Di kala jiran tetangga kita menyambut hari kebangsaan masing-masing, saya ambil peluang ini untuk melihat kembali negara kita sendiri.
Adakah kita sudah melangkah jauh ke hadapan? Atau kita sekadar jaguh kampung yang bagai si ibu ayam, bertelur sebiji riuh sekampung?
Bermulanya Penjajahan
Bermulanya penjajahan kuasa asing di negara kita apabila tumbangnya Kesultanan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511.
Kerap kali kita diwar-warkan sejarah bahawa tewasnya Melaka kerana bersenjatakan keris dan lembing. Sedangkan teknologi senjata seperti lela rentaka dan meriam sudah wujud di Melaka.
Alphonso D'Albuquerque Ketua Rombongan Portugis |
Lela. Senjata yang dimiliki Kesultanan Melaka. Sumber Gambar: blog Kurik Kundi |
Hakikatnya Melaka tewas kerana pengkhianatan orang dalam. Pengikut Tun Mutahir membelot menjual maklumat. Peniaga Cina dan India meminjamkan sampan mereka kepada Portugis dengan harapan mendapat balasan di kemudian hari. Manakala tentera upahan dari Jawa pula bertindak meninggalkan Melaka kerana bukan kampung halaman mereka yang terancam, walaupun sudah dibayar dengan upah yang amat lumayan. Hasutan Portugis juga menyebabkan mereka tidak sanggup berperang.
Tumbangnya Kota Melaka tidak bermakna tamatnya perjuangan. Perjuangan diteruskan dari Haru, Riau, Siak, Pasai masing-masing menghantar lancang perang untuk kempen membantai Melaka. Kota Melaka dikepung sehingga penduduknya kebuluran 3 bulan tidak mendapat bekalan. Ini berterusan hingga Sultan Melaka kehabisan emas sebagai dana perang.
Perang menguasai Melaka kemudiannya diteruskan oleh Acheh dan Johor Riau.
Dari Portugis ke Belanda ke British ke Jepun dan kembalinya ke British.
Bangkitnya Anak Watan
Dalam tempoh masa 446 tahun itu, bukannya tiada anak watan yang bangkit menentang penjajah-penjajah ini. Dari Dato' Dol Said dari Naning yang menentang British, ke Dato' Maharaja Lela dan Dato' Sagor di Pasir Salak, ke Datuk Bahaman di Pahang. Bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, malahan di Sabah dan Sarawak, anak watan telah bangkit menentang penjajah. Di Sabah, kita ada Mat Salleh. Di Sarawak, nama-nama seperti Rentap, Sharif Masahor dan Liu Shan Bang dikenali sebagai penentang British.
Dato' Sagor |
Dato' Dol Said (Naning) |
Liu Shan Bang Sumber gambar: blog its amazing photo are |
Rentap @ Libau. Sumber gambar: Blog Heroes of Sarawak |
Sharif Masahor Sumber gambar: blog |
Datu Mat Salleh Sumber gambar: blog TangisanMelayu |
Semangat menentang penjajah ini tidak hanya terikat pada satu atau dua generasi. Malahan, anak watan bangkit di setiap generasi untuk menentang penjajahan asing ini.
Dalam tempoh yang sama, bumi ini yang subur dan penuh rezeki kepada penghuninya yang sudi mengerjakannya, turut menyaksikan kemasukan pelbagai bangsa yang akhirnya menanam akar mereka di bumi bertuah ini. Di Melaka, kaum Portugis yang suatu masa dahulu menjadi penjajah akhirnya menanam akar mereka menghasilkan kaum Serani.
Dari seberang Nan Yang Hai, atau Laut China Selatan, kaum Cina dari pelbagai dialek turut berpindah ke bumi ini. Antara mereka adalah nenek moyang saya, termasuk datuk saya.
Dari belah Laut Andaman, kaum India turut dibawa masuk. Umum ingat ramai masuk sebagai buruh kasar. Tetapi ramai juga dibawa masuk untuk bekerja di jabatan-jabatan kerajaan yang dikawal oleh British.
Biarpun British menguasai dalam pelbagai perkara, tidak bermakna anak watan tidak ingin menikmati kemerdekaan daripada penjajahan. Pendidikan yang dibawa oleh British mula membangkitkan semangat kebangsaan di kalangan anak watan.
Bermula dari kebangkitan Kaum Muda yang mengkagumi perjuangan di Mesir, sedikit demi sedikit semangat kebangsaan disemai di dalam jiwa anak watan.
Penjajahan Jepun
Penjajahan Jepun menyedarkan anak watan bahawa kita tidak boleh bergantung harapan terhadap penjajah. Melihat bagaimana British boleh ditewaskan, anak watan mula mengatur langkah mencapai kemerdekaan.
Tetapi kejayaan Jepun tidak lama. Meletupnya Little Boy dan Fat Man di Hiroshima dan Nagasaki menyaksikan Jepun terpaksa berputih mata.
Pengkhianatan oleh British
Kembalinya British ke bumi ini pada awalnya disambut baik. Tetapi apabila British cuba memperkenalkan Malayan Union, maka tersentaklah anak watan dari tidur.
Penentangan terhadap Malayan Union baik dari haluan kiri mahupun haluan kanan akhirnya menyaksikan British terpaksa berputih mata. Sir Harold McMillan gagal melaksanakan rancangan British.
Sebaliknya, kejayaan menumpaskan Malayan Union itu membawa kepada keyakinan anak watan bahawa kemerdekaan boleh dikecapi melalui kaedah perundingan.
Dan pada 1 Februari 1948, bermulalah langkah-langkah pentadbiran sendiri apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan secara rasmi.
Laungan Merdeka
Tetapi, negara ketika itu belum lagi merdeka. Rundingan demi rundingan diteruskan. Akhirnya, pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, dengan laungan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Penubuhan Malaysia
Tetapi tugas belum selesai. Sarawak dan Borneo Utara masih berada di bawah kawalan British. Maka pada tahun 1962, bermulalah rundingan untuk menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei menjadi sebuah negara.
Sepatutnya, rundingan tersebut tamat pada 31 Ogos 1963, tetapi bantahan asing dari Indonesia dan Filipina menyaksikan penubuhan Persekutuan Malaysia ditunda ke 16 September 1963.
Hari ini, negara mencapai tarikh kemerdekaan 60 tahun. Ada yang mempertikaikan bahawa kita telahpun merdeka. Terutamanya mereka dari haluan kiri dan juga penyokong komunisme. Mereka terus persoalkan kemerdekaan negara kita kerana kita kekal terus menggunakan sistem pentadbiran yang kita peroleh daripada British.
Dalam memperkatakan bagaimana sesetengah individu mempersoalkan sama ada Malaysia adalah sebuah negara merdeka dan berdaulat, mereka mempersoalkan dan membandingkan kemerdekaan negara kita dengan kemerdekaan yang diperoleh oleh Indonesia. Kemerdekaan Indonesia diperoleh dengan hasil tumpah darah begitu ramai anak watan Indonesia. Dan bagi golongan ini, mereka mentertawakan kemerdekaan negara kita yang diperoleh melalui rundingan sebagai kemerdekaan palsu.
Ancaman Komunisme
Ya, memang benar kemerdekaan diperoleh hasil rundingan dengan British. Tetapi harga rundingan damai ini amatlah mahal.
Ramai nampaknya melupakan atau terlupa bahawa negara ketika itu berhadapan dengan ancaman komunisme.
Parti-parti berfahaman komunisme itu menyelinap masuk ke negara dan berjaya menyebar fahaman mereka kerana kesempitan hidup ketika itu. Di Tanah Melayu, ancaman itu datang melalui Parti Komunis Malaya (PKM) dan di Sarawak, melalui Parti Gerakan Rakyat Sarawak (PGRS) serta Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU).
Kegiatan yang pada asalnya lebih bertumpu kepada kebajikan masyarakat mula melibatkan diri dalam pergerakan politik, selaras dengan tuntutan Commintern (Communist International) yang bertujuan untuk "meliberalisasikan dunia" dari kapitalisme di bawah satu pergerakan komunis sedunia.
Sebelum Perang Dunia Kedua, ramai aktivis PKM ditahan polis. Tindakan mereka mengganggu-gugat ekonomi. Namun, tindakan penjajah yang menguasai ekonomi dan pada masa sama, mengambil pekerjaan terbaik menyebabkan anak watan sukar mendapat pekerjaan. Ini memudahkan aktivis komunis merekrut anggota baru.
Bermulanya Perang Dunia Kedua menyaksikan British terpaksa meminta bantuan daripada PKM menubuhkan pasukan penentang.
Askar Melayu yang ditubuhkan oleh Raja-Raja Melayu sekadar berkekuatan 1 batalion penuh (1 Askar Melayu) dan 3 kompeni penuh (Kompeni A, B, dan C 2 Askar Melayu), tidak cukup untuk menahan gasakan tentera Jepun.
Rejimen Askar Melayu ketika di London, sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua. |
PKM mengambil peluang ini untuk cuba mendapatkan legitimasi.
Di peringkat awal, PKM menyumbang separuh daripada kekuatan pasukan Dalforce, dengan separuh lagi daripada Kuomintang. Kedua-duanya saling tidak mempercayai dan membenci sesama sendiri.
Tumbangnya British bermakna pasukan Dalforce tewas. Hampir semua dibawa ke Pasir Panjang dan ditembak mati.
Peristiwa berdarah Sook Ching berlaku, mengakibatkan kematian orang Cina, dijangka lebih daripada 100,000.
Bersama dengan Force 136, PKM bertindak menubuhkan MPAJA untuk menentang Jepun. Namun, indah khabar dari rupa.
Jepun telah terlebih dahulu menangkap Setiausaha Agung PKM, Lai Teck. Demi menyelamatkan diri, dia bersetuju menjadi agen Jepun. Bukan susah baginya mengkhianati orangnya sendiri kerana dia juga merupakan agen yang ditanam British.
PKM bertalam dua muka. Di ketika menentang Jepun, mereka turut menghapuskan pasukan OCAJA yang merupakan sebahagian daripada Force 136, tetapi tiada pegawai perhubungan Force 136.
Pada masa sama, ramai anggota MPAJA dikhianati oleh Lai Teck. Mejar Lim Boo Seng (OCAJA - Force 136) dan Sybil Karthigasu antara yang menjadi mangsa.
Mejar Lim Bo Seng - Individu yang mengemukakan idea kepada penubuhan Force 136 Sumber |
Sybil Kathigasu - dikhianati dan diseksa Sumber gambar: Ipoh Epoch |
Walaupun MPAJA merupakan sebahagian daripada tentera Berikat, mereka telah bercadang untuk bekerjasama dengan Ibrahim Yaacob untuk menentang pendaratan lancang British. Nasib British baik kerana Lai Teck menghalang rancangan tersebut.
Tamatnya Perang Dunia Kedua
Tamatnya Perang Dunia Kedua menyaksikan PKM bermaharajalela selama 14 hari. Ramai orang awam yang menjadi korban semata-mata pernah dilihat berbual dengan Jepun. Salah seorang mangsa di Ipoh hanya berumur 12 - 14 tahun, diseret sehingga mati hanya kerana ayahnya pernah berbual dengan polis Jepun.
Selepas selesai penganugerahan pingat dan sebagainya, anggota-anggota MPAJA dilepaskan daripada tugas. Tetapi tidak semua. Sebahagian kader yang sudah menyertai PKM dan memegang ideologi komunisme diarahkan Lai Teck untuk memasuki hutan belantara untuk bersembunyi daripada British.
Tamat Perang Dunia Kedua juga menyaksikan ramai tentera Jepun melarikan diri daripada medan. Dikatakan sekitar 400 daripada mereka lari menyertai PKM. Mereka menyertai PKM kerana dijanjikan oleh PKM akan peluang untuk terus menentang British. Amat malang, 100 daripada mereka dibunuh oleh PKM sendiri kerana mereka tidak tahu berbahasa Mandarin atau dialek Cina lain, untuk mengelakkan rancangan mereka diketahui umum. Tamat pemberontakan PKM pada tahun 1989 menyaksikan tinggal 2 orang sahaja yang masih hidup dan telah menyerah diri bersama-sama rakan mereka yang lain dalam PKM.
Bukan sahaja PKM yang membelot rakan-rakan mereka. British juga membelot PKM. Perjanjian British dan PKM adalah wang gaji dibayar kepada kader MPAJA semasa "tugas" mereka menentang Jepun. British mengatakan bahawa wang tersebut sudah dibayar, tetapi disebabkan oleh kepayahan menyimpan rekod, tiada rekod wujud. Kebetulan, unit simpanan rekod Force 136 turut di Sri Lanka dikatakan telah melupuskan semua rekod mereka secara dibakar. Besar kemungkinan langkah British untuk mengelak membayar kepada PKM, dan dikatakan rekod sebenar disimpan di England hari ini.
Chin Peng dianugerah MBE oleh Lord Mountbatten sebagai pujukan bahawa gaji dan upah PKM telah dibayar. Sumber gambar - National Malaya and Borneo Veterans Association website. |
Di Sarawak juga tidak jauh beza. Sarawak dikhianati Rajah Putih ketiga, Charles Vyner Brooke yang menjual haknya ke atas Sarawak semasa Perang Dunia Kedua agar dapat hidup selesa di Australia.
Ya, hakikatnya kita tidak boleh bergantung kepada bantuan kuasa luar, mahupun ideologi politik melampau.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment