Serangan yang dilancarkan oleh ketumbukan tersebut di bawah Task Force Ranger (TFR) itu yang dirancangkan hanya untuk mengambil masa beberapa jam berhadapan tentangan hebat. SNA ketika itu telah mengambil maklum keupayaan TFR yang telah berjaya melaksanakan lapan serbuan malam sebelum itu. Kali ini, serangan dilaksanakan siang hari, dan TFR berada di luar elemen kelebihan mereka. Sama ada TFR sedar atau tidak, atau mata mereka ditutup ego, pasukan SNA bukan setakat militia, tetapi termasuk bekas tentera Somalia yang kembali membantu puak masing-masing selepas tumbangnya kerajaan Somalia pimpinan Siad Barre. Ramai antara mereka memiliki pengalaman perang bukan sahaja dalam perang saudara negara mereka sendiri, tetapi juga pernah terlibat dalam perang Ogaden yang dilancarkan Siad Barre ketika gilakan kuasa.
Misi bertukar menjadi misi menyelamat apabila dua buah helikopter Black Hawk yang dibawa 160th SOAR telah ditembak jatuh dan terhempas di dua lokasi berbeza. Sebuah lagi Black Hawk mengalami kerosakan kritikal dan sempat diterbangkan balik ke pengkalan di Lapangan Terbang Mogadishu sebelum melaksanakan pendaratan cemas.
Panglima Operasi Amerika Syarikat mengarahkan pasukan 10th Mountain Regiment untuk membantu operasi menyelamat. Elemen USN Seal juga turut digerakkan - bilangan terlibat tidak diketahui dan hanya disebut sepintas lalu oleh Mark Bowden dalam buku beliau, Black Hawk Down, yang kemudiannya dijadikan sebagai filem oleh Scott Ridley.
Apabila keadaan bertambah meruncing, barulah mereka memohon bantuan daripada pasukan pengaman PBB yang memiliki keupayaan armor, yakni dari Malbatt dan Pakbatt. Elemen Malbatt terdiri daripada 19 RAMD. Terdapat sumber mengatakan bahawa GGK terlibat, tetapi tiada sumber rasmi mengesahkan penglibatan tersebut. Tetapi kehadiran GGK di Somalia selepas pertempuran tersebut dapat disahkan secara rasmi. Elemen Pakbatt pula terdiri daripada 7th Frontier Force dan satu unit lain, dilengkapkan dengan kereta kebal M48 Patton dan kenderaan berperisai M113.
Di akhir operasi pada keesokan hari, seramai 18 anggota tentera Amerika Syarikat daripada pelbagai cabang terkorban. Itu pun, ada pertikaian sumber yang menyatakan 19 orang yang terkorban. Seorang juruterbang menjadi tawanan. Mayat lima anggota tentera US pula diheret dalam perarakan oleh militia Somalia.
Di pihak Malaysia, seorang anggota Malbatt, Prebet Mat Aznan Awang, terkorban dan diberikan kenaikan pangkat ke korporal. Lapan orang lagi cedera, dan empat buah kenderaan perisai Condor terpaksa dimusnahkan untuk mengelakkan kenderaan berkenaan jatuh ke tangan militia. Kisah pengorbanan Malbatt tertutup selama berdekad lamanya, dengan ada elemen yang diputarbelit di luar konteks, hanya terubat sedikit sebanyak selepas para veteran sendiri memperbetulkan kesilapan pandangan awam.
Pakbatt diwar-warkan mengalami antara satu atau dua korban, tetapi Pakbatt tak pernah dedahkan identiti korban tersebut. Diwar-warkan, kerana sumbangan Pakbatt dalam pertempuran tersebut sering dipertikaikan. Dan juga dipertikaikan oleh para netizen Malaysia kerana filem Ridley Scott memaparkan askar yang menyelamatkan tentera Amerika Syarikat berupa seperti Pakistan. Pakbatt dipaparkan dengan lebih buruk seolah-olah hanya pandai membawa air teh di hujung filem. Sedangkan sumber sekunder kajian pertahanan Tentera Amerika Syarikat menyatakan dua anggota tentera Pakistan terkorban dalam pertempuran tersebut. Apakah kisah tentera Pakistan adalah kepingan kisah sejarah yang masih terpendam?
Di pihak Somalia, bilangan korban sebenar tidak dapat disahkan, antara 200 ke 800 orang. Bilangan berbeza disebabkan perang saudara Somalia telah menyebabkan infrastruktur negara berkenaan tumbang dan puak-puak bertelagah hanya menjaga orang sendiri sahaja. Lebih buruk, dalam Amerika Syarikar mengangkat nama anggota-anggota tentera mereka, dalam kita memperingati pengorbanan Malbatt, kita lupa, bukan semua warga Somalia yang terkorban hari tersebut adalah militia. Bukan semua adalah jahat. Bagi mereka, mereka mempertahankan negara mereka, puak mereka.
Sehingga ke hari ini, pelbagai versi kisah ini yang disebarkan, sama ada daripada tuan badan yang terlibat, saksi sebenar, dan media. Belum kira lagi salah faham yang disebarkan para penulis telur separuh masak (seperti saya). Belum kira lagi mengambil kira kisah anggota pasukan sokongan yang terlibat tetapi tidak diberikan pengiktirafan, seperti pasukan perubatan tentera Amerika Syarikat yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa anggota-anggota yang tercedera termasuklah daripada Malbatt. Mereka pun ketagih pengorbanan mereka diiktiraf.
Hari ini, kisah ini semakin banyak versi. Sehinggakan yang terbaru, ada pempengaruh Nigeria turut cuba mengambil kredit penglibatan dalam operasi berkenaan walaupun mereka belum masuk ke Mogadishu ketika itu.
Apapun, pengajaran daripada kisah berdarah ini adalah lebih penting. Musuh negara bukan semestinya dari luar, malah dari dalam (perang saudara). Adakalanya, pemimpin negara itu sendiri adalah pencetus kepada tragedi yang lebih besar (Siad Barre yang menggunakan perang untuk merampas wilayah Ethiopia, dan kemudiannya mencetuskan pergaduhan antara puak untuk kekal berkuasa). Dan di tengah-tengah ini semua, pasti ada yang cuba menangguk di air yang keruh, cuba mendapat nama bagi diri yang tidak layak.
Akhir kata, kisah ini terlalu kompleks untuk sekadar menjadi satu penulisan semata-mata. Banyak lagi sisi yang tidak terungkai. Malah, ada mungkin sisi yang dirungkai dalam penulisan ini juga tidak betul dan menambahkan keruh dalam air yang sudah keruh. Maka, sekiranya berpeluang, sekiranya masih bernafas, kajilah, dan terus kajilah.