Search This Blog

Thursday, September 7, 2017

Digarhayu Malaysia Merdeka - Bahagian 2

Daripada bahagian pertama...

Ancaman terhadap kedaulatan negara bukan semata-mata daripada fahaman komunis.  Negara turut diancam negara jiran serantau.

Ancaman komunisme terhadap Malaya menyaksikan Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu mengutarakan cadangan penubuhan sebuah negara baru menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei menjadi sebuah negara persekutuan.  (Ada yang menyatakan bahawa cadangan asal berasal daripada Brunei).


Penubuhan Persekutuan Malaysia ini mengganggu-gugat perancangan penubuhan sebuah negara bergelar Indonesia Raya yang diilhamkan oleh Presiden Indonesia ketika itu, Presiden Sokaerno. Indonesia Raya yang beliau inginkan meliputi wilayah-wilayah sehinggalah ke Burma dan Indo-China (Kemboja dan Vietnam). 

Pada masa sama, Filipina pula memandang bahawa merekalah pewaris kepada Kesultanan Sulu yang dikatakan pemilik asal tanah di sebelah timur Borneo Utara, ataupun Sabah.  Perjanjian yang ditandatangani antara Baron Von Overback dengan Kesultanan Sulu menjadi sandaran tuntutan Filipina ke atas Sabah.  Sedangkan asalnya Overbeck and Dent menandatangani surat pajakan ke atas tanah tersebut hanya untuk mengelakkan serangan daripada Kesultanan Sulu, kerana mereka telah mendapat perjanjian ke atas tanah sama dari Kesultanan Brunei.

Indonesia dan Filipina menuntut bumi Sabah dan Sarawak untuk tujuan masing-masing.  Namun, rundingan penubuhan Malaysia tetap diteruskan.

Di Sarawak, rundingan menghadapi masalah apabila Sarawak United People's Party atau SUPP diselinapi ramai agen PARAKU dan PGRS.  Mereka galak cuba menghalang penubuhan Malaysia, bukan sekadar inginkan kemerdekaan berbeza daripada Tanah Melayu, tetapi disebabkan ramai ahli mereka merupakan sebahagian daripada Pergerakan Bawah Tanah Komunis (Communist Clandestine Organisation - CCO). Tan Sri Ong Kee Hui, pengasas SUPP tidak menyedari akan penyelinapan tersebut.

Tan Sri Ong Kee Hui
Sumber gambar - laman SUPP

Di Brunei, Parti Rakyat Brunei dipimpin oleh AM Azahari mengangkat senjata menentang Sultan.  Jari-jemari campur tangan Indonesia dan Filipina dilihat apabila AM Azahari mengumumkan pemberontakan Brunei dari Manila. Tempiasnya terasa sehingga ke Limbang, Sarawak.  Bandar Limbang ditawan anggota TNKU yang setia kepada AM Azahari.
Memorial Kalabakan
Sumber gambar - Blog Konflik dan Militer
Gambar Gerila Komunis Sarawak bersama TNI
Sumber Gambar - Wikipedia

Walaupun pemberontakan oleh AM Azahari dapat ditumpaskan dengan bantuan British, termasuklah Sarawak Rangers, Sultan Brunei tidak lagi berminat menyertai gagasan Malaysia.

AM Azahari
Sumber gambar - tweet

Tidak tamat di situ sahaja.  CCO memberi bantuan kepada TNI untuk melancarkan serangan demi serangan ke atas bumi Malaysia dan Brunei. 

Plaman Mapu, Labis, Tebedu, Seria, Kalabakan, Singapura. Semua ini antara lokasi serangan oleh TNI ke atas bumi Malaysia dan Brunei. 

Tun Sardon Jubir (baju batik) turut menyoal siasat tentera Indonesia yang ditahan di Labis, Johor
Sumber gambar: blog cerita-cerita

Pada masa sama, Kerajaan Sokaerno tidak mengaku bahawa serangan-serangan tersebut didalangi tenteranya.  Mereka dikatakan sebagai para sukarelawan yang "mendesak untuk dihantar" untuk "meliberalisasikan" bumi Malaysia dan Brunei daripada penjajahan ala baru neokolonialisme British.

Mereka bijak bermain serampang dua mata. Di sebelah diplomasi, mereka memainkan sentimen bahawa Malaysia cumalah kaedah baru British mengawal Malaya, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak.  Nama Malaysia dicela oleh Indonesia di depan Pertubuhan Negara-Negara Tidak Bersekutu (Non-Aligned Movement - NAM).

Desakan mereka (Indonesia dan Filipina) sehinggalah PBB terpaksa mengarahkan tarikh penubuhan Malaysia ditunda daripada 31 Ogos 1963 ke 16 September 1963.  Namun, itu tidak menghalang Sabah dan Singapura mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963 sebelum penubuhan Malaysia.

Pengisytiharan Kemerdekaan Sabah oleh Tun Fuad Stephens
Sumber gambar : wikipedia

Ancaman ketenteraan Indonesia begitu nyata sehinggalah British terpaksa menempatkan beberapa butir senjata nuklear di bumi Malaysia.  Malahan, Jakarta hampir menjadi padang jarak padang tekukur jika bukan kerana dihalang oleh Tunku.

Hanya selepas British melancarkan Operation Claret di seberang bumi Indonesia, barulah ancaman Indonesia ke atas Malaysia mulai surut. 

Walaupun ancaman daripada Indonesia amatlah hebat, tidak bermakna Tunku dan kerajaan Malaysia duduk diam.  Tun Razak telah meminta bantuan British untuk membantu menubuhkan sebuah pasukan khas.  Dengan bantuan daripada 40 Royal Marines, nukleus kepada Rejimen Gerak Khas ditubuhkan.  Bergelar Malaysian Special Service Unit (MSSU), pasukan tersebut sepatutnya melancarkan serangan ulungnya ke atas sebuah kem milik Korp Komando (KKO) Indonesia yang 3 kali lebih besar kekuatannya daripada MSSU yang terletak di kawasan milik Indonesia di Pulau Sebatik.

Serangan Labis pula menyaksikan ramai anggota TNI yang menjadi tawanan perang.  Apabila mereka mengetahui bahawa mereka telah dipergunakan untuk menentang Malaysia, ada antara mereka yang telah sukarela merakamkan mesej untuk dijatuhkan di atas kota Jakarta semasa Hari Raya.  Mesej yang dijatuhkan menggesa rakyat Indonesia untuk berhenti menyokong rejim Sokaerno.

Semangat pro-Malaysia juga menjadi-jadi, sehinggakan seorang komposer lagu berasal daripada Indonesia telah menulis sebuah lagu yang kita kenali hari ini sebagai "Inilah Barisan Kita".


Hanya apabila Lt Jen Suharto menjatuhkan Sokaerno melalui satu pemberontakan yang turut mendapat bantuan daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, barulah hubungan antara kedua-dua negara mulai dipulihkan. 

Walaupun Konfrontasi Indonesia - Malaysia lebih banyak melibatkan Indonesia dan Malaysia, tidak bermakna Filipina duduk diam.  Mengetahui bahawa menawan Sabah daripada Malaysia menggunakan kaedah konvensional akan merosakkan nama mereka, kepimpinan Ferdinand Marcos meluluskan rancangan Oplan Merdeka. 

Dalam Oplan Merdeka, sekumpulan pemuda Moro yang mempunyai hubungan dengan penduduk Sabah dipilih untuk menjalani latihan komando, dengan tujuan untuk diseludupkan masuk ke Sabah.  Di Sabah nanti, mereka dijangka akan digunakan untuk menghasut penduduk tempatan untuk bangkit menentang Malaysia.  Apabila berlaku pemberontakan tempatan, mereka akan memohon bantuan asing, dalam konteks ini Filipina yang akan masuk ke Sabah sebagai wira yang membebaskan Sabah daripada pegangan Malaysia.

Itu perancangan mereka.  Perancangan tersebut gagal, apabila gaji pemuda-pemudi ini dipercayai dimakan oleh pegawai pemerintah mereka.  Dan apabila mereka cuba bangkit menentang pegawai pemerintah mereka, mereka dibunuh.  

Hanya seorang yang berjaya melarikan diri dan daripada seorang ini, perancangan ini diketahui umum.  Ada juga yang mengatakan bahawa apabila pemuda-pemudi tersebut mengetahui bahawa sasaran mereka adalah Malaysia, mereka memberontak.  Mana satu versi sebenar, kita tidak dapat pastikan.

Peristiwa yang dikenali sebagai Jabedah Massacre itu seterusnya mencetuskan pemberontakan oleh puak Moro sehinggalah ke hari ini.  Terdapat juga versi yang mengatakan bahawa Jabedah Massacre, atau Corregidor Massacre ini tidak pernah berlaku, cuma mainan ahli politik untuk mendapatkan kuasa.  Sama ada berlaku atau tidak, peristiwa ini berhasil menghalang impian Filipina ke atas bumi Sabah.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment