Search This Blog

Saturday, February 8, 2020

Ops Daulat - Harga Sebuah Keamanan - Bahagian Pertama

Harga sebuah keamanan bukan sahaja wang ringgit untuk memastikan sesebuah negara itu mempunyai kelengkapan aset persenjataan secukupnya untuk mempertahankan diri, tetapi darah, keringat dan tangisan mereka yang tersayang. Dalam hal ini, tiada satu kisah yang lebih sedih berbanding kisah lain. Namun, peredaran masa menjadikan kisah mereka sekadar statistik. Bagi memastikan legasi mereka terus kekal, inilah kisah mereka, kisah perjuangan mempertahankan negara dari anasir-anasir yang ingin membawa kehancuran kepada negara kita.


Permulaan
Untuk memahami konflik pencerobohan Sabah oleh militan Filipina, adalah lebih adil sekiranya kita mengetahui asal-usul kepada konflik ini terlebih dahulu. 

Sabah atau Borneo Utara dipercayai telah jatuh ke bawah penguasaan empayar Brunei di era Sultan Muhammad Shah (Raja Awang Alak Betatar) sekitar seawal-awal tahun 1363 - 1402. Anakanda baginda, Puteri Ratna Dewi dikatakan telah dikahwinkan dengan seorang pedagang Cina bernama Ong Sum Ping yang dikatakan kemudiannya ditabalkan menjadi Pengiran Maharaja Lela. Perkahwinan ini menggambarkan bahawa Kesultanan Brunei telahpun menguasai sekurang-kurangnya kawasan di sekitar Sungai Kinabatangan kerana Ong Sum Ping dikatakan mengetuai sebuah penempatan di situ. Nota: terdapat percanggahan sama ada Ong Sum Ping ditabalkan menjadi Pengiran Maharaja Lela atau sebaliknya.  Tetapi sumber rasmi kerajaan Brunei mengiktirafkan Ong Sum Ping sebagai individu yang penting dalam sejarah Kesultanan Brunei.


Perang Saudara Brunei
Sultan Brunei ke-12, Sultan Muhammad Ali menemui ajal apabila dibunuh oleh Sultan Abdul Hakul Mubin pada tahun 1661 dalam satu rampasan kuasa. Rampasan kuasa tersebut menyebabkan berlakunya Perang Saudara Brunei yang berlarutan sehingga tahun 1673, apabila baginda pula mati dibunuh Sultan Muhyiddin, anakanda kepada Sultan Muhammad Ali. 

Dalam perang saudara tersebut, Sultan Muhyiddin telah memohon bantuan daripada kesultanan Sulu dan menjanjikan bahagian timur Sabah sebagai habuan. Namun, kesultanan Sulu dikatakan gagal muncul dalam pertempuran di Pulau Cermin dan hanya muncul selepas kekalahan Sultan Abdul Hakul Mubin, menyebabkan Sultan Muhyiddin murka dan enggan memberikan kepada kesultanan Sulu habuan yang dijanjikan. Dikatakan, sepanjang sejarah kesultanan Brunei, wakil kesultanan Sulu yang cuba memohon menghadap Sultan Brunei untuk menuntut wilayah tersebut telah dihalau sebanyak dua kali.

Syarikat Berpiagam Borneo Utara
Kesultanan Sulu terus-menerus cuba menuntut wilayah tersebut dan mereka mendapat peluang apabila Baron Gustav Von Overbeck dan Alfred Dent bertindak memohon pajakan untuk membuka tanah di Sabah untuk kegunaan perdagangan mereka daripada Sultan Brunei. Bagi mengelakkan gangguan daripada kesultanan Sulu, dikatakan Alfred Dent dinasihatkan mendapatkan pajakan daripada Kesultanan Sulu. Akibat tindakan ini, menyebabkan berlaku pajakan bertindih ini.

Zaman Penjajahan Jepun - Gerila Kinabalu dan Sulu 
Dari segi sejarah, bukannya kesultanan Sulu tidak cuba mendapatkan balik wilayah tersebut. Semasa penjajahan Jepun, gerila Sulu turut menentang Jepun di Sabah. Antara mereka yang berjuang bersama gerila Sulu adalah Tun Datu Mustapha bin Datu Harun, Ketua Menteri Sabah ketiga (1967 - 1971).

Namun, gerila Sulu gagal melibatkan diri dalam aktiviti penentangan paling besar yang berlaku di Sabah, iaitu peristiwa Double Tenth yang dilakukan oleh Gerila Kinabalu di bawah Kapt Albert  Kwok Feng Nam pada 10 Oktober 1943. Serangan tiba-tiba Gerila Kinabalu telah berjaya merampas Api-Api dan Jesselton (Kota Kinabalu hari ini). Gerila Sulu telah menjanjikan bekalan senjata dan peluru hanya sampai selepas Gerila Kinabalu terpaksa berundur ke Penampang. Kesemua 200 orang Gerila Kinabalu termasuk Kapt Albert Kwok dihukum pancung di dua lokasi, di Labuan dan di Petagas. 

Kapt Albert Kwok Feng Nam - Tabib Cina dari Kuching yang menyertai OSS.

Tuntutan Filipina ke atas Sabah - Dari OpLan Merdeka ke Tercetusnya Perang Selatan Filipina
Filipina beranggapan bahawa legasi Kesultanan Sulu adalah sebahagian daripada Filipina dan seharusnya mereka mendapatkan kembali Sabah ke pangkuan Filipina. Memandangkan menggunakan kuasa ketenteraan terus untuk mendapatkan Sabah tidak sesuai dan boleh dipandang serong, kepimpinan Filipina telah merancang satu operasi untuk melatih pemuda Sulu untuk menyelinap masuk ke dalam Sabah bagi memulakan gerakan penentangan terhadap Malaysia. Pemuda-pemuda ini kemudiannya akan menjadi pencetus kepada gerakan penentangan yang akan 'memohon' bantuan antarabangsa bagi 'menyelamatkan' mereka daripada penjajahan Malaysia. Dikatakan apabila pemuda-pemuda tersebut mendapat tahu sasaran Oplan Merdeka tersebut adalah Sabah yang sudah berada di bawah Malaysia ketika itu, mereka telah membantah untuk dipergunakan. Ditambahkan dengan gaji mereka yang dirampas oleh para pegawai mereka, mereka melancarkan dahagi. Bagi mengelakkan perancangan tersebut didedahkan, maka kesemua pemuda tersebut telah dibunuh dalam satu insiden bergelar Jabedah Massacre atau nama lain Corregidor Massacre. Salah seorang pemuda tersebut berjaya melarikan diri dan ini membawa kepada bermulanya pemberontakan Moro melalui Moro National Liberation Front (MNLF). Nota: Kerajaan Filipina pernah mengemukakan bukti bahawa Jabedah Massacre tidak pernah berlaku dengan mengemukakan salah satu 'mangsa' pembunuhan tersebut sebagai bukti. Sama ada sahih atau tidak tidak dapat dipastikan. Apapun, mantan Presiden Filipina ke-15, Benigno Aquino III telah memohon maaf kepada orang Moro atas tragedi tersebut.

Pelarian Perang Saudara
Apabila Moro National Liberation Front mula mengangkat senjata, Selatan Filipina terjerumus dalam konflik peperangan saudara yang menyaksikan ramai penduduk kawasan tersebut melarikan diri ke Sabah untuk mendapatkan tempat perlindungan. Pada asalnya, kehadiran mereka di situ cumalah sebagai pelarian. Namun, terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab yang telah memberikan kerakyatan kepada golongan pelarian ini dalam satu skandal yang kita kenali hari ini sebagai Projek IC. 

Akan Sambung ke Ops Daulat - Mereka yang Terlibat - Bahagian Kedua

Siri rencana ini ditulis sebagai tribute kepada pegawai-pegawai dan anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban dalam Op Daulat dalam mempertahankan negara daripada ancaman penceroboh dari Filipina, khususnya kepada arwah ACP Ibrahim Lebar dan keluarga, yang mana saya mengenali isteri arwah semasa di tempat kerja lama.  Tak lupa juga kepada arwah Korporal Azrul Tukiran dan keluarga yang kini rapat seperti keluarga sendiri.  Semoga Tuhan merahmati keluarga mereka. 

Nota:
Gambar-gambar dari sumber internet.

No comments:

Post a Comment