Search This Blog

Sunday, January 28, 2018

Profesion Perguruan - Pembaharuan Drastik Amat Diperlukan

Beberapa hari yang lepas, tersebar di media sosial satu rakaman video seorang guru wanita berketurunan Cina yang telah mengamuk ketika mesyuarat guru di sebuah sekolah rendah yang tidak dinamakan. Kejadian ini yang berlaku tidak lama selepas dua orang guru wanita sekolah rendah telah membunuh diri dalam kejadian berbeza, serta dua orang guru lelaki didakwa di mahkamah atas tuduhan mencederakan anak murid mereka.


Apakah sebenarnya yang sedang berlaku dalam profesion perguruan hari ini? Sektor perguruan awam hari ini menggajikan seramai 457,124 guru, dan merupakan majikan terbesar dalam sektor perkhidmatan awam negara, dengan 33.1% merupakan guru. Jadi, kejadian ini yang melibatkan guru-guru ini mungkin dianggap sebagai kejadian terpencil yang tidak mengganggu perkhidmatan perguruan awam di Malaysia.

Tetapi hakikatnya adalah amat merisaukan. Profesion perguruan hari ini menghadapi isu pelaksanaan program tak terancang secara berleluasa sehinggakan profesion ini sudah menjadi tidak menarik lagi kepada para guru. Keadaan ini diburukkan dengan kelemahan golongan pentadbir, maaf, kegagalan golongan pentadbir memastikan tugasan seorang guru adalah untuk mendidik dan membimbing generasi pelapis negara.

Sebelum saya berbicara lebih lanjut, mari kita lihat perbezaan rangka tugas seorang guru masa dahulu berbanding sekarang.

Masa Dahulu
Tugas seorang guru amatlah berat. Selain polis, guru adalah satu-satu individu lain dalam perkhidmatan kerajaan yang mewakili kerajaan dalam kehidupan seorang rakyat marhaen. Bermula dengan langkah yang diperkenalkan British iaitu mewajibkan kanak-kanak berumur 7 tahun untuk menghadiri persekolahan, para guru telah menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat setempat.

Hasilnya, guru menjadi wakil kepada kerajaan dalam mengutip maklumat penting mengenai masyarakat setempat. Pada masa sama, guru juga menjadi tempat penduduk tempatan mendapat khidmat nasihat mengenai kerajaan dan isu semasa.
Tugas guru selain daripada mengajar juga membimbing anak murid mereka serta masyarakat setempat. Ini berterusan sehinggalah ramai guru di masa dahulu akhirnya menjadi wakil rakyat sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.
Apabila membicarakan tugas hakiki seorang guru, iaitu mengajar, guru ketika itu cuma perlu menyediakan rancangan pengajaran serta mengajar anak murid mereka. Di luar masa kelas, mereka mungkin ada membawa anak murid menyertai aktiviti kelab dan persatuan.

Guru kelas pula menjaga hal ehwal kelas masing-masing.  Sekiranya ada murid bermasalah, merekalah yang mengambil tindakan, sama ada berjumpa ibubapa murid tersebut ataupun mengambil tindakan bersesuaian bersama dengan guru disiplin.

Ibubapa murid-murid pula lebih menghormati para guru dan sedia mendengar pandangan guru. Anak murid yang membuat hal di sekolah apabila sampai di rumah akan dihukum ibubapa pula.

Hari Ini
Dari segi rangka tugas guru hari ini, sebenarnya tidak jauh bezanya daripada dahulu. Tetapi beban tugas itu telah bertambah berkali ganda. Mari kita lihat satu persatu.

Bulan Januari merupakan bulan yang paling ditakuti kebanyakan guru di Malaysia, terutamanya bagi guru-guru yang dilantik sebagai guru kelas ataupun guru panitia.

Dahulunya, para guru cuma perlu merekodkan pendaftaran murid dalam buku rancangan pengajaran bagi kelas yang ditadbir. Nama murid disenaraikan mengikut turutan abjad. Dan nama-nama murid pula lebih mudah berbanding dengan nama-nama sekarang. Hari ini, para guru terbelit lidah hendak menyebut nama pelajar.

Ejaan pula sengaja dibeza-bezakan untuk menjadikan anak itu yang teristimewa. Sebagai contoh, ejaan Haikal dibezakan menjadi Haiqal atau Hyqal. Kalau nama anak murid disalah eja pula, si ibu bapa pula yang marah bukan kepalang. (Nama yang dipilih cumalah contoh dan tidak berkaitan dengan yang hidup mahupun yang mati).

Tapi, itu masalah ibubapa para murid. Hak ibubapa memilih nama untuk anak, dan tidak boleh dikawal. Yang boleh dikawal adalah bagaimana para guru kelas perlu merekodkan nama para murid mereka. Di masa lampau, cuma sebuah buku pendaftaran utama dengan buku rekod peribadi murid, sudah cukup bagi merekodkan kewujudan seorang individu.

Hari ini, dalam keghairahan menggarap letusan teknologi komunikasi dan maklumat dalam sistem pendidikan kebangsaan, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan sistem maklumat pelajar dalam talian. Rekod peribadi setiap pelajar perlu direkodkan ke dalam sistem data pusat Kementerian Pelajaran. Hasilnya, rekod peribadi seorang pelajar boleh diperoleh di mana-mana sahaja dan ini memudahkan proses perpindahan seorang pelajar dari satu sekolah ke sekolah lain, serta memudahkan tugas pengagihan pelajar ke sekolah menengah.

Tetapi itu semua di atas kertas. Rekod yang sama yang sudah dimasukkan dalam sistem data, masih perlu dikemaskinikan ke dalam buku pendaftar di sekolah. Ahhh, amat mudah sahaja, mungkin itu dibentak kamu si pembaca yang bukan guru. Mudah sahaja dengan menekan punat mencetak dalam komputer, dan segala maklumat tadi akan dicetak keluar. Tetapi itu tidak dibenarkan.

Para guru kelas dikehendaki mengemaskinikan maklumat tadi secara bertulis ke dalam buku pendaftar. Alasan? Itu dikehendaki juruaudit. Alasan paling tidak logik di dunia, kerana para juruaudit melaksanakan audit mereka berdasarkan langkah kerja rasmi sesebuah jabatan. Kenapa perlu buat kerja dua kali sedangkan apa yang sudah dimasukkan ke dalam pusat data sepatutnya adalah maklumat paling lengkap? Penggunaan cetakan daripada pusat data pula sebenarnya memudahkan tugas juruaudit, kerana tidak perlu lagi bandingkan dengan data dalam sistem.

Itu masalah pertama. Masalah kedua, maklumat para pelajar perlu dimasukkan ke dalam sistem data satu demi satu. Kerja mudah, bukan? Kemaskini, simpan, selesai. Itu dilakukan seorang guru sahaja. Bayangkan semua guru di seluruh negara perlu melakukan tugas sama pada masa sama. Kesemua data ini perlu dikemaskinikan dalam bulan pertama sesi pengajaran. Perbandingan paling mudah. Pernah tak kamu si pembaca membuat tempahan tiket promosi murah Air Asia? Kamu sudah masukkan kesemua maklumat, dan apabila tekan butang hantar, pelayar internet komputer kamu terkeluar daripada sistem kerana mengambil masa terlalu lama. Ya, itu masalah yang menghantui para guru dalam tempoh masa 5 hingga 10 tahun ini. Ramai guru terpaksa menunggu sehingga tengah malam apabila tiada orang atau kurang orang menggunakan sistem di Kementerian Pelajaran untuk mengemaskinikan maklumat tersebut.

Berita buruk? Bukan sahaja maklumat ini perlu dikemaskini setiap bulan pertama, tetapi setiap kali selepas peperiksaan. Dahlah yuran internet para guru, guru itu sendiri kena bayar.

Masalah ini sebenarnya boleh diselesaikan melalui beberapa cara. Mari kita lihat.
Kaedah pertama, baiki sistem. Kemaskini maklumat ke dalam sistem sepatutnya boleh menggunakan kaedah batch template. Guru-guru cuma perlu mengemaskinikan sekeping template, biasanya dalam bentuk Microsoft Excel, dengan semua data pelajar. Setelah kemaskini pada Excel, guru cuma perlu tekan upload ke dalam sistem untuk kemaskini pada bila-bila masa. Tidak akan ada lagi berlaku time-out akibat terlalu ramai orang cuba memasuki sistem data pusat Kementerian Pelajaran pada masa sama.

Kaedah kedua, menggunakan perkhidmatan para petugas kumpulan sokongan. Hari ini, kumpulan sokongan terdiri daripada 91,930 orang ini terdiri daripada petugas kerani, juruelektrik, pekebun dan lain-lain tugasan. Sektor ini sepatutnya memberi sokongan seperti tugasan mengemaskini maklumat ke dalam sistem.

Kaedah ketiga, menggunakan perkhidmatan luar. Tetapi jangka masa panjang, kaedah ini mungkin agak mahal.
Apabila memperkatakan yuran yang kena dibayar oleh para guru, ramai guru mengeluarkan wang saku sendiri untuk pelbagai aktiviti berkaitan kerja. Pen, kertas, cetakan kerja rumah untuk para murid, belanja minyak ke aktiviti kokurikulum di luar sekolah, kebiasaannya dikeluarkan daripada saku sendiri. Nak tuntut dari sekolah boleh, tapi biasanya akan mendapat jawapan, tak cukup peruntukan.

Falsafah
Tahun 2018 melakarkan tahun ke-61 negara kita mencorak langkah sendiri di arena antarabangsa. Namun begitu, agak sedih melihat dalam konteks falsafah pendidikan negara, kita belum ada lagi falsafah sebenar-benarnya. Ya, secara teorinya, kita ada satu Falsafah Pendidikan Negara yang sepatutnya menjadi teras pemangkin hala tuju pendidikan. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah suatu trend di kalangan golongan pentadbir di Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan lawatan sambil belajar ke negara lain untuk mempelajari falsafah pendidikan negara tersebut.

Tidak salah, jika falsafah yang hendak diambil ini bersesuaian dengan negara kita. Tetapi apa yang berlaku adalah lawat ke negara A, laksana kaedah negara A. Lawat negara B, laksana kaedah negara B, dan jika bertindih dengan A, kedua-duanya perlu dilaksana. Akibatnya, para guru menjadi keliru dengan apa yang perlu dilakukan. Dan sekiranya para guru keliru, apatah lagi golongan murid-murid? Hasilnya adalah golongan carca-marba.

Disiplin
Sebelum saya menamatkan rapu-rapuan saya malam ini, seperkara lagi yang saya ingin sentuh. Hari ini, para guru sudah tidak mempunyai banyak pilihan dalam mengenakan tindakan disiplin ke atas pelajar yang menjadi gangguan. Tidak ada lagi hukuman merotan, berdiri atas meja, dan seiring dengannya. Malahan, para guru turut dilarang menegur pelajar-pelajar berterusan, lebih tepat, dilarang meleteri pelajar.

Jika guru menghukum anak murid, anak murid membalas, menumbuk guru mereka. Si bapa pula datang dengan ugutan saman. Sudah 2 guru dibawa ke mahkamah atas tuduhan mencederakan anak murid. Malahan baru-baru ini muncul video budak sekolah merokok dalam kelas di depan guru. 

Mungkin selepas ini, kelas-kelas di sekolah perlu dipasangkan dengan kamera dalam litar untuk merakam tindakan melanggar disiplin si murid untuk meyakinkan si ibubapa bahawa anak syurga mereka itu sebenarnya hantu dari neraka? Sayangkan anak tangan-tangankan. Bukan melepas begitu sahaja. Tapi apabila diingat balik, ada juga kes kawan terlepas dari tindakan disiplin oleh ibubapanya, walaupun guru ada merakam dia merokok di asrama, malahan si ibubapa tidak percaya dengan rakaman tersebut.

Salah Siapa?
Saya tak salahkan Pak Menteri dalam hal ini. Tun Abdullah semasa pentadbiran beliau tepat dalam hal ini. Kewujudan golongan pentadbir yang gemar menyalahgunakan kuasa ini memang sudah diketahui kewujudannya. Cuma sukar dibuktikan. Tun Abdullah panggil mereka ni Little Napoleon.

Tapi ingat, bukan semua yang salahguna kuasa. Seorang dua sahaja, kesannya sudah cukup teruk. Tapi, jangan ambil kata-kata saya sahaja. Saya fahami dari konteks guru yang semakin merasakan diri terjerat tanpa jalan keluar. Mungkin hanya perlu harmonikan sahaja peraturan dalaman Kementerian untuk memudahkan pembaikpulihan.

Pak Menteri saya tahu ada turun padang. Tapi, turunnya ke padang sering diumumkan terlebih dahulu. Jadi tangan-tangan ghaib ini mudah mengatur mengelakkan Pak Menteri bertembung dengan mereka yang berani bersuara.
Pak Menteri, cubalah ikut langkah Khalifah Umar al Khattab. Takpun Sultan Alaudin Riayat Shah, baginda Sultan Melaka ketujuh. Turun padang secara senyap untuk mendapatkan maklumat daripada rakyat, bukannya orang tengah.

Pembaharuan dalam sistem pendidikan negara amatlah perlu. Para guru tertekan. Tidak perlu dijadikan isu politik, kerana penyelesaian politik tidak akan berhasil. Tetapi Pak Menteri, pentadbir, guru, kakitangan sokongan, malahan pembangkang serta kerajaan perlu bekerja bersama-sama menyelesaikan masalah ini.

Terima Kasih
Oh ya, sebelum terlupa. Terima kasih kepada Pak Menteri kerana luluskan peruntukan Cuti Rehat Khas untuk guru dari 7 hari ke 10 hari setahun. 3 hari tambahan, tetapi amat cukup bermakna. Terima kasih juga, kalau Pak Menteri membaca coretan ini.

Akhir Kata
Akhir kata, silap dalam kata, silap saya. Kalau silap dalam pemahaman, bimbinglah saya. Tapi kalau betul dan pedas kata-kata saya, semoga kita bersama-sama berusaha membaiki diri.

No comments:

Post a Comment