Search This Blog

Sunday, August 25, 2019

"Biar putih tulang, jangan putih mata!" Walau baju terbakar, polis Bukit Kepong dan keluarga di bawah pimpinan Sjn Jamil rela mati berjuang daripada menyerah kalah kepada petualang.

Pertempuran Balai Polis Bukit Kepong merupakan antara tragedi hitam yang mewarnai sejarah negara. Tragedi yang berlaku pada 23 Februari 1950 itu menjadi titik hitam negara, terutamanya bagi Polis Diraja Malaysia di mana sepasukan polis tumbang di tangan pengganas komunis. Pertempuran tersebut yang turut dikenali dengan gelaran "The Malayan Alamo" itu menyaksikan bagaimana sebuah balai polis terpencil musnah di tangan "pejuang kemerdekaan".



Hari ini, terdapat juga manusia-manusia yang bergelar rakyat Malaysia yang sudah tentunya tidak perlu mengangkat senjata mempertahankan negara dan keluarga mereka dengan senang lenang menuduh pasukan polis yang tumbang di Bukit Kepong itu adalah Polis British dan tidak lupa juga ada yang menuduh berita kekejaman komunis itu cuma sebahagian daripada propaganda untuk mencalitkan imej Parti Komunis Malaya.

Mungkin salah penulis buku teks sejarah negara yang gagal menulis dengan jelas bahawa selepas tumbangnya Malayan Union, kerajaan Tanah Melayu sudah beralih ke tangan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan bukan lagi di tangan British. Taat setia Rejimen Askar Melayu dan Polis Tanah Melayu ketika itu kepada Majlis Raja-Raja Melayu, bukannya Ratu Bonda Britain seperti difahami rakyat Malaysia hari ini.

Balai Polis Bukit Kepong
Balai Polis Bukit Kepong ketika itu berada diketuai oleh Sjn Jamil. Balai polis tersebut pula berada di bawah kawasan Pagoh yang ketika itu di bawah OCPD JJ Raj (Jr) (kini Dato').

Pada 22 Februari, JJ Raj baru sahaja membuat lawatann ke Balai Polis tersebut dan kata-kata terakhir Sjn Jamil kepada JJ Raj adalah "Jangan risau Tuan OCPD, biar putih tulang, jangan berputih mata.".

Dato' JJ Raj, OCPD Pagoh bergambar bersama Sjn Jamil dan pasukan, kurang 24 jam sebelum pertempuran

Tidak sampai 24 jam selepas JJ Raj meninggalkan Balai Polis Bukit Kepong, dia kembali ke lokasi untuk melihat kemusnahan yang dilakukan komunis.

Rekod filem Bukit Kepong sebenarnya tidak merekod sepenuhnya kekejaman komunis itu sendiri. Hanya yang ditunjukkan adalah kekejaman terhadap anggota polis, ahli keluarga mereka dan orang awam. Tetapi dalam pertempuran Bukit Kepong, kesemua anggota PKM yang terkorban telah dipancung dan dipotong tangan mereka manakala mayat ditinggalkan di situ; tangan dan kepala dipotong untuk dikebumikan manakala mayat ditinggalkan kerana sukar dibawa masuk kembali ke kem mereka. Tangan dan kepala dipotong juga untuk mengelakkan identiti mayat dikenalpasti. Lebih teruk, anggota PKM yang parah turut menerima nasib sama.

Dalam filem Bukit Kepong, turut dipaparkan bagaimana isteri dan anak polis turut dibunuh dengan dibuang ke dalam bangunan yang terbakar. Mungkin ada yang merasakan itu adalah omong-omong propaganda sahaja. Selepas anda membaca kisah ini yang digarapkan daripada seorang pengganas yang berjaya ditangkap, anda akan ada pandangan berbeza.


Perspektif Komunis
Kisah ini dicatat oleh Brian Stewart dalam bukunya bertajuk Smashing Terrorism in the Malayan Emergency terbitan Pelanduk Publication pada tahun 2004.

Kisah berikut diperoleh daripada kenyataan Ching Moit Chai (umur 43), anggota Kompeni Bebas ke-4, Malayan Race Liberation Army (nama lain PKM)

“Saya salah seorang anggota kumpulan yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Kami memilih balai ini sebagai sasaran kerana kedudukannya yang terpencil, dan tiada hubungan radio dengan balai lain serta kami ingin meningkatkan prestij kami di kawasan tersebut.

Terdapat seramai 200 orang dalam kumpulan kami dan kami tahu hanya terdapat 20 orang Melayu yang mengawal balai polis tersebut.

Kami mengepung balai tersebut pada jam 0400. Kami memilih masa tersebut kerana menjangkakan bahawa sentri akan tidur. Tepat jam 0430, bugle dibunyikan dan serangan kami dimulakan. Kami menembak balai tersebut dari semua arah. 

Serta-merta kami mendapat tembakan balas yang padu. 
Saya berada dalam pasukan yang menyerang hadapan balai polis dan saya boleh lihat anggota polis mengambil kedudukan pertahanan. Mereka dibahagikan kepada dua seksyen. Seksyen pertama mengawal pertahanan di bawah balai menggunakan dua pucuk Bren gun dan satu lagi seksyen bertahan di bilik operasi di atas.

Beberapa orang, saya tak pasti bilangan, mempertahankan berek kelamin di belakang balai. Kebanyakan persenjataan kami terdiri daripada senjata automatik tetapi beberapa orang bersenjatakan rifle dan grenade.

 Tentangan paling hebat terhadap serangan kami datang dari kubu pertahanan bawah balai di mana terletaknya kedudukan Bren Gun. 

Kami menumpukan serangan di situ dan selepas sejam, tembakan balas di situ berhenti. Kami kemudiannya mendapat arahan untuk menyerbu depan balai. Kami memasang bayonet dan menyerbu, tetapi tembakan balas terlalu hebat sehingga memaksa kami berundur untuk mengatur semula serangan. 

Dalam serangan itu, dua orang komrad kami terbunuh dan beberapa orang lain tercedera.

Kami terus menyeru polis untuk menyerah diri dan berjanji untuk tidak mengapa-apakan mereka. Mereka tidak mengendahkan kami dan meningkatkan penentangan mereka. 

Pada masa sama, beberapa orang komrad saya cuba memecah masuk dari bahagian tepi balai polis tetapi ditentang hebat dan beberapa orang komrad terbunuh..

Apabila hari menjelang siang, kami dapat melihat kemusnahan dengan lebih jelas. Saya boleh nampak beberapa polis yang sudah mati di bawah balai. 

Ketua mereka, Sjn Jamil sudah tewas di sisi selaras Bren gun. Kami menerima arahan untuk menyerbu - kami lakukan beberapa kali, setiap kalinya kami gagal, jadi kami berundur dan sekali lagi kami menyeru mereka yang berada di dalam balai untuk menyerah diri. 

Ketua kami mula hilang sabar dan dia mengarahkan kami menyerang berek kelamin yang merupakan kedudukan pertahanan paling lemah. Mereka tidak dapat mempertahankan kedudukan tersebut dengan baik dan kami berjaya menembusi pertahanan di situ. 

Isteri salah seorang polis cuba melarikan diri ke balai tetapi berjaya ditahan komrad saya. Mereka meminta dia berjalan ke balai dan menyeru polis di situ untuk menyerah diri. Dia engkar dan dia memberitahu komrad saya bahawa cuma tinggal dua orang yang masih hidup di kuarters kelamin, iaitu isteri seorang polis dan anak perempuannya. 

Komrad saya menembak isteri polis yang mereka tangkap tadi dan memanggil mereka yang berada di dalam kuarters kelamin untuk menyerah diri. 

Dia engkar dan menjerit bahawa dia dan anak perempuannya lebih rela mati. Jadi komrad saya membakar kuarters kelamin itu dan membakar mereka hidup-hidup. Kemudian mereka membuang mayat isteri polis yang mereka tembak tadi ke dalam bangunan yang terbakar itu.

Terdapat sebuah bot yang diikat di belakang balai dan dipertahankan seorang polis marin sehingga dia terbunuh. Dia boleh lari tetapi tidak berjaya.

Kami berjaya memasuki halaman balai dan menyerbu dari arah depan dan tepi. Kami berjaya merapati sehingga sampai jarak balingan bom tangan dan membaling beberapa butir bom tangan ke dalam bilik operasi. 

Kemudian komrad saya membakar tepi balai. Sekumpulan beberapa orang anggota polis menyerbu keluar dari depan balai sambil melepaskan tembakan. Kelihatan beberapa orang yang pakaian mereka sudah terbakar. 

Isteri mereka turut keluar, dan selepas kami menembak suami mereka, mereka mengambil senjata kami dan terus menembak kami. Kami berjaya menembak mereka semua dan kemudiannya kami buang ke dalam bangunan yang sedang terbakar. 

Ada antara mereka yang masih hidup ketika mereka dibuang ke dalam bangunan yang terbakar itu. Ketika kami baru sahaja hendak meninggalkan kawasan tersebut, kami terjumpa seorang budak kecil di dalam kubu dan komrad saya membaling budak itu ke dalam api. 

Serangan itu mengambil masa 5 jam.”

Jika kisah di atas tidak membuka mata dan hati anda, saya tidak tahu apa cara lain untuk bangunkan anda.

No comments:

Post a Comment