Search This Blog

Tuesday, August 15, 2017

Antara Tugas dan Nama

Nama Ahmad Shah Massoud suatu ketika dahulu pernah meniti bibir rakyat Malaysia, terutamanya antara mereka yang beragama Islam dan mengambil berat mengenai isu penjajahan Kesatuan Soviet Rusia ke atas negara Afghanistan. 

Kehebatan beliau sebagai seorang tactician medan dan keberaniannya berhadapan dengan musuh membawa kepada gelaran Singa Panjshir.



Sebelum berlakunya rempuhan pesawat awam ke bangunan Pusat Dagangan Sedunia di Kota New York, Ahmad Shah Massoud didatangi satu kru rakaman berita yang ingin menemubual beliau.

Beliau yang bersetuju untuk ditemubual itu kemudiannya didatangi ketiga-tiga kru rakaman berita itu; seorang jurukamera, seorang penata cahaya dan seorang pemberita.

Di kala mereka merapati Ahmad Shah Massoud, jurukamera kumpulan tersebut menganggukkan kepalanya kepada rakan-rakannya tanda misi mereka sudah tercapai, lalu menekan tombol yang dipasangkan pada kamera palsu yang dibawanya.

Letupan tersebut mengorbankan dua daripada kumpulan pembunuh tersebut, manakala seorang lagi cedera parah ditembak mati ketika cuba melarikan diri. 

Seorang orang bawahan Ahmad Massoud turut terkorban, manakala Ahmad Massoud pula mengalami kecederaan parah. Beliau menghembuskan nafas terakhir semasa dalam perjalanan ke sebuah hospital medan milik Tentera India.

Singa Panjshir yang begitu digeruni musuh menjadi korban kelalaian pengawal peribadi Ahmad Shah Massoud memeriksa peralatan yang dibawa oleh kumpulan pemberita tersebut.

Kematian Ahmad Shah Massoud diratapi rakyat Afghanistan dan sehingga ke hari ini, Afghanistan menyambut tarikh 9 September sebagai hari Massoud.

Kebebasan media adalah satu penanda aras keterbukaan sesebuah negara. Antara kayu ukur dalam hal ini adalah hubungan antara pemimpin sesebuah negara dengan media.

Namun dalam menimbang sama ada kebebasan media ataupun keselamatan pemimpin adalah lebih penting, keselamatan pemimpin tersebut adalah jauh lebih penting berbanding kejayaan mendapat liputan yang diharapkan.

Ini bukan isu protokol. Ini isu keselamatan pemimpin negara.

Tugas sebagai pengamal media, sama ada arus perdana mahupun alternatif, adalah menyampai maklumat kepada marhaen. Medan ini bukan untuk kita mengukir nama, tetapi sebagai penyampai wadah.

Mereka bergelar BG kerana jika perlu, badan dan nyawa mereka bergalang ganti demi pemimpin negara yang dikawal.

Dan tugas kita bukan menyusahkan mereka yang sedia ada menjalankan tugas mereka.

Apakah tujuan kita sebagai pengamal media alternatif ini sebagai mencari nama? 

Atau kerana kita ingin membantu menjadi penyebar maklumat yang sah? Tepuk dada, tanya selera.

No comments:

Post a Comment