Apabila beberapa pihak yang dikatakan rapat dengan kumpulan-kumpulan berhaluan kiri merapati kerajaan untuk meminta kerajaan meneliti semula sukatan pelajaran mata pelajaran sejarah negara, perkembangan ini telah menyebabkan kumpulan-kumpulan berhaluan kanan risau bahawa terdapat percubaan untuk mengubah sejarah negara. Apatah lagi dengan kerajaan hari ini terdiri daripada individu-individu yang lebih rapat dengan puak haluan kiri, sudah tentu seruan tersebut meningkatkan kerisauan puak haluan kanan bahawa naratif sejarah negara akan ditukarkan untuk memperlihatkan seolah-olah perjuangan ke arah kemerdekaan negara hanya berjaya kalau ada sumbangan daripada puak haluan kiri dan penglibatan puak haluan kiri dalam pergerakan pengganas pula akan dilenyapkan.
Dengan sesi persekolahan baru bermula tahun baru bermula minggu ini, kerisauan tersebut seolah-olah menjadi kebenaran apabila sesetengah pihak mula mengutarakan kegusaran mereka dengan berkongsikan buku teks sejarah Tingkatan 4 yang baru turut memuatkan sumbangan puak haluan kiri dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara.
Buku teks baru. Sumber internet |
Apabila saya mengamati gambar-gambar buku teks sejarah tersebut, reaksi awal saya adalah kebingungan. Bingung kerana gambar-gambar yang dikongsikan itu bukanlah benda baru mahupun benda tersebut diputar-belit. Malahan, benda yang sama pernah menjadi sebahagian daripada sukatan pelajaran semasa saya di bangku sekolah di bawah sistem KBSM.
Bukan untuk kita menidakkan sejarah bahawa puak haluan kiri turut terlibat dalam menyemarakkan semangat nasionalisme yang membawa kepada perjuangan kemerdekaan. Nama-nama seperti Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, dan Shamsiah Fakeh memang antara yang terlibat dalam gerakan PUTERA yang bekerjasama dengan AMCJA untuk cuba membawa agenda kiri ke British.
Mungkin kekurangan yang perlu dimasukkan adalah bagaimana sesetengah pemimpin golongan kiri ini sebenarnya berfahaman komunis yang ketika itu merancang menggulingkan British dan Raja-Raja Melayu menggunakan kaedah dua serampang, yakni kaedah sah dan kaedah militan. Penekanan terhadap kaedah sah ini dibuat kerana Setiausaha Agung PKM ketika itu adalah Lai Teck yang cuba mencapai objektif ini melalui kaedah sah. Dia yang juga merupakan ejen perisik Cawangan Khas Polis Singapura itu berkemungkinan memilih jalan ini atas 2 sebab, yakni pertama kerana arahan untuk pergerakan militan belum lagi diterima dari Commintern dan kedua kerana dia sendiri berkemungkinan lebih suka menggunakan kaedah perundingan secara sah setelah melihat tanahairnya (Vietnam Selatan) sendiri dibelenggu perang selepas Jepun menyerah diri. Serampang mata kedua pula terdiri daripada pergerakan militan yang ketika itu seramai 4,000 orang yang disembunyikan dalam kawasan hutan seluruh pelusuk Tanah Melayu, lengkap bersenjata. Kewujudan kumpulan ini tidak diketahui oleh British, termasuk Kolonel John Davis yang merupakan rakan Chin Peng ketika dalam Force 136. Kewujudan kumpulan ini tidak diketahui kerana ketiadaan agensi khusus dalam perisikan.
Berbalik kepada pergerakan kiri dan AMCJA. Salah satu pertubuhan yang wujud dalam AMCJA ketika itu adalah Pertubuhan Cina Malaya atau Malayan Chinese Association yang hari ini lebih dikenali dengan singkatannya MCA. Ketika itu, mereka bekerjasama termasuk dengan PKM kerana tidak menyedari bahawa PKM masih lagi menerima arahan dari Commintern.
Selain Tun Tan Cheng Lock yang merupakan pengerusi MCA, antara pemimpin MCA lain adalah Tun Tan Siew Sin dan Tun HS Lee. Kedua-dua Tun Tan Siew Sin dan Tun HS Lee merupakan bekas pegawai Tentera Nasionalis China yang berpaksikan kepada Kuomintang. Selaras dengan perkembangan politik di China di mana Parti Komunis China bertindak melanggar perjanjian damai dengan Parti Kuomintang, kedua-dua pemimpin Cina ini dihubungi oleh Parti Kuomintang untuk berhati-hati dengan PKM dan proksi-proksi mereka di dalam AMCJA - PUTERA. Ini adalah antara sebab kenapa pergerakan AMCJA - PUTERA kemudiannya berhenti sekitar 1947 dan berhenti sepenuhnya selepas 1948, khususnya selepas PKM dan proksi-proksi mereka diharamkan.
Kehadiran bab 6 yang menceritakan ancaman komunis dan darurat adalah bukti bahawa mereka yang menguruskan sukatan pelajaran sejarah masih berjaya menghalang sejarah negara diubah untuk kepentingan puak haluan kiri.
Kemungkinan Ralat
Namun, saya rasa tetap ada ralat di situ kerana salah satu kesilapan yang wujud dalam sukatan pelajaran adalah bahawa seolah-olah kesemua mereka yang dilabelkan sebagai komunis adalah komunis semata-mata. Dipercayai agak ramai juga puak berhaluan kiri turut dilabelkan sebagai komunis oleh pihak British yang sama ada gagal membezakan apa itu komunis dengan puak berhaluan kiri. Namun, gesaan saya ini mungkin kurang sesuai juga kerana ada antara pejuang haluan kiri ini kemudiannya didapati memang berpegang kepada ideologi komunis. Persoalannya adalah sama ada mereka diindoktrinasikan sebelum atau selepas mereka diburu British.
Satu lagi ralat yang ada dalam sukatan sejarah negara adalah mengenai siapakah yang sebenar-benarnya memulakan perundingan ke arah kemerdekaan. Dalam sukatan hari ini dan terdahulu, yang digambarkan berjaya membawa kemerdekaan kepada negara adalah puak berhaluan kanan. Tetapi, adakah mereka yang membuka langkah sebenar? Atau Majlis Raja-Raja?
Kenapa Majlis Raja-Raja? Kerana penubuhan Tentera Darat Tanah Melayu adalah dicadangkan dan dibiayai oleh Majlis Raja-Raja dengan British cuma berfungsi sebagai penasihat sahaja. Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu pada tahun 1948 adalah Sir Edward Gent yang mempunyai kepakaran dalam memindahkan kuasa ke anak tempatan dan beliau digambarkan oleh Noel Barber dalam bukunya War of Running Dogs ketika PKM melancarkan pemberontakan mereka sedang dalam proses peralihan memindahkan kuasa pentadbiran kepada anak tempatan. Malang sekali, kita tidak akan dapat melihat sebarang bukti kepada kenyataan Noel Barber ini kerana Sir Edward Gent terbunuh dalam nahas udara sejurus kembali ke London.
Dan sekiranya benar kata-kata Noel Barber ini, adakah pemberontakan komunis itu sebenarnya hampir menggagalkan usaha kemerdekaan, dan hampir berjaya digagalkan oleh PKM? Fikirkanlah.
Saling Melengkapkan
Apapun, sejarah negara yang bertumpu kepada haluan kanan tidak akan sempurna kalau kita hanya memilih melihat sumbangan mereka. Sumbangan haluan kiri, tetap ada dan perlu diiktiraf bersama.
Sama seperti manusia, ada tangan kanan, mesti juga ada tangan kiri. Ada kaki kanan, mesti ada juga kaki kiri. Barulah sempurna sifatnya.
No comments:
Post a Comment