telah membawa kepada kebankrapan kerajaan Greece.

Tetapi adalah kerajaan British sanggup mengambil langkah tersebut?  Ataupun persoalan lebih tepat, adakah kerajaan Britain boleh secara sah membiayai pinjaman tersebut dalam nilai RM?  Berbanding dengan pembiayaan RM55 bilion oleh Kerajaan China yang diuruskan melalui Bank of China, Malaysia yang juga merupakan pusat pengurusan matawang Renminbi di ASEAN, Britain tidak mempunyai keupayaan sama walaupun Malaysia merupakan bekas jajahan negara tersebut. 

Perlu diingatkan, saya juga berasa gusar akan tawaran pinjaman yang dibuat oleh Perancis.

Dari segi kewangan, Agensi Kredit UK juga mungkin keberatan untuk membiayai pinjaman tersebut atas dua sebab.

Berita Negatif Mengenai Malaysia
Disebabkan oleh berita buruk mengenai Malaysia akibat pencerapan berita ke atas isu 1MBD, pinjaman besar kepada Kerajaan Malaysia akan menarik perhatian yang tidak diingini daripada para pemerhati bebas Kerajaan UK, dan ini mungkin digunakan untuk memaksa Kerajaan UK untuk mengeluarkan maklumat mengenai pinjaman tersebut.  Walaupun isu seperti ini boleh jadi diuruskan dengan menggunakan pintu belakang, pengurusan sedemikian memberi kesan negatif secara politik ke atas Kerajaan Britain sekarang. 

Kemungkinan Menghadapi Kerugian Tukaran Wang Asing Besar
Dengan anggapan bahawa Agensi Kredit UK berjaya mendapatkan khidmat sama ada Standard Chartered ataupun HSBC untuk menguruskan pinjaman tersebut untuk Kerajaan Malaysia, siapa pula yang sanggup menerima beban kemungkinan menghadapi kerugian besar dari segi pertukaran wang asing daripada matawang Pound Sterling kepada Ringgit Malaysia dan kemudiannya kembali ke Pound Sterling?

Kegusaran Sama oleh Perancis?
Adalah Perancis akan mempunyai kegusaran sama seperti di atas? Mungkin, tetapi berdasarkan kesanggupan Perancis dalam menawarkan pinjaman sama kepada Kerajaan Mesir yang berada di bawah pentadbiran tentera setelah menjatuhkan Kerajaan Mesir yang dipilih secara demokratik, iaitu Kerajaan pimpinan Mohamed Morsi al-ayat dan Parti Kebebasan dan Keadilan, mungkin bermakna pihak Perancis sudah mengambilkira isu ini.

Tugas Menggunung bagi BAe
BAe sedar dan memahami mereka berhadapan dengan tugas berat yang menggunung.  Fokus mereka dalam membina jenama di sekitar Typhoon telah menyebabkan mereka terlepas memenuhi beberapa keperluan ATM, dan ini telah dieksploitasi oleh Perancis melalui beberapa kontraktor pertahanan mereka. 

Perancis telah membuat kajian yang baik dalam membuka jalan untuk mendapatkan kontrak Rafale.  Apatah lagi, mereka telah cuba untuk menjual pesawat Rafale kepada Malaysia semenjak 1990-an di mana mereka telah membawa pesawat Rafale generasi terdahulu untuk demonstrasi di Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Mahathir.

Memetik sumber daripada Malaysia Military Power (MMP), "Perancis telah terlebih jauh ke hadapan berbanding Britain apabila mereka menyatakan mereka membantah pengharaman import minyak kelapa sawit dan akan menyokong minyak kelapa sawit Malaysia.  Sekiranya Malaysia tidak memilih Rafale, industri kelapa sawit Malaysia akan menjadi mangsa serangan dari kiri dan kanan.  Britain tidak akan dapat mempengaruhi isu kelapa sawit kerana isu Brexit.  Perancis juga menawarkan pakej pinjaman dan ianya pinjaman 10 tahun daripada sebuah bank komersial Perancis dan dijamin oleh Kerajaan Perancis".

Pandangan Peribadi
Perasaan saya bercampur baur dalam hal ini di mana Perancis hampir pasti mendapat kontrak ini.  Rafale adalah pilihan peribadi saya.  Tetapi saya juga risau dengan kos pengoperasian. 

Dari segi keupayaan, pesawat Rafale adalah jauh lebih berupaya malahan berbanding dengan pesawat SU30MKM kita.  Malahan saya berpendapat bahawa pesawat Rafale boleh menggantikan pesawat SU30MKM dalam jangka masa panjang.

Ini tetap meninggalkan lompang dalam pertahanan ruang udara negara kerana saya percaya MiG29N sepatutnya digantikan pesawat jenis tier kedua lain, seperti Super Hornet, ataupun sekiranya terpaksa, FA50 buatan Korea Selatan.

Namun begitu, saya hanya boleh berkongsikan pandangan saya dan cuba meyakinkan merekan yang berkuasa.  Asalkan keperluan ini dipenuhi dan mereka yang berkuasa memastikan TUDM yang berkhidmat demi Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong boleh terus terbang dan mempertahankan negara kita yang tercinta.

Perlu saya ingatkan bahawa jika penggantian pesawat MiG29N terus ditunda, akan memaksa TUDM untuk terus menggunakan pesawat BAe Hawk 108 dan BAe Hawk 208 walaupun pesawat tersebut telah mengalami kemalangan tahun lepas yang mengorbankan 2 orang juruterbang tempur yang amat berpengalaman.  Hanya selepas pesawat untuk program MRCA diputuskan, barulah pengganti bagi Hawk 108 boleh dipilih.


Bacaan Tambahan

Peruntukan Pertahanan 2018 - Mangsa Mainan Politik Keji

1 comment:

  1. BERITA BAIK! BERITA BAIK!

    Untuk memperkenalkan diri dengan betul,
    Nama saya ibu SUSAN [SYARIKAT PINJAMAN SUSAN BOWMAN]

    Saya seorang pemberi pinjaman swasta, syarikat saya menyediakan pinjaman semua jenis dengan kadar faedah 2% sahaja. Ia adalah peluang kewangan di langkah pintu anda, memohon hari ini dan mendapatkan pinjaman cepat anda.

    Terdapat ramai di luar mencari peluang atau bantuan kewangan di seluruh tempat dan masih, tetapi mereka tidak dapat mendapatkannya. Tetapi ini adalah peluang kewangan di langkah pintu anda dan dengan itu anda tidak mampu untuk melepaskan peluang ini.
    Perkhidmatan ini menjadikan kedua-dua individu, syarikat, lelaki dan wanita perniagaan.
    Jumlah pinjaman tersedia antara jumlah pilihan anda untuk maklumat lanjut hubungi kami melalui e-mel:

    Susanbowmanloancompany@gmail.com

    ReplyDelete