Sekiranya anda dalam perjalanan ke Bukit Bendera, Pulau Pinang, anda
akan melintasi struktur ini yang terletak di Bulatan Air Itam. Sebuah
tugu berbentuk lori Dodge digambarkan ditolak oleh beberapa orang lelaki yang
mempunyai raut wajah Cina. Dengan hanya tulisan Cina di tugu utama ini,
kehadiran tugu ini membangkitkan kontroversi kerana disalah anggap sebagai
suatu tugu yang telah dibina untuk mengagungkan pengganas komunis.
Pandangan pertama kebanyakan pengunjung. |
Sejarah negara kita bukanlah sehitam dan seputih yang diinginkan
kebanyakan rakyat Malaysia. Mungkin sebab kerana bagaimana sejarah diajar
di sekolah-sekolah dan bagaimana Kementerian Pelajaran menstrukturkan
matapelajaran sejarah kita, maka banyak perkara yang telah diabaikan ataupun
lebih tepat, kurang diberi perhatian. Ini diburukkan lagi dengan tugu itu
hampir sepenuhnya ditulis dalam Bahasa Cina.
Sejarah di Sebalik Tugu
Sebelum Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, orang Cina yang berada di
Tanah Melayu tidak diiberikan langsung hak sebagai rakyat kerana sekadar
pekerja asing yang dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di sektor
perladangan dan perlombongan. Itu tidak menjadi masalah kepada orang Cina
ketika itu kerana kepada mereka ketika itu, tanahair adalah Zhungguo atau
Tongsan, bergantung kepada dialek yang dituturkan.
Taat setia mereka pula bukanlah kepada Raja-Raja Melayu di negeri mereka
menyara diri, tetapi kepada kerajaan pusat di China. Jiwa patriotisme
wujud, tetapi bukan kepada Tanah Melayu.
Taat setia ini dizahirkan bukan sahaja melalui sistem sekolah vernakular
yang wujud ketika itu yang menggunakan sukatan pelajaran dari China, tetapi
juga dari segi penyertaan politik. Cina di Tanah Melayu menduduki tempat
teristimewa dalam sejarah China kerana menjadi antara penyumbang utama kepada
usaha Dr. Sun Yat-Sen dalam Revolusi China. Malahan, Dr. Sun Yat-Sen
dipercayai menggerakkan Revolusi China dari sebuah rumah banglo yang masih
berdiri hari ini di Jalan MacAlister, Pulau Pinang.
Oleh itu, apabila Perang antara China dan Jepun meletus akibat peristiwa
Jambatan Marco Polo, para peniaga Cina di Tanah Melayu dan Singapura telah
mengumpulkan dana untuk membantu usaha China menentang Jepun. Dari
seluruh Tanah Melayu dan Singapura, hampir 3,000 pemuda telah menjadi
sukarelawan kepada Tentera Nasionalis China. Antara mereka yang menjadi
sukarelawan ini adalah Tan Chong Tee, bekas pemain badminton terkemuka dari Singapura
yang kemudiannya dipilih menyertai Operation Gustavus bersama dengan Lim Bo
Seng.
Namun, bilangan sebenar mungkin lebih tinggi kerana 3,000 pemuda ini
adalah dari kalangan mereka yang kemudiannya menjadi sukarelawan kepada pasukan
logistik kepada Tentera Nasionalis China. Ada pemuda Cina Tanah Melayu
dan Singapura yang diterima masuk dalam Tentera Nasionalis China sebagai
pegawai dan anggota unit tempur kerana memiliki sijil persekolahan sekolah Cina
yang diiktiraf kerajaan Nasionalis China ketika itu.
Sebagai sukarelawan unit logistik, mereka bertindak membawa lori dari
sejauh Cox's Bazaar dan Mandalay sehingga ke Kunming di China. Mereka
bukan sahaja berhadapan dengan jalan yang sukar dan belum diterokai, tetapi
juga berhadapan dengan ancaman serangan dari Tentera Jepun. Lori yang
digunakan pula adalah dari jenama Dodge, dan ini dizahirkan pada tugu yang
terletak di hadapan SJK(C) Kong Min Center yang dipertanggungjawabkan untuk
menjaga tugu tersebut.
Lori Dodge yang digunakan di jalan-jalan hutan di Burma. |
Selepas tamatnya perang, mereka yang masih hidup kemudiannya kembali ke
Tanah Melayu. Terdapat juga antara mereka yang terus tinggal di
situ. Antaranya dua sepupu angkat kepada Datuk Sri Leong Chee Woh,
pengasas kepada Pasukan F Cawangan Khas.
Selepas tamat perang, pertubuhan-pertubuhan Cina di Pulau Pinang telah
menyelongkar seluruh pulau tersebut dan menemui sehingga 800 mayat yang sama
ada terbiar ataupun tak disempurnakan. Mayat-mayat ini dikumpulkan dan
dibakar sebelum abu mayat tersebut disemadikan di tugu ini.
Tragedi di sebalik Tragedi
Apabila menceritakan politik Cina di Malaysia, khususnya di Semenanjung
Malaysia, kita tidak boleh lari daripada menceritakan evolusi politik
Cina.
Seperti disebutkan tadi bahawa taat setia Cina Tanah Melayu ketika
Perang Dunia Kedua adalah kepada China. Jadi tidak hairanlah bahawa
pengaruh politik China turut meresap di kalangan penduduk Cina di Tanah Melayu.
Politik China diwarnai 2 kelompok utama yakni nasionalis yang menubuhkan
Parti Nasionalis China atau Kuomintang, dan Parti Komunis China yang berfahaman
komunis. Kedua-dua parti mempunyai syak wasangka antara satu sama lain
tetapi ini tidak menghalang Kuomintang untuk menerima anggota Parti Komunis
China memasuki parti tersebut dalam usaha membangunkan China.
Namun, penyertaan Parti Komunis China di dalam Kuomintang itu cumalah
sekadar untuk menyebar pengaruh fahaman komunisme. Langkah tersebut
selari dengan keputusan yang dibuat dalam Kongres Komunis Antarabangsa ke-enam
yang turut menggariskan langkah kepada parti-parti komunis untuk bekerjasama
dengan parti-parti aliran nasionalis di negara masing-masing untuk membesarkan
pengaruh masing-masing sebelum menggerakkan revolusi bersenjata.
Akibatnya, anggota-anggota komunis Parti Komunis China berjaya membuka
cawangan Parti Komunis Nanyang (Nanyang bermaksud Tenggara) yang memasuki
Singapura dan Tanah Melayu dengan berselindung di sebalik identiti
Kuomintang.
Hubungan antara Parti Komunis China dan Kuomintang merenggang sehingga
tercetusnya Perang Saudara China pada tahun 1927. Pada masa sama, Parti
Komunis Nanyang dimansuhkan dan digantikan dengan Parti Komunis Malaya bagi
mengembangkan usaha Commintern (Communist International) mengganggu ekonomi di
Tanah Melayu, dengan harapan, gangguan ekonomi di Tanah Melayu ini akan
menyebabkan lebih ramai penduduk tempatan yang berhadapan dengan kemiskinan
akan mudah terpengaruh dengan ideologi komunisme. Ini akan memudahkan
usaha mereka menubuhkan sebuah kerajaan komunis di Tanah Melayu yang merdeka
daripada penjajahan barat, tetapi di bawah telunjuk Communist
International. Langkah yang dikatakan dicadangkan oleh Vladimir Ilyich
Lenin itu dikatakan untuk melemahkan ekonomi negara Barat yang mempunyai
jajahan di Asia dan Afrika agar mengganggu ekonomi negara-negara tersebut
sehinggakan boleh menghasut penduduk negara Barat bangkit bersama
komunisme.
Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Parti Komunis Malaya yang ketika itu
berada di bawah Setiausaha Agung Lai Teck telah diarahkan bekerjasama dengan
Tentera Berikat bagi menentang Jepun. Tetapi pada masa sama tidak
menghalang mereka untuk meluaskan pengaruh mereka di kalangan penduduk Cina
tempatan.
Disebabkan kebanyakan penyokong Kuomintang sama ada telah menyertai
pasukan Tentera Nasionalis China atau telah menyertai pasukan sukarelawan di Burma,
bilangan anggota Kuomintang yang menjadi sukarelawan dalam Overseas Chinese
Anti-Japanese Army (OCAJA) lebih sedikit berbanding mereka yang menyertai
Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA).
Selepas Jepun menjajah Tanah Melayu, kedua-dua OCAJA dan MPAJA turut
menjadi sebahagian daripada ketumbukan di bawah Force 136. Namun,
kegagalan Operation Gustavus menyaksikan Lim Bo Seng dan pasukan OCAJA di bawah
beliau ditangkap Jepun. Ini menyebabkan pasukan OCAJA terputus hubungan
dengan Force 136. Peluang ini diambil oleh PKM untuk menghapuskan
unit-unit kecil OCAJA dengan menggunakan anggota-anggota MPAJA yang telah
diindoktrinasikan dengan fahaman komunis. Operasi-operasi anti-OCAJA yang
dilaksanakan MPAJA ini dilakukan tanpa pengetahuan Force 136. Terhapusnya
ancaman OCAJA kepada MPAJA menyebabkan orang Cina yang hendak menentang Jepun
hanya mempunyai satu pilihan sahaja, iaitu dengan menyertai MPAJA, dan ini
adalah tragedi di sebalik tragedi.
Hari ini, sekiranya sejarah Perang Dunia Kedua dibangkitkan, kebanyakan
rakyat Malaysia cuma pernah mendengar 'usaha' MPAJA bersama Force 136 menentang
Jepun. Tetapi sejarah unit seperti Askar Wataniah Pahang serta OCAJA
terus terpendam begitu sahaja.
Begitu juga sejarah bagaimana kepimpinan MPAJA, antaranya Lai Teck dan
Chin Peng pernah berunding dengan Ibrahim Yaacob untuk bergabung tenaga bagi
menentang pendaratan Tentera Berikat di Morib. Rancangan tersebut
digagalkan apabila Lai Teck menolak rancangan tersebut di saat-saat terakhir.
Keputusan tersebut menyaksikan kembalinya British ke Tanah Melayu. Chin
Peng ketika itu sudahpun bersedia mengambil langkah untuk mennghapuskan
anggota-anggota Force 136 yang ditumpangkan dengan pasukan MPAJA.
Namun, keputusan yang sama itu mengundang padah kepada hampir 400 orang
anggota Tentera Jepun yang berpaling tadah dan menyertai PKM kerana ingin
membantu PKM menentang British. Menurut Chin Peng dalam bukunya,
disebabkan 400 orang ini cuma fasih berbahasa Jepun, dan PKM tidak boleh
menyembunyikan mereka, kesemua 400 orang anggota Jepun itu telah dibunuh dan
dikuburkan di lokasi rahsia di hutan Perak.
MPAJA - Kontroversi
Amat senang bagi kita melabelkan bahawa MPAJA itu adalah PKM dan PKM
adalah MPAJA. Kenyataan ini adalah bersifat kontroversi. Bukan
semua MPAJA itu adalah berfahaman komunis. Ramai antara mereka terpaksa
berjuang bersama komunis atas sebab-sebab di atas. Dan ramai antara
mereka gagal diindoktrinasikan oleh PKM sepenuhnya. Sebaliknya, apabila
tercetus Darurat pada tahun 1948, salah satu alasan yang digunakan untuk
mempergunakan mereka menentang kerajaan adalah bahawa British telah menipu
mereka wang yang dijanjikan sebagai gaji semasa perang.
Ramai anggota Malayan National Liberation Army (MNLA) yang menyerah diri
antara tahun 1948 sehingga 1955 bukan sahaja berjaya dipulihkan kembali ke
masyarakat, tetapi juga telah menyertai pasukan keselamatan untuk menghapuskan
ancaman yang datang daripada rakan-rakan mereka terdahulu, sama ada sebagai
anggota polis di bawah Special Operations Volunteer Force (SOVF) yang
berkekuatan 2 batalion dan ditempatkan di bawah Pasukan Polis Hutan, dalam
Cawangan Khas, dan juga dalam Rejimen Peninjau Persekutuan.
Dinding yang diukirkan peringatan kepada usaha mereka. |
Kerakyatan
Taat setia orang Cina selepas tamat Perang Dunia Kedua masih lagi kepada
China. Malahan, terdapat lagi orang Cina Tanah Melayu yang cuba menyertai
Tentera Nasionalis China pada masa ini. Antaranya adalah mendiang Tan Sri
Yuen Yuet Leng. Beliau telah ke negara China untuk menyertai Tentera
Nasionalis China. Tetapi setelah melihat kedaifan China ketika itu,
beliau membuat keputusan untuk kembali ke Tanah Melayu. Tidak lama
selepas itu, beliau menyertai Polis Tanah Melayu yang ketika itu amat
memerlukan rekrut baru. Sebagai rekod, ketika beliau menyertai Polis
Tanah Melayu, beliau belum lagi mendapat taraf kerakyatan, menjadikan Polis
Tanah Melayu satu-satunya laluan kepada bukan Melayu untuk berkhidmat menentang
komunis ketika itu.
Namun, dengan tumbangnya kerajaan Nasionalis di Tanah Besar China dan
berpindah ke Taiwan pada tahun 1949, orang Cina di Tanah Melayu berhadapan
dengan persoalan apakah China masih lagi boleh dianggap sebagai tanahair.
Realiti yang cukup pedih itu mengejutkan orang Cina untuk memikirkan taat setia
mereka.
Taat setia orang Cina cuma mula berubah dari China ke Tanah Melayu
selepas diberi peluang untuk mendapatkan kerakyatan dalam Persekutuan Tanah
Melayu. Peluang kerakyatan itu turut membuka peluang kepada Cina dan
India untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia. Bagi Tan Sri Yuen,
barulah usaha beliau menentang komunis nampak berbaloi. Malahan ketika
itu, beliau sudahpun pernah ditembak sehingga parah dengan sekurang-kurangnya
sebutir peluru dalam badannya ketika menerima hak kerakyatan Tanah Melayu.
Hari Ini
Walaupun tugu-tugu ini pernah membawa kontroversi akibat
disalah-ertikan, adalah afdal bagi tugu-tugu ini dibiarkan berkekalan di lokasi
tersebut. Apatah lagi tugu tersebut juga merupakan tempat persemadian
terakhir 800 orang yang nama mereka sudah hilang ditelan zaman.
Tambahan pula, sejarah di sebalik tugu ini adalah sejarah yang
sepatutnya dikongsikan bersama. Apakah kerana implikasi bahawa orang Cina
ketika Perang Dunia Kedua mempunyai taat setia kepada negara lain menjadi punca
kisah ini tidak mendapat perhatian? Atau adakah kerana tugu ini
menyaksikan sumbangan Kuomintang yang cuba dipadamkan oleh penyokong
komunisme?
Mungkin kita tidak akan dapat tahu sebab sebenarnya sampai bila-bila.
Sumber (Tidak mengikut susun atur):
- Pemberontakan Bersenjata
Komunis di Malaysia, edisi Kedua, Mohd. Reduan Haji Asli, DBP.
- Alias Chin Peng: My Side of
History.
- Scorpio in the Dragon's
Playground, Datuk Dr. Leong Chee Woh.
- Memoirs of the Malaysian
Armed Forces Veterans, MACVA.
- Our Man in Malaya - John
Davis, Margaret Shennan.
- Malayan Spymaster - Memoirs
of a Rubber Planter, Bandit Fighter and Spy, Boris Hembry.
- Red Star Over Malaya, Cheah
Boon Kheng.
- Force 136 - Story of a
World War II Resistance Fighter, Tan Chong Tee.
- War of the Running Dogs:
Malaya 1948 - 1960, Noel Barber.
- Nation Before Self: and
Values that do not Die, Tan Sri Yuen Yuet Leng
No comments:
Post a Comment