Search This Blog

Thursday, January 2, 2020

Panglima Angkatan Tentera ke-21 - Jeneral Tan Sri Haji Affendi Buang

Perlantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang sebagai Panglima Angkatan Tentera bermula 2 Januari 2020 melakarkan pencapaian terbaru kepada anak jati Kampung Lintang, Petra Jaya. 

Sebelum ini, beliau merupakan Panglima Tentera Udara ke-18 bermula dari 21 Disember 2016, setelah menerima perkenan daripada YDP Agong Sultan Muhammad V. Dengan Baginda Sultan Muhammad V sukarela meletak jawatan pada awal tahun 2019, perlantikan Tan Sri ke pangkat Panglima Angkatan Tentera menjadi unik apabila diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin al-Mustafa Billah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan ipar kepada Tan Sri Affendi Buang. Isteri Tan Sri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Pahang Hajah Tengku Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah adalah kekanda kepada Yang DiPertuan Agong.

Seorang bekas penuntut Maktab Tentera DiRaja, beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia sebagai pegawai kadet TUDM sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Tentera Udara pada tahun 1982.

Beliau kemudiannya ditugaskan sebagai juruterbang tempur bermula dengan latihan menggunakan pesawat MB339A buatan Itali.  

Selepas berjaya menamatkan latihan sebagai juruterbang tempur, beliau ditugaskan sebagai juruterbang pesawat A4PTM SkyHawk buatan Amerika Syarikat dalam Skuadron 9 dalam bulan Oktober 1984.

Berdasarkan kemahirannya, beliau dilantik menjadi jurulatih pesawat bermula Julai 1988. 

Apabila TUDM memperoleh pesawat MiG29N Fulcrum buatan Russia, beliau merupakan antara pegawai TUDM yang dilantik mengendalikan projek tersebut. Kemahirannya terserlah sekali lagi apabila beliau dilantik sebagai pegawai teknikal. Kemahiran teknikal pesawat ini diterjemahkan dengan lebih jelas apabila beliau mengetuai penubuhan pasukan akrobatik TUDM Smokey Bandit. 

Pengalaman operasi beliau turut merangkumi operasi pertempuran di mana beliau telah melaksanakan operasi bantuan udara rapat dengan melancarkan serangan udara ke atas kedudukan pengganas komunis.

Pengalaman beliau dalam pentadbiran juga digilap oleh ATM apabila beliau dilantik ke pelbagai penjawatan peringkat strategik. Antara penjawatan yang bersifat strategik sebelum beliau dilantik ke jawatan PTU adalah sebagai Pengarah Perancangan Operasi dan Kontingensi Markas Angkatan Bersama. Kemahiran beliau terserlah apabila beliau dilantik sebagai Panglima Markas Angkatan Bersama, sekaligus menyerlah keupayaan beliau mengatur dan mengurus sebuah angkatan tentera bersifat konvensional yang pada masa sama mempunyai penugasan operasi bukan konvensional. 

Pengalaman ini memberi peluang kepada beliau mendalami ilmu untuk melaksanakan operasi bersama antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan, suatu pengalaman yang amat berharga dan penting buat beliau untuk penugasan baru beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera kelak.

Pengalaman beliau dalam Angkatan Tentera juga tidak terlepas daripada tragedi. Dalam satu operasi penerbangan dari Kuantan ke Labuan pada tahun 1988, rakan beliau, Lt Wahi Anuar yang menerbangkan sebuah pesawat A4PTM telah hilang dalam perjalanan. Pesawat itu tidak dijumpai sehingga ke hari ini.

Beliau sendiri juga hampir berhadapan dengan tragedi apabila pesawat MiG29N yang dibawa beliau terhempas pada tahun 2004. 

Perlantikan beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera bermula pada 2 Januari 2020 menjadikan beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera yang ke-21 dan yang kedua daripada TUDM. 

Beliau juga antara 3 anak Sarawak yang pernah dianugerahkan dengan pangkat Lt Jeneral. Sebelum ini, Lt Jen (B) Dato Awie Suboh (Tentera Darat) dan Lt Jen (B) Datuk Stephen Mundaw (Tentera Darat) antara anak jati Sarawak yang pernah dianugerahkan pangkat 4-bintang tersebut.

No comments:

Post a Comment