Apabila beberapa pihak yang dikatakan rapat dengan kumpulan-kumpulan berhaluan kiri merapati kerajaan untuk meminta kerajaan meneliti semula sukatan pelajaran mata pelajaran sejarah negara, perkembangan ini telah menyebabkan kumpulan-kumpulan berhaluan kanan risau bahawa terdapat percubaan untuk mengubah sejarah negara. Apatah lagi dengan kerajaan hari ini terdiri daripada individu-individu yang lebih rapat dengan puak haluan kiri, sudah tentu seruan tersebut meningkatkan kerisauan puak haluan kanan bahawa naratif sejarah negara akan ditukarkan untuk memperlihatkan seolah-olah perjuangan ke arah kemerdekaan negara hanya berjaya kalau ada sumbangan daripada puak haluan kiri dan penglibatan puak haluan kiri dalam pergerakan pengganas pula akan dilenyapkan.